Cari @ Amanz

Alcatel OneTouch FlashSebut sahaja Alcatel sudah tentu anda akan teringat butang ‘jog-dial’-nya yang popular satu ketika dulu. Tahun ini mereka telah tampil dengan OneTouch Idol X, Idol X+, Idol 2, Alpha dan Hero. Terkini, baru-baru ini, pihak Alcatel OneTouch di Malaysia (TCL Mobile) turut telah memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar mereka yang terbaru pada harga rendah dan fokus terhadap fungsi selfie, dinamakan sebagai Alcatel OneTouch Flash.

Dari segi rekabentuk dan spesifikasi, ia boleh dikatakan tidak terlalu nipis bagi kami. Alcatel OneTouch Flash mempunyai ketebalan peranti bersaiz 8.21mm dan mempunyai rekaan badan unibodi plastik dengan kemasan metalik pada bahagian tepi. Perkara ini membuatkan pengguna tidak boleh membuka bahagian belakang peranti berkenaan, termasuk tidak boleh mengeluarkan bateri berkapasiti 3200mAh yang disertakan pada peranti ini. Apa yang boleh dibuka adalah pada bahagian tepi peranti ini, iaitu ruangan kad-SIM dan juga ruangan mikro-SD. Kedua-duanya diletakkan pada bahagian kiri peranti, sementara pada bahagian kanan peranti pula ia menyertakan butang kuasa, dan juga butang kawalan audio.

Alcatel OneTouch Flash
Pemproses MediaTek MT6592M 1.4Ghz
RAM 1GB
Kamera Depan 5-megapixel
Kamera Belakang 13-megapixel
Skrin 5.5-inci
Bateri 3200mAh

Beberapa iklan dan promosi awal Alcatel oneTouch Flash ini sedia membandingkan peranti ini dengan keluarga Galaxy Note. Perkara ini sekaligus membuatkan OneTouch Flash ini bersaing dalam arena keluarga phablet berasaskan Android. OneTouch Flash ini menyertakan skrin bersaiz 5.5-inci, tetapi hanya membawakan paparan resolusi pada kadar 720p. Bagi anda yang sudah biasa menggunakan peranti pada paparan 1080p ataupun 2k, mungkin akan nampak sedikit perbezaan pada skrin ini – terutamanya ketika anda menggunakan ia untuk melayari web dan melihat sendiri ketajaman teks yang dibawakan olehnya. Apa pun, pada harga RM699, mungkin perkara tersebut telah dijangka – dan ia mungkin lebih menyasarkan pengguna baru yang belum biasa dengan resolusi tinggi.

Selain berfungsi sebagai phablet, satu lagi perkara yang menjadi fokus utama pada OneTouch Flash ini adalah sokongan rakaman selfie. Peranti ini membawakan kamera hadapan 5-megapixel, serta membawakan beberapa mod khusus untuknya. Pengguna turut boleh menambah kesan khas pada gambar, dan melihat ia dalam bentuk masa-nyata pada peranti ini. Disamping itu, untuk bahagian belakang pula, OneTouch Flash membawakan kamera 13-megapixel dengan sokongan rakaman video 1080p pada kadar 30fps. Memandangkan pihak Alcatel dilihat seperti menyasarkan pengguna baru, mereka turut membuat beberapa tukaran pada bahagian tetapan, termasuk memaparkan pilihan resolusi rakaman gambar dalam pilihan “Small”, “Medium” atau “Large” sahaja tanpa memaparkan angka resolusi untuknya.

alcatelonetouchflash-screen-1

alcatelonetouchflash-screen-2

Alcatel OneTouch FlashUntuk bahagian pemprosesan, Alcatel OneTouch Flash menggunakan cip lapan-teras daripada MediaTek pada kelajuan 1.4Ghz, dan turut dilengkapi dengan memori sebanyak 1GB RAM. Seperti peranti Android daripada Alcatel sebelum ini, ia menggunakan antaramuka tersendiri daripada mereka, dan turut membawakan beberapa perubahan, termasuk menggunakan beberapa sokongan daripada MediaTek. Salah satu yang digunakan oleh mereka adalah HotKnot.

HotKnot membolehkan pertukaran fail antara peranti dengan menyentuhkan skrin telefon ini dengan telefon OneTouch Flash yang lain. Secara kasar, ia berfungsi lebih kurang seperti NFC, dimana pengguna hanya perlu memilih fail yang ingin dihantar, dan menekan butang HotKnot. Apapun ikonnya agak mengelirukan, dimana ia saling tidak tumpah bagaikan ikon ‘Copy’ dan tiada pilihan Hotknot pada menu “Share”. Selain daripada HotKnot, pihak Alcatel turut menyertakan beberapa fungsi tambahan pada peranti ini, termasuk salah satunya adalah sokongan dwi-tap pada skrin untuk mengaktifkannya – lebih kurang seperti pada beberapa peranti premium yang terdapat di pasaran hari ini.

Percubaan ringkas kami tidak memperlihatkan sebarang lengah masa dan ia berfungsi dengan lancar. Memandangkan ia hanya menjalankan aplikasi terbina, tanpa kami memuat-turun sebarang aplikasi tambahan, atau menyimpan fail media, maka perkara ini adalah sedia dijangka. Kami akan membawakan ulasan penuh peranti ini jika berpeluang. Pada harga RM699, Alcatel OneTouch Flash ini boleh dikatakan antara phablet yang menarik dipasaran, selain turut hadir dengan sokongan jaminan skrin selama setahun – membolehkan anda menukar skrin peranti sekiranya mengalami kerosakkan. Disamping itu, pada harga tersebut, pihak Alcatel turut menyertakan sebuah flip-cover percuma untuk para pembeli.

Alcatel OneTouch Flash -IMG_6148

Alcatel OneTouch Flash -IMG_6177

Alcatel OneTouch Flash -IMG_6172

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd