Cari @ Amanz

Pasaran tablet tahan lasak adalah sangat kecil. Kali terakhir sebuah tablet tahan lasak muncul di pasaran tempatan ialah apabila Galaxy Tab 3 Kids mula dijual November tahun lalu. Tablet khas untuk kanak-kanak ini dilengkapi cakerang getah  yang boleh menyerap hentakan sekiranya ia jatuh ketiga digunakan oleh kanak-kanak. Antara soalan yang kami tanyakan kepada pihak Samsung tahun lalu ialah sama ada mereka akan menghasilkan tablet tahan lasak untuk orang dewasa. Jawapan yang diberikan ialah mereka tiada perancangan buat masa terdekat. Setahun sudah berlalu dan Galaxy Tab Active kini muncul di pasaran Malaysia dan ianya tablet tahan lasak khas untuk kegunaan dewasa.

Rekaan

Samsung Tab Active
Pemproses 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM 1.5 GB
Muatan Dalaman 16 GB Sokong kad MikroSD sehingga 64 GB
Kamera Utama 3.15 MP
Kamera Depan 1.2 MP
Skrin 8″ LCD 800 x 1280 pixel (189 ppi)
Bateri 4450 mAh
SIM/Telefoni SIM Mikro / 4G LTE
Harga RM 1599

Tab 3 Kids ialah tablet tahan lasak tetapi kerana rekanan warna terang dan estetik kanak-kanak menyembulkannya canggung digunakan orang dewasa. Dengan Tab Active rekaan yang digunakan lebih menyerupai jam lasak terkemuka Casio G Shock. Bahagian tepi peranti diperbuat daripada bagan bergetah. Panel belakang pula bertekstur untuk cengkaman. Kesemua ini kemudian dibaluti dengan cangkerang getah yang tebal. Dengan dua lapisan getah, pihak Samsung menjamin ia mampu menahan hentakan sekiranya jatuh dari ketinggian 1.2 meter. Kami sempat melakukan ujian kami sendiri dan Tab Active masih berfungsi selepas terjatuh dari ketinggian ini. Kami hanya melakukan ujian jatuh pada bahagian bucu dan belakang. Tidak berani untuk menjatuhkan pada bahagian skrin kerana peranti yang kami uji hanya dipinjam. Selain tahan hentakan, tablet ini juga mempunyai ketahanan air dan debu IP67. Ini bermakna ia boleh direndam sehingga 1 meter selama 30 minit tanpa mengalami kerosakan.

Pada bahagian atas terdapat slot simpanan C Pen. Ini ialah stylus khas yang digunakan bersama Tab Active. Tidak seperti S Pen, stylus ini adalah stylus kapasitif biasa dan bukannya dari keluarga Wacom yang digunakan pada keluarga Galaxy Note. Pada masa yang sama stylus S Pen tidak boleh digunakan pada skrin Tab Active. Stylus C Pen yang disertakan adalah besar dan memudahkan ianya digunakan oleh pengguna yang memakai sarung tangan. Tablet tahan lasak ini turut mensasarkan pengguna sektor industri.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kiri. Slot pengecasan miniUSB dan jack fon kepala terletak pada bahagian bawah. PBerbeza dengan peranti Samsung yang lain, ketiga-tiga butang navigasi Tab Active adalah butang fizikal. Butang home diapit oleh butang multi tasking pada bahagian kiri dan butang back pada sebelah kanan.

 Samsung menjamin ia mampu menahan hentakan sekiranya jatuh dari ketinggian 1.2 meter

Dari segi spesifikasi, Tab Active diperkasakan oleh pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400. RAM sebesar 1.5 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte dengan sokongan kad mikroSD sehingga 64 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah 3.5 Megapixel pada bahagian belakang dan 1.2 Megapixel pada bahagian hadapan. Mod rakaman video hanya sebesar 720P. Ini bermakna Tab Active mempunyai spesifikasi hampir setanding dengan Motorola Moto G yang sahaja kami ulas.

Sungguhpun ianya dipasarkan sebagai sebuah tablet, Tab Active mempunyai fungsi telefoni 4G. Berita baik di sini ialah ia dilengkapi earpiece dan perbualan anda tidak akan didengari oleh orang lain. Berita buruk ialah menggunakan tablet sebagai telefon masih lagi kelihatan aneh terutamanya di tempat terbuka.

[amanz-gallery]

 


Antaramuka

Antaramuka TouchWiz digunakan tetapi adalah versi lama. Sungguhpun baru dikeluarkan kami menyedari ia bukan versi terkini seperti yang digunakan pada Note 4 ataupun Galaxy Tab S. Tidak terdapat fungsi MyMagazine dan Flipboard Briefing. Ketiadaan dua fungsi terkini ini sebenarnya memudahkan penggunaan Tab Active.

Ikhlas kami katakan dua fungsi yang kami sebutkan tadi sebenarnya tidak digunakan oleh majoriti pengguna peranti Samsung, Malahan kami berpendapat ia hanya melambatkan operasi peranti. Kami sedari kelajuan tatalan dan kelancaran penggunaan Tab Active adalah baik. Lebih baik dari Tab S yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi.  Ini kejutan yang baik kerana masalah lengah masa yang menghantui tablet Samsung tidak begitu ketara pada tablet ini.

Kami sedari kelajuan tatalan dan kelancaran penggunaan Tab Active adalah baik. Lebih baik dari Galaxy Tab S Fungsi multi window masih lagi disertakan tetapi hanya menyokong dua aplikasi serentak dan bukannya empat seperti yang mampu dilakukan Galaxy Note Pro. Multi window dilancarkan dengan menarik talam tepi yang terselindung. Kami lebih menyukai cara multi window dilancarkan pada Note 4. Ianya lebih mesra pengguna dan cepat. Mungkin dengan melakukan kemasan sistem operasi Samsung boleh membawa fungsi multi window Note 4 kepada Tab Active.

Pelbagai aplikasi Samsung disertakan yang memberikan anda akses kepada muat turun aplikasi percuma dan tawaran membeli belah yang menarik. Salah satu kelebihan Samsung ialah tawaran-tawaran sebegini.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah aplikasi gagal berfungsi ataupun tertutup dengan sendiri. Masalah panel belakang menjadi panas juga tidak kami sedari. Secara keseluruhan ia berfungsi dengan amat baik sekali sungguhpun mempunyai spesifikasi yang rendah.

C PEN

C Pen ialah stylus bergetah yang disertakan sekali dengan Tab Active. Ianya lebih kecil berbanding C Pen yang digunakan pada Tab 3 Kids tetapi lebih besar dari S Pen peranti Note. C Pen hanyalah stylus kapasitif biasa tanpa sokongan teknologi Wacom. Apabila C Pen dicabut dari tempat simpanan, tiada fungsi Air Command. Kerana ianya hanya sebuah stylus kapasitif, keperincian stylus ini tidak sebaik S Pen. Ia berfungsi setaraf dengan stylus Alcatel One Touch Hero. Tiada apa yang menakjubkan boleh dilakukan oleh C Pen. Menurut Samsung C Pen disertakan bagi memudahkan penggunaannya oleh pekerja yang memakai sarung tangan di tapak pembinaan ataupun kilang. Binaanya yang lebih besar berbanding S Pen memudahkan anda memegangnya walaupun ketika memakai sarung tangan.


Kamera

Saiz sensor kamera utama 3.15 Megapixel yang digunakan pada tablet ini adalah sangat kecil. Ia juga hanya mampu mengambil video pada resolusi 720P. Kamera hadapan pula hanya 1.2 Megapixel. Sungguhpun begitu kualiti gambar yang diambil adalah lebih baik dari yang disangka terutamanya di dalam situasi dengan pencahayaan yang cukup. Apabila gambar diambil pada ruangan yang agak gelap kamera memerlukan masa yang agak lama untuk melakukan pemfokusan dan mengambil gambar. Akibatnya gambar yang diambil menjadi sedikit kabur. Gambar-gambar yang diambil juga tidak cukup tajam dengan masalah softening yang ketara. Kesemua ini adalah dijangka kerana penggunaan sensor yang kecil.


Penanda Aras

Spesifikasi Tab Active jatuh ke dalam pengkelasan peranti kelas bawahan. Pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdrgon 400 yang digunakan sudah berusia beberapa tahun. Ianya jauh di belakang Snapdragon 801 yang digunakan pada Galaxy Tab S. Tab Active lebih menghampiri Motorola Moto G dengan kelebihan pada RAM 1.5 Gigabyte berbanding hanya 1 Gigabyte pada Moto G. Markah penanda aras yang diperelohi juga rendah. Kelancaran peranti tidak sebaik Moto G kerana penggunaan antaramuka Touchwiz. Tetapi yang menariknya bagi kami ialah ianya terasa sedikit lebih lancar berbanding Tab S. Mungkin kerana jumlah fungsi tambahan Touchwiz  Tab S tidak wujud pada Tab Active. Tablet ini tidak berapa sesuai digunakan sebagai tablet permainan kerana tidak mempunyai kemampuan grafik yang tinggi. Kerap kali permainan yang ingin kami mainkan memakan masa yang lama untuk dilancarkan. Tempoh loading juga lebih lama berbanding tablet lain yang lebih berkuasa.



Bateri

Bateri 4070 mAh digunakan dan ia mempunyai hayat yang mengagumkan. Pada penggunaan berat kami mampu menggunakan Tab Active melebihi 12 jam. Pada penggunaan ringan pula ia mampu bertahan melebihi sehari. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak membawa power bank ataupun telefon tambahan kerana kami cukup yakin dengan hayat bateri tablet ini. Kemampuan bateri ialah kekuatan utama Tab Active.


Penutup

Samsung Galaxy Tab Active ialah tablet tahan lasak yang mensasarkan golongan dewasa terutamanya di sektor perindustrian. Peranti ini memang tahan lasak dan juga kalis air. Perkara positif yang boleh kami katakan ialah ianya berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan. Malahan kami boleh katakan ianya berfungsi lebih baik dan lancar berbanding Galaxy Tab S yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi. Peranti tahan lasak ini juga kami rasakan akan menarik minat ibu bapa yang mahukan sebuah tablet tahan lasak untuk anak-anak mereka. Ketahanan bateri peranti ini juga amat membanggakan. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan lebih dari 10 jam pada penggunaan berat. Pada penggunaan paling ringan ia mampu bertahan melebihi 24 jam.

Kelemahan paling ketara ialah kemampuan kamera yang rendah. Gambar yang elok hanya boleh diambil pada situasi pencahayaan yang mencukupi. Selain dari situasi di atas kualiti gambar menjadi kurang memuaskan. Ia mengambil masa yang agak lama untuk memfokus dan mengambil gambar apabila di dalam keadaan yang agak gelap. Gambar yang diambil juga kurang tajam dengan penghasilan warna yang kusam.

Sekiranya anda memerlukan tablet yang tahan lasak kini hanya ada dua tablet yang memenuhi keperluan anda di pasaran. Samsung Galaxy Tab 3 Kids ataupun Tab Active. Sony menghasilkan Xperia Tablet Z tetapi tablet tersebut tidak mempunyai ketahanan hentakan setanding dengan dua tablet yang disebutkan tadi. Pada harga RM 1599 harga jualan tablet ini jatuh ke dalam kategori mahal. Samsung Galaxy Tab S yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi hanya RM 100 lebih mahal. Harga jualan tablet ini sangat tidak kompetitif dan berpadanan dengan spesifikasinya yang rendah. Sukar untuk mengesyorkan pembeliannya kerana anda boleh membeli sebuah iPad Mini dan cangkerang tahan Otterbox pada harga yang lebih murah. Mungkin pihak Samsung perlu melakukan pelarasan harga sebelum Tab Active berbaloi untuk dimiliki.

PRO dan Kelebihan
  • Buatan tahan lasak. Kemasan dan cangkerang getah mampu menahan hentakan sehingga 1.2 meter.
  • Tahan air dan debu IP67.
  • Jangka hayat bateri yang bagus
  • Kelajuan dan kelancaran penggunaan yang baik sungguhpun mempunyai spesifikasi yang rendah.
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga yang tidak lagi kompetitif di pasaran
  • Kamera tidak cukup tajam dengan sensor yang kecil

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd