Ralph Baer : Bapa Permainan Video Meninggal Dunia

Ralph Baer : Bapa Permainan Video Meninggal Dunia

Diterbitkan pada Dis 9, 2014 oleh .

Ralph-Baer

PlayStation menyambut ulang tahun ke-20 minggu lalu dan kesemua ini tidak akan berlaku tanpa Ralph Baer. Berita sedih hari ini ialah bapa kepada permainan video ini baru sahaja menghembuskan nafasnya yang 6 Disember lalu. Ralph Baer mencipta prototaip permainan video pada tahun 1966 setelah menyedari terdapat 40 juta set televisyen dijual di Amerika Syarikat. Pada pendapat beliau televisyen hanya menyediakan hiburan pasif dan pastinya ada cara untuk membuatkan penonton berinteraksi dengan televisyen milik mereka. Prototaip yang dihasilkan gagal mendapat sokongan pengeluar televisyen yang menolak ciptaan beliau kerana “tidak mempunyai pasaran”. Pada tahun 1972 beliau menghasilkan konsol Magnavox Odyssey yang merupakan konsol permainan video pertama dunia. Sebanyak 350 000 unit konsol ini terjual dan industri permainan komputer yang kini bernilai $10 Billion wujud kerana konsol ini. Selain mencipta konsol, Ralph Baer juga mencipta permainan elektronik untuk kanak-kanak. Jasa beliau mencipta permainan video dihargai oleh Presiden Amerika Syarikat pada tahu 2004 dengan penganugerahan National Medal of Technology. Prototaip konsol pertama beliau kini disimpan di Muzium Smithsonian untuk tontonan generasi akan datang.

Kisah hidup Ralph Baer boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada kita semua. Beliau dilahirkan di Jerman pada tahun 1922 dan ditendang keluar dari sekolah pada usia 11 tahun kerana berketurunan Yahudi. Keluarga beliau berhijrah ke Amerika Syarikat sebelum penghapusan etnik Yahudi dilakukan oleh Nazi. Ralph berhenti pergi ke sekolah untuk bekerja di kilang bagi membatu keluarga beliau.  Pada suatu hari beliau ternampak iklan untuk mempelajari asas elektronik dan berjaya mendapatkan sijil sebagai pembaiki radio bertauliah. Apabila Perang Dunia Kedua meletus beliau menyertai angkatan tentera di dalam bidang mengumpul maklumat. Selepas perang tamat beliau mendapat pengajian formal di dalam bidang kejuruteraan televisyen.

Kesukaran hidup, kebencian perkauman dan peperangan tidak menghalang Ralph Baer untuk mencipta sesuatu yang menggembirakan jutaan manusia sekarang. Jadi janganlah kita mencari alasan untuk tidak berusaha untuk berjaya kerana pelbagai dugaan yang diberikan oleh Allah SWT. Yakinlah dengan kebolehan diri dan rezeki yang dijanjikan yang maha esa.


TIPS & ULASAN