Carousell hari ini telah melancarkan aplikasi mudah-alih memfokuskan kepada jual-beli mereka di Malaysia, sekaligus memperluaskan penawaran perkhidmatan mereka kepada para pengguna tempatan. Pihak Carousell mengatakan mereka akan mengadakan beberapa jerayawara sekitar Malaysia dalam mempromosikan aplikasi berkenaan tidak lama lagi.
Carousell merupakan salah satu aplikasi yang membolehkan pengguna membuat jual-beli menggunakannya dengan mudah. Ia membawakan antaramuka yang ringkas dan cara penggunaan seumpamanya Instagram, dimana pengguna menggunakan kamera untuk merakamkan gambar, membuat penyuntingan pada gambar, dan seterusnya menambah informasi seperti nama produk dan maklumat lanjut sebelum menerbitkannya. Carousell mengatakan segala proses ini mengambil masa kurang 30 saat untuk disiapkan dan memudahkan pengguna untuk menjual menggunakannya. Fungsi permesejan turut disertakan untuk membolehkan pembeli berinteraksi dengan penjual di Carousell.
Carousell telah dimulakan di Singapura dan diperkenalkan pada tahun 2012 yang lepas. Baru-baru ini mereka telah menerima suntikan dana sebanyak $6 juta daripada Rakuten dan beberapa pelabur yang lain. Ini membolehkan mereka memperluaskan perkhidmatan mereka ke beberapa negara berdekatan. Buat masa ini, mereka sedia menawarkan perkhidmatan di Taiwan dan Indonesia selain Singapura dan Malaysia.
Di Malaysia, perkhidmatan ini dijangka akan bersaing dengan beberapa perkhidmatan yang lain, termasuk salah satunya adalah aplikasi jual-beli daripada pihak Maybank, iaitu Snap & Sell. Dengan arena jual-beli atas talian, terutamanya pembelian mudah-alih yang semakin popular dari hari ke hari, kita mungkin akan dapat melihat persaingan positif antara kedua-dua aplikasi ini pada tahun hadapan.
- Muat-Turun Carousell untuk Android
- Muat-Turun Carousell untuk iOS