Cari @ Amanz

Siapa yang tidak kenal dengan aplikasi Waze? Aplikasi yang memberikan informasi trafik dalam bentuk masa-nyata ini telah banyak membantu pemandu-pemandu di Malaysia, terutamanya di Lembah Klang dalam mencari jalan terpantas dengan mengetahui situasi di jalan raya. Hari ini, kami berpeluang bertemu dengan Amir Mirzaee (Pembangun Bisnes Global Waze), dan mengetahui beberapa perancangan daripada pihak mereka untuk pasaran Malaysia pada tahun akan datang.
Amir mengatakan yang mana Malaysia kini tergolong dalam 10 negara teratas ddalam carta pengguna yang paling ramai, dan tergolong dalam tiga negara teratas dari segi bilangan pengguna yang paling aktif – selain Indonesia dan juga Filipina. Perkara ini membuatkan pelbagai info trafik semasa sekitar Malaysia dikemaskini dengan pantas oleh pengguna dan membantu golongan pemandu yang lain.

Amir Mirzaee

Waze mengatakan pada masa akan datang, mereka akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan pihak berkuasa tempatan untuk memberikan info yang lebih pantas kepada pengguna. Salah satunya adalah dengan pengenalan fungsi seperti “penukaran haluan”. Melaluinya, pada waktu tertentu dan pada jalan tertentu yang mempunyai program penukaran haluan dikendalikan oleh polis trafik – info akan dihantar ke aplikasi Waze, dan memudahkan lagi pengguna merancang perjalanan mereka. Jika sekarang, kadangkala Waze tidak berfungsi dengan tepat untuk tujuan ini, dan tidak mampu memberikan ramalan sekiranya trafik terhalang berikutan penukaran haluan. Perkara-perkara seperti penutupan jalan, acara marathon, akan dikongsikan secara terus membolehkan informasi ini sampai dengan pantas kepada pengguna.

Antara perkara yang menarik yang juga bakal dilakukan oleh Waze adalah penawaran suara pemanduan menggunakan bahasa serta dialog tempatan. Perkara ini telahpun dilakukan mereka pada tahun ini menggunakan suara DJ Hitz FM Ean. Amir mengatakan berkemungkinan lebih banyak perkara akan dilakukan untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih “Malaysia” berbanding sekarang, selain turut mempromosi aplikasi Waze dikalangan pengguna tempatan.

Waze juga turut mengatakan mereka akan melakukan kerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dalam menawarkan data percuma untuk penggunaan Waze. Memandangkan Waze kini dimiliki Google, maka mungkin ia akan mudah dicapai, apatah lagi YouTube sedia bekerjasama dengan UMobile dalam menawarkan tontonan percuma pada tengah malam.

Waze pada tahun 2015 kelak dilihat ingin menawarkan lebih banyak kemudahan dan menjadikan aplikasi berkenaan lebih bersifat tempatan berbanding sekarang. Pada masa yang sama, mereka juga ingin menawarkan info trafik yang lebih tepat dan cepat kepada pengguna, dan memudahkan pihak berkuasa menyampaikan info kepada pengguna dengan efektif. Semestinya ini bukan sekadar ini sahaja perancangan mereka untuk tahun hadapan, dimana mereka turut mempunyai beberapa perancangan khusus di peringkat global yang masih tidak boleh dikongsikan bersama-sama buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd