Samsung Galaxy S6 Dilaporkan Akan Turut Hadir Dengan Variasi “Edge”

Samsung Galaxy S6 Dilaporkan Akan Turut Hadir Dengan Variasi “Edge”

Diterbitkan pada Dis 2, 2014 oleh .

Samsung pada pengenalan Galaxy Note 4 yang lepas, turut telah memperkenalkan Galaxy Note Edge – yang mana membawakan bahagian skrin melengkung, sekaligus menjadikan ia salah satu peranti yang diinginkan ramai, tetapi tidak ditawarkan secara menyeluruh oleh Samsung disebabkan oleh kosnya yang tinggi.

Kini, dengan suku pertama 2015 yang hadir, beberapa desas-desus baru kedengaran mengenai keluarga Samsung Galaxy S6. Samsung sedia dikatakan ingin membangunkan semula telefon pintar keluarga utama mereka daripada asas dibawah Project Zero. Kini, laporan baru hadir mengatakan Samsung mungkin turut menawarkan variasi Galaxy S6 Edge ketika pengenalannya kelak.

Sekiranya ia mengikuti penawaran Galaxy Note Edge, maka kita akan dapat melihat peranti dengan bahagian tepi yang melengkung – sekaligus memaparkan pelbagai info dan notifikasi melaluinya. Samsung sedia menawarkan SDK kepada pembangun untuk menggunakannya, dan dengan beberapa pembangun sedia mengintegrasikannya, maka ia tidak mustahil untuk pihak Samsung memperluaskan penggunaannya.

Disamping itu, Samsung juga akhir-akhir ini dilihat agak memfokuskan kepada skrin melengkung, dan mungkin Galaxy S6 Edge akan memudahkan lagi mereka memasarkannya dengan kos yang lebih efektif. Apa pun, seperti Galaxy Note Edge, pihak Samsung dijangka menawarkan ia dalam kuantiti terhad untuk beberapa pasaran terpilih sahaja.

Galaxy S6 dijangka akan menyertakan skrin dengan paparan Quad HD (2560×1440), cip pemprosesan 64-bit, kamera hadapan 5-megapixel, dan dilengkapi beberapa ciri-ciri baru. Kita mungkin akan mendengar lebih lanjut mengenainya dalam masa beberapa bulan lagi.


TIPS & ULASAN