Cari @ Amanz

GhostSwimmer

Di dalam filem James Bond Octopussy, pengintip ternama ini menggunakan sebuah kenderaan pengintip yang kelihatan seperti seekor buaya. Kenderaan intipan tersebut digunakan untuk memasuki markas penjahat tanpa dikesan. Tentera Laut Amerika Syarikat kini juga menggunakan teknik mengajuk rupa haiwan untuk kenderaan intipan terkini mereka. GhostSwimmer ialah sebuah dron bawah laut yang kelihatan seperti seekor ikan jerung lengkap dengan sirip dorsal. Dron kawalan jauh sepanjang 1.5 meter dan seberat 45 kilogram ini boleh digunakan untuk mengintip markas atau mengambil gambar kapal musuh tanpa dikesan dengan mudah. GhostSwimmer mampu mengajuk pergerakan seekor ikan jerung sebenar bagi menyukarkan ianya dikesan sebagai sebuah dron bawah laut. Dron ini juga mampu menyelam sehingga 90 meter bagi mengesan kapal selam. Projek GhostSwimmer ialah kesinambungan dari projek BIOSwimmer, sebuah dron bawah laut yang mempunyai bentuk seekor ikan tuna. Kedua-dua dron ini adalah hasil projek Silent NEMO yang mahu melengkapkan Tentera Laut Amerika Syarikat dengan sistem ketenteraan yang menyerupai haiwan organik. Projek ini dimulakan pada tahun 2012 dan menunjukkan hasil yang baik setakat ini.

GhostSwimmer-2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd