Cari @ Amanz

BenQ ialah jenama yang lebih sinonim dengan perkakasan komputer dan bukannya peranti pintar. Dengan F5 dan T3, BenQ ingin kembali semula ke arena penghasilan peranti pintar. Di antara dua peranti yang disebutkan tadi, F5 ialah peranti yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi. Di atas kertas ia mempunyai spesifikasi setanding dengan sebuah Moto G dan Galaxy Tab Active yang baru sahaja kami ulas dalam masa terdekat ini. Adakah BenQ F5 setanding dengan dua peranti ini? Mari baca ulasan kami untuk mendapatkan jawapannya.

Rekaan

BenQ F5
Pemproses 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB Sokong kad MikroSD sehingga 64 GB
Kamera Utama 13 MP
Kamera Depan 2 MP
Skrin 5″ LCD IPS 720P (294 ppi)
Bateri 2520 mAh
SIM/Telefoni SIM Mikro / 4G LTE
Harga RM 699

BenQ F5 muncul di pasaran sebagai peranti kelas bawahan yang mensasarkan pasaran peranti mampu milik. Sejak kebelakangan ini peranti kelas mampu milik dan pertengahan semakin hangat dengan lambakan peranti dari tanah besar China. Kemunculan pelbagai peranti dengan harga mampu milik ini membenarkan golongan yang sebelum ini hanya mampu menggunakan feature phone untuk beralih ke dunia peranti pintar. Pada pandangan seorang pengguna persaingan sengit pengeluar ini sangat menguntungkan. Jika anda berkata kepada saya lima tahun yang lalu bahawa saya boleh membeli sebuah peranti pintar empat teras pada harga kurang dari RM 800 saya akan mentertawakan anda kerana ianya seakan fantasi. Fantasi kini menjadi realiti dan kami sedari di dalam KTM Komuter jumlah pengguna feature phone sudah semakin berkurangan. Ini ialah kayu pengukur kami bahawa golongan marhaen tidak lagi ketinggalan dalam penggunaan peranti pintar.

BenQ F5 diperkasakan pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400, RAM 2 Gigabyte dam muatan dalaman 16 Gigabyte dengan sokongan kad MikroSD. Skrinnya pula sebesar 5″ IPS LCD dengan resolusi 720P. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 2 Megapixel pada bahagian hadapan. Kamera yang disertakan mampu mengambil rakaman video pada resolusi 1080P. Ini ialah perbezaan ketara di antara F5 dan Moto G 2014. Moto G 2014 hanya mampu mengambil video pada resolusi 720P.

Rekaan F5 kami boleh katakan adalah retro. Ia mengingatkan kami kepada rekaan peranti pintar era 2011. Kemasan peranti diperbuat daripada plastik dengan catan berwarna logam. Terdapat dua pilihan warna iaitu putih dan juga hitam.Pada bahagian kanan terdapat butang suara. Butang kuasa dan jack fon kepala diletakkan pada bahagian atas. Pada bahagian bawak terdapat port mikroUSB untuk pengecasan. Tiada pembesar suara stereo di bahagian hadapan kerana pembesar suara mono sahaja digunakan pada belakang peranti. Panel belakang yang diperbuat daripada plastik boleh dibuka untuk mendapatkan akses kepada slot MikroSIM dan MikroSD. Sungguhpun panel belakang boleh dibuka, bateri 2520 mAh tidak boleh ditanggalkan kerana ditutup dengan panel logam.

Kamera yang disertakan mampu mengambil rakaman video pada resolusi 1080P. Ini ialah perbezaan ketara di antara F5 dan Moto G 2014.

BenQ F5 masih menggunakan butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu peranti. Berita baik di sini ialah butang kapasitif ini menyala bagi memudahkan anda menggunakannya dalam keadaan gelap. Ini mungkin nampak seperti sesuatu yang tidak penting tetapi kami menyedari ada beberapa pengeluar yang menggunakan butang kapasitif tidak menyala pada peranti mereka. Butang home dihimpit oleh butang multi tasking pada bahagian kiri dan butang back pada bahagian kanan.

Kerana bahagian tepi peranti yang melengkung, memegangnya untuk tempoh yang lama terasa amat selesa. Saiz skrin yang sederhana juga memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dari segi estetik peranti ini bukanlah peranti tercantik di pasaran. Rekaannya yang retro (mengingatkan kami kepada peranti HTC sekitar 2011) membuatkan ia kelihatan seperti sebuah telefon lama. Ini adalah kelemahan paling ketara apabila anda melihatnya sekilas pandang.

[amanz-gallery]

 


Antaramuka

Antaramuka BenQ diberia nama Q UI. Ianya antaramuka Android Stock yang diberikan perubahan ikon dan skema warna. Tiada pilihan melakukan perubahan rupa dan tema pada Q UI. Antaramuka ini juga tidak mempunyai talam aplikasi.Secara jujurnya antaramuka Q UI bukanlah antara antaramuka yang tercantik pernah kami lihat. Sama seperti rekaan rekabentuk peranti, rekaan antarmuka Q UI juga masih lagi retro. Trend rekaan antaramuka sekarang lebih menghala kepada minimalis dan rata.

Sistem Android yang digunakan pula ialah 4.4.2 Kit Kat. Kesemua fungsi asas Android  disertakan tanpa penambahan yang banyak dilakukan oleh BenQ. Setakat ini masih tiada maklumat sama ada F5 akan menerima kemasan Android 5.0 Lollipop di masa hadapan.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah aplikasi gagal berfungsi ataupun tertutup dengan sendiri. Masalah panel belakang menjadi panas juga tidak kami sedari. Kelajuan tatalan juga baik serta lancar bagi sebuah peranti kelas rendah.

Seperkara lagi yang menarik ialah peranti ini menyokong fungsi tap to wake. Biasanya fungsi ni hanya kami lihat pada peranti kelas tinggi dan pertengahan. Fungsi ini pertama kali kami lihat pada Oppo Find 7. Pada Moto G 2014 yang baru kami ulas fungsi ini tidak disertakan sungguhpun ia kali pertama diperkenalkan pada peranti Motorola. Fungsi tap to wake ini adalah fungsi yang kami sangat perlukan kerana telah biasa menggunakannya pada peranti milik kami sendiri. Ia membuatkan butang kuasa tidak lagi diperlukan untuk menyahkunci peranti. Lokasi butang kuasa F5 yang terletak di atas membuatkan fungsi tap to wake benar-benar memudahkan penggunaan peranti ini. Syabas buat BenQ kerana meletakkan fungsi ini pada peranti mereka.

 

Low Blue Light

Teknologi Blue Light ini pada asalnya digunakan pada paparan LCD BenQ. Menurut BenQ teknologi ini mampu mengurangkan kesakitan mata apabila peranti digunakan pada tempoh yang lama. Terdapat tiga tahap pengurangan cahaya biru yang disertakan untuk membaca, melayari web dan menonton video.

 


Kamera

Dengan sensor kamera sebesar 13 Megapixel, F5 mempunyai kelebihan berbanding pesaing di pasaran yang mempunyai sensor lebih kecil. Pilihan tetapan aplikasi kamera peranti ini juga lebih besar. Dari gambar antaramuka di bawa anda boleh melihat sendiri jumlah tetapan yang boleh dipilih. F5 mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada resolusi 13 Megapixel. Gambar bernisbah 16:9 hanya boleh diambil di dalam saiz 10 Megapixel. Antaramuka aplikasi kamera mudah difahami dan kehadiran ikon yang menunjukkan tetapan yang dipilih amat membantu. Terdapat juga kawalan manual sekiranya anda mahu. Peranti ini mengambil video pada resolusi 1080P dan terdapat juga mod gerak perlahan.

Pada keadaan pencahayaan yang terang gambar yang diambil adalah sangat baik. Penghasilan warna semula adalah tepat dengan subjek yang diambil. Dalam keadaan pencahayaan yang kurang seperti di waktu senja, gambar masih lagi baik sungguhpun mula menunjukkan masalah noise.

 

 

Apabila gambar diambil pada waktu malam masalah blooming mula kelihatan seperti pada papan tanda kedai di bawah.

 

 

Pada mod dekat gambar yang diambil adalah baik. Keperincian pada bulu kucing boleh dilihat dengan jelas.

 

BenQ F5 mempunyai mod khas yang diberi nama Ultra Sensitivity. Ianya digunakan di dalam situasi pencahayaan rendah. Gambar mod ultra sensitivity  (bawah) nyata lebih terang berbanding mod biasa (atas). Nyata sekali mod ini sangat berguna apabila mengambil gambar di dalam suasana gelap.

 

Video

Berikut adalah dua contoh rakaman video yang sempat kami ambil. Tidak seperti rakaman gambar, penghasilan semula warna di dalam rakaman video adalah sedikit kusam.

Kesimpulan

Kualiti gambar yang diambil adalah baik di dalam keadaan terang. Penghasilan warna yang baik serta gambar yang agak tajam. Di dalam keadaan gelap masalah noise dan blooming mula kelihatan Untuk situasi gelap fungsi ultra sensitivity berfungsi dengan baik. Gambar yang diambil adalah terang berbanding menggunakan mod automatik. Rakaman video adalah sederhana kerana penghasilan warna yang kurang tepat. Secara keseluruhan kemampuan kamera adalah baik bagi sebuah peranti kelas bawahan dan jika dibandingkan dengan peranti lain di dalam kelasnya.

 


Penanda Aras

Dalam masa sebulan kami mengulas tiga peranti yang menggunakan pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400. F5, Moto G 2014 dan Galaxy Tab Active ialah tiga peranti yang menggunakan pemproses ini. Perbezaan paling ketara diantara ketiga-tiga peranti ini ialah jumlah RAM mereka. F5 mempunyai RAM terbesar dengan 2 GB diikuti oleh Galaxy Tab Active (1.5 GB) dan Moto G 2014 (1 GB). Perbezaan markah penanda aras tidaklah begitu besar dengan secara keseluruhan Galaxy Tab Active mencatatkan markah yang lebih tinggi dari dua lagi peranti yang disebutkan. Hanya Moto G dan F5 dikategorikan sebagai telefon pintar jadi kami rasakan adalah lebih relevan untuk membezakan kemampuan dua peranti ini. Perbezaan yang tidak terlalu besar jelas kelihatan. Sungguhpun begitu Moto G 2014 terasa sedikit lebih lancar dan pantas kerana penggunaan Android Stock.Tetapi kerana jumlah RAM yang lebih besar pada F5, lebih banyak aplikasi dapat dilancarkan dengan serentak tanpa aplikasi di belakang perlu ditutup ketika melakukan multitasking.



Bateri

Bateri 2520 mAh F5 mampu bertahan diantara 7-8 jam pada penggunaan berat dan 17-18 jam pada penggunaan ringan. Ini adalah tahap jangka hayat bateri yang sederhana.


Penutup

Pasaran peranti kelas bawahan semakin hangat kebelakangan ini dan BenQ F5 mempunyai beberapa kelebihan berbanding pesaing terdekatnya iaitu Motorola Moto G 2014. Dari segi kelancaran kami dapati kedua-dua peranti ini adalah setanding. Kustomasi Q UI yang digunakan F5 tidak menjejaskan kelancaran peranti. Fungsi tap to wake yang disertakan cukup kami gemari dan sebelum ini hanya kami lihat pada peranti kelas tinggi seperti Xperia Z3 dan Oppo Find7.

Selain daripada itu saiz sensor kamera 13 Megapixel yang digunakan adalah lebih besar berbanding peranti lain di dalam kelas yang sama dengan F5. Gimik unik F5 pada hemat kami ialah teknologi Low Blue Light. Teknologi paparan skrin ini pada asalnya digunakan pada skrin LCD yang dikeluarkan Ben Q. Terdapat empat tetapan yang mengurangkan tahap sinar biru yang dipaparkan pada skrin. Menurut Ben Q, dengan pengurangan sinaran biru anda boleh menggunakan peranti dengan lebih lama tanpa mengalami kesakitan mata.

Secara keseluruhan Ben F5 ialah peranti yang berfungsi dengan baik walaupun mempunyai spesifikasi yang rendah. F5 nyata mempunyai kelebihan yang dari segi saiz RAM dan sensor kamera berbanding pesaingnya di pasaran.

PRO dan Kelebihan
  • Berfungsi dengan lancar dan baik walaupun mempunyai spesifikasi rendah.
  • Mengambil video pada resolusi 1080P. Pesaing dengan spesifikasi setanding hanya mengambil video pada resolusi 720P.
  • Kemampuan kamera yang baik bagi sebuah peranti kelas bawahan dan harga di bawah RM1000.
KONTRA dan Kekurangan
  • Rekaan yang sedikit ketinggalan zaman.
  • Bukan peranti untuk permainan 3D terkini. Tidak mempunyai kemampuan grafik yang tinggi.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd