Cari @ Amanz

Uber hari ini secara rasminya mengumumkan yang mana mereka telah menerima suntikan dana sebanyak $1.2 bilion (~RM4.14 Bilion), yang mana akan digunakan untuk terus memperluaskan penawaran perkhidmatan mereka di seluruh dunia. Uber mengatakan suntikan dana ini akan digunakan untuk beberapa perkara, dan akan memfokuskan lebih kepada rantau Asia Pasifik.

Uber sehingga ke hari ini telah terdapat di lebih 250 bandar di 50 buah negara. Mereka juga turut telah menawarkan perkhidmatan mereka di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dengan suntikan dana baru ini, syarikat Uber dinilaikan pada harga $40 bilion.

Uber mengatakan pada tahun 2015 kelak, melalui perkhidmatan mereka, ia akan membuka peluang kepada lebih 1 juta pekerjaan di seluruh dunia, dan lebih ramai boleh melanggan pemandu dari satu lokasi ke lokasi yang lain pada harga rendah berbanding mempunyai kenderaan sendiri.

Pelaburan baru ini hadir ketika Uber menghadapi masalah di beberapa buah negara, termasuk di Thailand – yang mana Uber telah diharamkan. Di Malaysia sendiri, perkhidmatan Uber X mempunyai kekangan untuk operasi disebabkan mereka tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan.

Menariknya, semalam, salah satu syarikat tempatan turut telah mengumumkan penerimaan suntikan dana, iaitu MyTeksi (GrabTaxi) – dimana mereka telah menerima suntikan dana sebanyak $250 juta daripada Softbank.

Dengan kedua-dua syarikat yang menjadi fokus ramai kini menerima suntikan dana baru, semestinya salah satu perkara yang kita ingin lihat adalah perancangan mereka untuk tahun hadapan, dan apakah akan mereka lakukan dengan suntikan dana masing-masing.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd