Facebook sering bereksperimen dengan pelbagai perkara baru, dan terkini mereka dilihat bereksperimen dengan sokongan paparan video yang lebih kurang menyerupai YouTube. Fungsi paparan baru ini telah pun diperkenalkan untuk beberapa halaman Facebook, dan salah satunya adalah ABC News.
Melalui kemaskini yang diperkenalkan ini, Facebook membolehkan pemilik Facebook Pages menetapkan video utama (lebih kurang seperti YouTube), dan pada masa yang sama menetapkan Playlist untuk video-video yang dimuat-naik (juga seperti YouTube).
Pada hari ini, rekaan halaman video pada Facebook Pages hanya memaparkan thumbnail dan juga tempoh masa untuk sesuatu video. Melalui rekaan baru ini, ia turut memaparkan lebih maklumat, termasuk tajuk untuk video berkenaan.
Facebook dikatakan akan memperkenalkan rekaan baru ini kepada semua Facebook Pages secara berperingkat dalam beberapa minggu lagi.