Penggunaan gajet kini semakin meluas dan pemintaran segala peralatan kini sudah menjadi kebiasaan. Teknologi maklumat digunakan oleh kesemua sektor dan tidak mengejutkan ianya turut diambil serius oleh pihak tentera. Dengan adanya sistem maklumat bersepadu misi boleh dijalankan dengan lebih pantas dan tepat. Bagi memastikan tentera di medan perang diberikan maklumat terkini mereka memerlukan komputer mereka sendiri. Komputer riba yang sedia ada tidak cukup tahan lasak untuk kegunaan ketenteraan maka Modular Tactical System kini digunakan oleh pasukan khas Amerika Syarikat. MTS rekaan Black Diamond memudahkan alat kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi dibawa oleh anggota pasukan khas tanpa perlu dipegang. Komputer tahan lasak, radio dan pengesan GPS dilekapkan terus kepada baju kalis peluru yang dipakai. Apabila diperlukan panel hadapan boleh dibuka bagi memberikan akses kepada komputer riba skrin sesentuh. Pada panel belakang pula disimpan pek bateri dan CPU komputer. Sistem MTS juga kompak bagi mengurangkan beban yang dibawa oleh pemakai. Dengan adanya sistem sebegini anggota tentera akan dapat menjalankan misi dengan lebih mudah, selesa dan selamat.
Teknologi sebegini memastikan anggota tentera mempunyai kelebihan berbanding musuh. Ketika Perang Teluk 1990, tentera Amerika Syarikat menggunakan teknologi GPS yang pada ketika itu masih lagi baru. Mereka mampu merentasi gurun pasir Iraq yang sebelum ini dikatakan tidak boleh dilepasi oleh mana-mana tentera sejak berabad lamanya. Tentera Iraq tidak menyangka askar Amerika boleh merentasi gurun dan tidak memberikan sebarang tentangan. Apabila melihat sistem MTS kami teringat unit penggodam milik China di dalam permainan Command and Conquer Generals. Penggodam di medan perang masih lagi fiksyen tetapi sekurang-kurangnya penggunaan teknologi maklumat oleh tentera di medan perang kini sudah menjadi realiti.