Cari @ Amanz

Facebook JualLebih kurang seperti Google, Facebook sering menguji pelbagai fungsi-fungsi secara terhad pada laman sosial mereka sebelum diperkenalkan secara meluas. Terkini, ia dilihat pihak Facebook sedang menguji sokongan untuk menjual barangan di Facebook Groups untuk memudahkan para pengguna berjual-beli dengan rakan-rakan mereka.

Melalui ujian yang dilakukan oleh Facebook tersebut, pada bahagian kemaskini status di Facebook Groups, mereka menambah sebuah ruangan baru dinamakan “Sell Something”. Menggunakannya, pengguna boleh menulis apa yang anda ingin jual, harga jualan, dan juga menambah gambar serta penerangan untuk produk tersebut.

Sebaik sahaja klik kongsi, perkongsian tersebut akan diperlihatkan kepada para pengguna tanpa sebarang penambahan atau ruangan transaksi daripada Facebook. Ia beroperasi lebih kurang seperti kemaskini status yang lain di laman sosial berkenaan.

Facebook Jual

Apa pun, ia masih pada peringkat ujian buat masa ini, dan tidak mustahil untuk Facebook memperluaskan ia ke bahagian lain di laman sosial mereka, dan mengintegrasikan sistem pembayaran tersendiri daripada mereka.

Kami masih belum berpeluang mencuba fungsi ini buat masa ini. Jika anda pernah terjumpa atau mencuba fungsi ini, mungkin boleh berkongsi dengan kami pengalaman anda menggunakannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd