Cari @ Amanz

Microsoft hari ini telah memperkenalkan sebuah aplikasi dalam bentuk beta kepada para pengguna peranti Windows Phone, membolehkan mereka berinteraksi dengan peranti tanpa perlu menyentuh skrin. Fungsi ini diperkenalkan dalam bentuk terhad, dan memfokuskan kepada fungsi panggilan sahaja buat masa ini.

Gestures Beta

Fungsi baru ini ditawarkan oleh pihak Microsoft kepada pengguna peranti Lumia dalam sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai Gestures Beta. Pengguna boleh memuat-turunnya, dan sebaik sahaja selesai memasang aplikasi berkenaan, peranti akan diperlukan untuk dimulakan semula.

Selepas itu, pengguna boleh mula menggunakan fungsi gesture untuk mengawal peranti berkenaan ketika menerima panggilan telefon. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan menjawab telefon secara automatik apabila mengangkat telefon ke telinga, mengaktifkan speaker pada panggilan apabila diletakkan dengan skrin menghadap ke atas, mute mikrofon apabila meletakkan skrin dengan menghadap ke bawah, dan mendiamkan peranti apabila meletakkan skrin dengan menghadap ke bawah apabila tidak menerima panggilan.

Melalui halaman aplikasi berkenaan, Microsoft mengatakan ia boleh digunakan pada semua peranti Lumia, kecuali Lumia 630, Lumia 635 dan Lumia 530 yang akan mempunyai penawaran fungsi yang terhad. Memandangkan ia masih pada peringkat beta, tidak mustahil untuk kita melihat lebih banyak fungsi baru disertakan pada aplikasi Gestures ini pada masa akan datang.

Bagi pengguna Lumia, anda mungkin boleh memuat-turun aplikasi ini, dan mencuba sendiri fungsi yang ditawarkan oleh Microsoft ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd