Google Dilaporkan Ingin Membawa Android Terus Ke Kereta Tanpa Keperluan Menghubungkan Telefon

Google Dilaporkan Ingin Membawa Android Terus Ke Kereta Tanpa Keperluan Menghubungkan Telefon

Diterbitkan pada Dis 19, 2014 oleh .

Google sedia mengumumkan Android Auto sebelum ini, yang mana memerlukan pengguna menghubungkan telefon mereka ke kenderaan, dan seterusnya menggunakan pelbagai fungsi khusus yang dioptimasikan, seperti navigasi, Google Play Music, dan sebagainya untuk digunakan didalam kenderaan.

Terkini, Reuters melaporkan yang mana Google kini dalam perancangan untuk melangkah setapak kehadapan dengan membawa Android terus ke kenderaan tanpa perlu menghubungkan sebarang peranti seperti pada masa kini. Ia mungkin akan diperkenalkan ketika pelancaran Android M kelak.

Melaluinya, ia dijangka akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada Google, dan memperkukuhkan kedudukan mereka dalam arena sistem inforia kenderaan. Pada masa yang sama juga, mereka akan dapat mengumpulkan lebih banyak data termasuk berkaitan jalan raya, perjalanan dan gaya penggunaan kenderaan oleh seseorang pemandu.

Apa pun, untuk menjayakannya, pelbagai perkara perlu dilakukan oleh Google, termasuk lebih mengoptimasikan Android. Sebagai contoh, pada peranti pintar hari ini, ia mengambil masa hampir 30 saat untuk memulakan peranti, sebaliknya pada kenderaan, pemandu semestinya menginginkan sistem inforia mereka dimulakan serta-merta sebaik sahaja enjin mereka dimulakan. Pada masa yang sama, Google turut perlu mendapatkan pelbagai penyertaan pengeluar kenderaan untuk menggunakan sistem tersebut pada kenderaan mereka – dimana kebiasaannya mereka ingin menawarkan pengalaman penggunaan kenderaan yang berbeza-beza dengan pengeluar kenderaan lain.

Seperti biasa, pihak Google tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan laporan baru ini.


TIPS & ULASAN