WhatsApp sedia mengatakan mereka bakal hadir dengan sokongan panggilan suara pada perkhidmatan mereka tidak lama lagi. Ia telah ditangguhkan pelancarannya sebelum ini, tetapi kini dalam aplikasi Android terkini WhatsApp, beberapa kod awal hadir memperlihatkan fungsi panggilan di WhatsApp secara kasar.
Melalui kod yang hadir pada aplikasi Android ini, beberapa paparan skrin diperlihatkan, menunjukkan bagaimanakah fungsi tersebut akan berfungsi kelak. Memandangkan ia hadir dalam bentuk kod versi pembangunan, maka mungkin versi akhir kelak akan menawarkan fungsi yang sedikit berbeza.
Melalui apa yang diperlihatkan, pengguna boleh membuat panggilan dengan mudah menggunakan aplikasi WhatsApp kepada rakan-rakan mereka yang sedia mempunyai aplikasi tersebut dipasang. Pengguna juga boleh melihat log panggilan, selain mana notifikasi panggilan dilihat turut dihantar kepada tetingkap permesejan pengguna.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak WhatsApp akan memperkenalkannya secara rasmi. Sebelum ini, ia dilihat telah ditangguhkan, dan salah satu sebab untuknya adalah kerana pihak WhatsApp ingin mengoptimasikan lagi kod disebaliknya dan membolehkan pengguna membuat panggilan dengan penggunaan data yang rendah – sekaligus lebih sesuai dikalangan pengguna dinegara-negara membangun yang tidak mempunyai akses data pantas.
WhatsApp pada hari ini sedia memberikan kesan terhadap industri SMS, dimana lebih ramai mula menggunakan WhatsApp, Telegram dan sebagainya berbanding perkhidmatan SMS oleh syarikat telekomunikasi. Pada hari ini, beberapa perkhidmatan sedia menawarkan sokongan panggilan suara melalui internet (VoIP), tetapi ia masih tidak popular. Perkara ini mungkin berubah sekiranya pihak WhatsApp yang memperkenalkannya – memandangkan mereka mempunyai angka pengguna yang lebih ramai berbanding perkhidmatan permesejan lain.