Cari @ Amanz

Samsung pada tahun ini telah hadir dengan peranti dengan rekabentuk premium dinamakan sebagai Galaxy Alpha. Peranti yang merupakan ujian awal daripada Samsung tersebut menerima pujian dari segi rekabentuk daripada pelbagai media, malah kami di Amanz sendiri memberikan skor sebanyak 9/10 untuk rekaan peranti Galaxy Alpha sebelum ini. Lanjutan daripadanya, kini pihak Samsung turut hadir dengan peranti dibawah keluarga Galaxy A yang mana memfokuskan penawaran peranti dengan rekaan premium pada harga rendah.

Samsung Galaxy A5Sebanyak dua peranti telah sedia diperkenalkan oleh Samsung dibawah keluarga Galaxy A, iaitu Galaxy A3 dan juga Galaxy A5. Galaxy A7 pula dijangka akan menyusul tidak lama lagi – berkemungkinan sekitar bulan Februari. Setiap angka versi yang digunakan memberikan petanda berkaitan spesifikasi dan harga, dimana Galaxy A3 merupakan peranti berspesifikasi rendah-pertengahan, Galaxy A5 sebagai pertengahan, dan Galaxy A7 kelak sebagai atas-pertengahan.

Sementara kami belum mencuba kesemuanya, hari ini, kami telah menerima set ujian awal untuk Galaxy A5. Samsung Galaxy A5 mengekalkan rekaan premium dengan bingkai berasaskan aluminium. Ia amat ringan dan selesa digunakan dan mudah dikendalikan menggunakan sebelah tangan.

Samsung Galaxy A5Kerangka belakang Galaxy A5 tidak boleh ditanggalkan – berbeza dengan kebanyakkan peranti Samsung yang lain. Ini membuatkan pengguna tidak boleh menggantikan baterinya, disamping untuk memasukkan kad-SIM dan mikro-SD, mereka perlu membuka ruangan pada bahagian tepi menggunakan pin – seperti pada beberapa peranti lain di pasaran.

Melalui pandang pertama, saya agak kurang tertarik dengan bahagian ruangan SIM ini, kerana ia sedikit tertimbul, dan sering kali saya tersilap tekan ia berbanding dengan butang kuasa. Versi Malaysia dipercayai akan membawakan sokongan satu-SIM. Untuk versi yang digunakan kami bagi ujian ini, ia adalah versi dwi-SIM, dimana ia menggunakan konsep seumpama Oppo dan Huawei – mengabungkan ruangan kad-SIM kedua dengan mikro-SD, dan pengguna hanya boleh menggunakan salah satunya sahaja pada sesuatu masa. Ruangan kad-SIM utama pula bersaiz nano.

“Kamera Hadapan Dengan Sokongan Wide-Selfie”

Samsung Galaxy A5Menjadi perhatian ramai dalam pemilihan sesuatu telefon pintar adalah bahagian kameranya. Untuk Samsung Galaxy A5, pihak Samsung menyertakan kamera belakang dengan fungsi auto-fokus 13-megapixel, dan turut dilengkapi sokongan LED Flash. Untuk kamera hadapan pula, ia membawakan lensa rakaman luas 5-megapixel, sesuai untuk mereka yang gemar akan rakaman selfie.

Pihak Samsung juga turut menyertakan beberapa mod rakaman pada bahagian aplikasi, dan khusus untuk selfie adalah sokongan yang dinamakan sebagai Wide-Selfie. Ia telah diperkenalkan bersama-sama Galaxy Note 4 sebelum ini, dimana pengguna boleh merakamkan gambar selfie dalam bentuk rakaman seumpama rakaman panorama, sekaligus membolehkan lebih ramai rakan-rakan anda disertakan dalam sesuatu rakaman selfie.

Galaxy A5 juga turut dilengkapkan dengan fungsi Rear-Camera Selfie, dimana pengguna turut boleh merakamkan gambar selfie menggunakan kamera 13-megapixel dengan bantuan perisian. Beberapa mod rakaman lain yang disertakan termasuk adalah Panorama, Night Mode, dan juga Animated Gif.

Untuk rakaman video pula, ia hanya membawakan pilihan rakaman HD penuh, HD dan juga VGA – tiada sokongan rakaman 4K seperti peranti Galaxy Note 4. Perkara ini mungkin sesuatu yang dijangka memandangkan Galaxy A5 dipasarkan sebagai peranti berspesifikasi pertengahan.

“Pemilihan Tema – Ubah Mengikut Citarasa Anda”

Samsung Galaxy A5Galaxy A5 juga turut dilihat menggunakan sebuah versi TouchWiz yang baru, berbeza dengan Galaxy Alpha sebelum ini, disamping membawakan beberapa elemen daripada Galaxy Note 4. Salah satu elemen seumpamanya adalah sokongan multi-tasking, dimana ia disusun dalam bentuk cards seumpama pada Android 5.0 Lolipop.

Salah satu fungsi yang dilihat khusus untuk Galaxy A5 (atau keluarga Galaxy A) adalah fungsi pemilihan tema. Pihak Samsung menyertakan pilihan sebanyak lima buah tema (termasuk yang asas). Ia dinamakan sebagai Samsung Basic, Natural, Craft, Classic dan juga Sweet. Untuk mengubah tema ini, pengguna boleh mengaksesnya pada bahagian Settings, ataupun melalui skrin utama – tekan butang multi-task (butang kapasitif sebelah kiri butang Home) untuk seketika, dan memilih Themes melaluinya.

Penggunaan tema pada peranti Samsung ini dilihat tidak begitu menyeluruh berbanding dengan peranti-peranti lain dari China. Pihak Samsung dilihat mengimplementasikan sokongan perubahan tema ini pada bahagian ikon dan juga gambar latar, sebaliknya apabila mengakses aplikasi seperti Messages dan sebagainya, ia mengekalkan rekaan asal iaitu rekaan Samsung Basic. Pengguna juga tidak diberi pilihan untuk memuat-turun tema tambahan buat masa ini. Pihak Samsung sedia mempunyai ramai pembangun dibawah mereka, dan tidak mustahil suatu hari nanti mereka membuka peluang untuk pembangun menerbitkan tema terbitan mereka untuk dimuat-turun pengguna seluruh dunia. Apa pun, ada baiknya juga pihak Samsung menambah sokongan tema pada peranti mereka ini, dimana ia akan membolehkan pengguna mengubah paparan peranti mereka sekiranya bosan tanpa perlu menggunakan perisian pihak ketiga ataupun sebarang Launcher tambahan.

Samsung Galaxy A5

Samsung Galaxy A5

“Fungsi Lain – Private Mode & Multi-Window”

Samsung Galaxy A5
Pemproses Empat-Teras 1.2Ghz
RAM 2GB
Kamera Utama 13-megapixel
Kamera Hadapan 5-megapixel
Skrin 5.0″ Super AMOLED
Bateri 2300mAh
Lain-Lain 4G LTE, NFC

Samsung turut melengkapkan beberapa ciri-ciri tambahan lain pada peranti ini, dan dua fungsi yang menarik perhatian adalah Private Mode dan juga Multi-Window.

Private Mode merupakan fungsi untuk membolehkan anda menyorokkan dokumen atau gambar peribadi daripada diakses oleh pengguna lain. Anda boleh mengaktifkan fungsi ini, dan seterusnya ketika anda aktifkan, anda boleh mengakses ke beberapa folder tambahan untuk menyimpan gambar dan dokumen. Anda kemudian boleh menguncinya, dan ia akan berfungsi sebagai peranti biasa dan menyorokkan folder khusus berkenaan. Private Mode ini boleh digunakan pada aplikasi Gallery, Video, Music, Voice Recorder dan juga My Files. Dan untuk mengaksesnya, pengguna akan diperlukan untuk memasukkan corak kata laluan dalam bentuk swipe.

Satu lagi fungsi yang disertakan pada Galaxy A5 ini adalah sokongan Multi-Window – seperti pada Galaxy Note 4. Apabila ia diaktifkan, pengguna boleh tekan butang back untuk seketika dan memilih mana-mana dua aplikasi untuk digunakan secara serentak pada waktu sama. Ia amat berguna sekiranya anda ingin membuat multi-tasking, sebagai contoh membuka memo dan juga pelayar web.

Disamping itu, beberapa fungsi lain yang turut disertakan pada peranti ini adalah sokongan Flipboard Briefing. Pengguna hanya perlu menatal ke bahagian kiri skrin pada skrin utama, dan ia akan membuka halaman Flipboard. Pengguna kemudian boleh melanggan kepada beberapa saluran berita dan mengikuti kemaskini daripada saluran kegemaran dengan mudah melaluinya.

Pihak Samsung juga dilihat telah menggantikan aplikasi ChatON kepada LINE, dimana aplikasi LINE hadir terbina bersama-sama peranti ini. Perubahan ini kami telah perasan sejak daripada Galaxy Alpha sebelum ini. Samsung juga turut menyertakan aplikasi Studio pada Galaxy A5, membolehkan anda membuat penyuntingan gambar dan video dengan kreatif terus pada peranti mudah-alih mereka.

Untuk ruangan storan awan, pihak Samsung bekerjasama dengan Dropbox dan menawarkan ruangan percuma sehingga 50GB secara percuma. Disamping itu, aplikasi Galaxy Lifestyle hadir terbina untuk membolehkan anda menerima pelbagai ganjaran dan tawaran menarik daripada Samsung setiap minggu.

Galaxy A5

Galaxy A5

Galaxy A5


Secara kasarnya, rekaan peranti ini amat menarik, dan sesuai untuk digunakan sebelah tangan. Kami sedia mempunyai Galaxy S5, dan kami rasakan telefon pintar Galaxy A5 ini tampak lebih premium ketika digunakan. Sebarang komen berkaitan prestasi dan penggunaan peranti ini masih lagi pada peringkat awal. Kami akan membawakan ulasan menyeluruh peranti Samsung Galaxy A5 ini dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi. Pihak Samsung menjadualkan untuk pelancaran Galaxy A5 ini pada tarikh 8 Januari ini, dan dijangka akan dijual di pasaran bermula 9 Januari. Harga jualannya dijangka akan diumumkan ketika pelancaran rasminya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd