Cari @ Amanz

SKMMSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini telah mengeluarkan amaran berkenaan sebuah malware yang tersebar dalam bentuk SMS dikalangan pengguna Malaysia. Melalui SMS yang dihantar, ia menyertakan sebuah pautan dan menyertakan mesej “Is This Your Photo?” (Ini gambar kamukah?) – membuatkan pengguna tertarik untuk menekan pautan tersebut.

Menurut SKMM, sebaik sahaja pautan tersebut diklik, ia akan memuat-turun sebuah aplikasi dinamakan PhotoViewer.apk. Perkara ini sekaligus memperlihatkan ia hanya menyasarkan pengguna Android sahaja, sementara pengguna platform lain tidak begitu terjejas. Untuk pengguna Android juga, sekiranya anda tidak mengaktifkan fungsi memasang aplikasi daripada pihak tidak dikehendaki, anda mungkin tidak begitu terjejas dan akan mengelakkan anda memasang aplikasi berbentuk APK ini daripada pihak ketiga yang tidak dikenali.

Sekiranya terpasang pada peranti, aplikasi berbentuk malware berkenaan akan mula menghantar SMS spam kepada kenalan anda yang tersimpan di telefon dan kad-SIM. Disamping itu, pada peranti anda, ia akan membuat klik secara automatik pada iklan yang hadir pada aplikasi berkenaan – sekaligus membuka pautan yang mungkin berbahaya.

Bagi anda yang menerima SMS seumpamanya, anda dinasihatkan untuk memadamnya dan tidak membuka ia untuk mengelak daripada terjejas olehnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd