Sony Bereksperimen Dengan Kunci Pintar Dinamakan Qrio

Sony Bereksperimen Dengan Kunci Pintar Dinamakan Qrio

Diterbitkan pada Dis 13, 2014 oleh .

Sony yang menghadapi masalah persaingan sengit dalam pelbagai arena, dilihat sedang melihat kepada beberapa cabang perniagaan yang baru. Sebelum ini, kita sedia melihat sebuah jam tangan pintar berasaskan e-ink, dan terkini Sony hadir dengan sebuah lagi eksperimen melalui kunci pintar untuk digunakan pada rumah.

Qrio

Produk yang dinamakan sebagai Qrio ini dilihat merupakan ujian pihak Sony dan World Inovation Lab dalam hadir dengan penawaran kunci pintar yang dikawal menggunakan telefon pintar. Menggunakannya, pengguna hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk membuka pintu, selain boleh berkongsi kunci kepada sesiapa yang dikehendaki melalui telefon pintar. Ini mungkin berguna bagi mereka yang berkongsi rumah, ataupun bagi mereka yang ingin memberikan kunci kepada rakan mereka yang menumpang di rumah dan sebagainya.

Sony dilihat mempunyai pegangan sebanyak 40% dalam projek Qrio ini, dan mereka telah pun berjaya mengumpulkan dana yang diperlukan melalui sebuah laman pengumpulan dana di Jepun. Ia juga sekaligus membolehkan mereka menguji permintaan pasaran terlebih dahulu sebelum menjualnya di pasaran terbuka. Semua penyumbang dana yang memilih untuk mendapatkan Qrio akan mendapat versi prototaip awal pada harga sedikit rendah berbanding harga jualan akhirnya kelak.

Dengan perkembangan ini, kita mungkin akan dapat melihat Sony terus bereksperimen dengan beberapa industri baru yang lain – terutamanya dalam arena IoT (Internet of Things) yang semakin mendapat perhatian ramai akhir-akhir ini.


TIPS & ULASAN