MyFilem – Perkhidmatan Penstriman Dan Muat-Turun Filem Malaysia Dan Antarabangsa Bakal Dilancarkan 2015

MyFilem – Perkhidmatan Penstriman Dan Muat-Turun Filem Malaysia Dan Antarabangsa Bakal Dilancarkan 2015

Diterbitkan pada Dis 6, 2014 oleh .

Pada hari ini, dengan perkembangan arena dunia internet, terdapat beberapa web dan perkhidmatan yang menawarkan filem untuk ditonton ataupun dimuat-turun oleh pengguna. Salah satu yang popular adalah iTunes, dan terkini salah satu perkhidmatan baru daripada syarikat tempatan bakal hadir – dinamakan sebagai MyFilem.

MyFilem masih lagi pada peringkat pembangunan buat masa ini, dan dijangka akan dilancarkan pada tahun 2015 kelak. Melalui borang kaji selidik yang disediakan oleh pihak myFilem, mereka mengatakan MyFilem adalah portal di Malaysia untuk peminat filem menyewa dan juga membeli filem-filem tempatan dan antarabangsa.

MyFilem

MyFilem

Walaupun masih dalam peringkat pembangunan, web MyFilem telah pun boleh diakses dan memberikan idea bagaimana perkhidmatan tersebut akan berfungsi. Menggunakannya, pengguna boleh melihat video trailer untuk sesuatu filem, membuat carian filem berasaskan genre, dan juga melihat harga untuk sesuatu filem terus pada web berkenaan. Daripada apa yang dilihat secara kasar, filem dihargakan sekitar RM6.99 ke RM19.99 pada laman berkenaan.

Ia tidak diketahui sama ada harga yang ditayangkan adalah harga akhir ataupun sekadar untuk menguji laman prototaip mereka sahaja. Perkhidmatan MyFilem juga dilihat turut menerima kerjasama daripada pihak kerajaan, termasuk Finas, dan juga SKMM.

MyFilem

MyFilem

Dengan arena internet yang berkembang secara positif dari hari ke hari, mungkin ia tidak akan menjadi suatu masalah untuk pengguna memuat-turun dan menontonnya di rumah – berbanding perlu ke kedai untuk mendapatkan DVD dan sebagainya. Apa pun, seperti biasa, harga penawaran dan kemudahan sistem tersebut akan memberikan impak kepada jualan filem melalui laman berkenaan.

MyFilem dijangka akan dilancarkan pada tahun 2015 kelak, tetapi dilihat mereka telah pun memulakan aktiviti promosi untuk perkhidmatan mereka. Bagi anda, apakah anda akan mendapatkan filem kegemaran anda melalui MyFilem kelak, ataupun melanggannya melalui beberapa perkhidmatan alternatif – termasuk penawaran seperti Astro First untuk menonton filem kegemaran anda yang terlepas di panggung wayang?

Layari : MyFilem


TIPS & ULASAN