Dunia Teknologi Sepanjang Tahun 2014

Dunia Teknologi Sepanjang Tahun 2014

Diterbitkan pada Dis 31, 2014 oleh .

Hari ini, tahun 2014 melabuhkan tirainya. Pelbagai perkara menarik telah berlaku dalam arena teknologi sepanjang tahun ini – termasuk daripada pengambil-alihan syarikat, perkhidmatan yang ditamatkan, pengenalan teknologi baru, pengenalan peranti baru, dan pelbagai perkara lain dalam arena teknologi – termasuk melibatkan sekuriti.

“Pengambil-Alihan Syarikat”

Lenovo MotorolaDengan perkembangan pesat dalam arena teknologi, pelbagai syarikat gergasi inginkan bakat dan juga teknologi baru dalam terus menambah-baik perkhidmatan dan penawaran mereka. Perkara ini membawa kepada pengambil-alihan syarikat-syarikat lain, termasuk syarikat startup dan juga syarikat gergasi.

Pada tahun 2014 ini, Facebook dilihat rancak menambah portfolio mereka, dengan membelanjakan berbilion duit untuk mendapatkan bakat dan perkhidmatan yang diminati pengguna. Facebook memulakan tahun ini dengan mengambil-alih perkhidmatan permesejan WhatsApp, selain turut mengambil-alih syarikat Oculus Rift yang menawarkan permainan dalam bentuk realiti-maya.

Selain Facebook, Google juga turut mengambil-alih beberapa syarikat popular, termasuk Nest dan juga Titan Aerospace, selain turut menjual Motorola yang dimiliki oleh mereka kepada pengeluar peranti dari China, iaitu Lenovo. Beberapa pengambil-alihan popular yang berlaku pada tahun ini adalah termasuk Amazon yang mengambil-alih Twitch untuk menyertai arena penstriman permainan, Rakuten mengambil-alih Viber, Microsoft mengambil-alih Minecraft, dan juga Samsung yang mengambil-alih SmartThings.

“Penutupan Perkhidmatan dan Jenama”

Windows XPDengan memperluaskan portfolio dalam syarikat, ia juga turut memberikan kesan kepada kos pentadbiran syarikat yang tinggi, sekaligus meningkatkan kos operasi mereka. Untuk perkara ini, salah satu perkara yang sering dilakukan oleh syarikat gergasi adalah penutupan perkhidmatan atau fungsi yang disediakan. Pada tahun lepas, salah satu perkara yang hangat diperkatakan adalah Google Reader, manakala pada tahun ini, ramai yang merindui pemergian Windows XP, selain penamatan penggunaan jenama Nokia pada peranti Lumia baru.

Selain daripada itu, antara perkhidmatan yang turut ditamatkan pada tahun ini adalah Twitpic yang memindahkan data mereka kepada Twitter, selain Sony yang mengasingkan VAIO sebagai syarikat berasingan daripada Sony. Yahoo! juga turut menamatkan sejumlah perkhidmatan mereka, termasuk Yahoo! Directory yang mencorak perkhidmatan tersebut, dan juga Yahoo! News Malaysia. Apple turut tidak ketinggalan, dimana mereka telah menamatkan penjualan iPod Classic pada tahun ini, dan memfokuskan kepada penawaran iPod Touch dan beberapa peranti baru yang lain.

“Sekuriti”

GOPDengan ramai pengguna dunia kini berhubung melalui arena internet, salah satu perkara yang turut menjadi igauan pengguna seluruh dunia adalah masalah sekuriti. Pada tahun ini sahaja, sejumlah masalah sekuriti telah dikenal-pasti, dimana antaranya adalah berkaitan SSL – dimana masalah Heartbleed yang melibatkan OpenSSL, selain POODLE yang melibatkan protokol SSL 3.0. Selain SSL, program Bash juga terkesan dengan penemuan masalah sekuriti yang dinamakan Shellshock, selain masalah melibatkan keseluruhan USB melalui masalah BadUSB.

Perkara ini turut ditingkatkan lagi dengan pelbagai masalah malware yang hadir pada tahun ini, dimana pengguna Android merupakan antara yang paling ramai menjadi sasaran.

Selain masalah sekuriti, masalah pengodaman juga meningkat, dan salah satu perkara yang menjadi tumpuan ramai pada tahun 2014 ini adalah pengodaman Sony Pictures Entertainment yang meniriskan pelbagai info, data, dan emel dalaman syarikat – pengodaman ini dikaitkan dengan Korea Utara dan juga filme terbaru daripada Sony iaitu The Interview.

“Dunia Realiti-Maya Dan Peranti Boleh-Pakai”

Samsung Gear VRDalam arena peranti dan dunia gajet – dua perkara yang mendapat perhatian ramai adalah dunia realiti-maya, terutamanya memfokuskan kepada permainan, dan juga peranti boleh-pakai seperti jam tangan pintar dan gelang tangan pintar.

Peranti realiti-maya dilihat masih jauh daripada dikomersialkan secara meluas, namun pelbagai kandungan telah mula diterbitkan untuknya. Perkara ini juga boleh dikatakan kesan daripada penawaran Google Cardboard oleh Google yang membolehkan pengguna menggunakan beberapa peranti asas dalam mengubahnya menjadi peranti realiti-maya. Selain Google, Samsung juga turut bekerjasama dengan Oculus untuk peranti Gear VR mereka – namun ia masih belum dipasarkan secara meluas.

Selain peranti realiti-maya, satu lagi arena yang menjadi perhatian ramai sepanjang tahun adalah peranti boleh-pakai, terutamanya adalah jam tangan pintar. Perkara ini juga selari dengan pengenalan Android Wear oleh Google yang mana membolehkan para pengeluar peranti hadir dengan jam tangan pintar mereka menggunakan sistem operasi daripada Google, sekaligus mengintegrasikan ia dengan komuniti Android. Antara pengeluar yang telah memperkenalkan jam tangan pintar berasaskan Android Wear adalah termasuk Motorola, LG, Samsung, Asus, dan juga Sony. Pihak Apple turut tidak ketinggalan dalam arena ini, dan telah mengumumkan Apple Watch yang akan dipasarkan bermula tahun hadapan. Microsoft pula hadir dengan Microsoft Band yang mana selari dengan pelbagai platform operasi di pasaran – dan tidak terhad hanya untuk satu sistem operasi sahaja seperti Apple Watch atau Android Wear.

“Kandungan 4K – Penstriman Makin Meluas”

Kandungan video dalam resolusi 4K boleh dikatakan masih jauh lagi daripada digunakan secara meluas oleh semua. Tetapi, pada tahun ini, perkara tersebut dilihat telah mula menerima titik tolak, apabila beberapa penyedia perkhidmatan mula menyokongnya, selain pengeluar peranti mula mengintegrasikan sokongan rakaman 4K terus pada peranti mudah-alih. Pelbagai telefon pintar berspesifikasi tinggi yang terkini hadir dengan sokongan rakaman 4K, selain beberapa komputer baru hadir dengan skrin resolusi 5K untuk memudahkan penyuntingannya.

Selain daripada kandungan video dalam resolusi 4k, sepanjang tahun ini juga dunia penstriman dalam-talian terutamanya video dan juga muzik terus meningkat. Di Malaysia sahaja, sejumlah perkhidmatan penstriman muzik telah sedia ditawarkan seperti Spotify, Tonton Music dan sebagainya. Beberapa syarikat baru turut telah hadir, dan dijangka akan memulakan perkhidmatan mereka di Malaysia pada tahun hadapan, dan salah satunya adalah MyFilem.

“Persaingan Dalam Arena Permesejan”

Dengan perkembangan peranti mudah-alih, salah satu industri yang turut menerima kesan positif adalah industri aplikasi permesejan. Pelbagai aplikasi permesejan memperluaskan penawaran mereka dengan mengintegrasikan beberapa fungsi tambahan. Sebagai contoh, Viber telah mula mengintegrasikan Viber Games, sementara LINE dan WeChat mengintegrasikan sokongan e-dagang pada perkhidmatan mereka.

Microsoft turut tidak ketinggalan dalam arena permesejan, dimana mereka terus menambah beberapa fungsi baru Skype, termasuk kebolehan membuat terjemahan masa-nyata dalam panggilan video, dan juga membawa perkhidmatan Skype ke pelayar web dan beberapa perkhidmatan Microsoft yang lain.

“Dron”

Dron juga turut mendapat perhatian ramai pengguna seluruh dunia pada tahun ini, apatah lagi dengan beberapa variasi yang berharga rendah membolehkan pengguna untuk mencubanya sendiri. Beberapa syarikat gergasi turut menguji penggunaan dron dalam beberapa situasi, termasuk Amazon yang mengujinya untuk penghantaran barang, sementara Google dan Facebook yang menggunakan ia dalam membawa akses internet ke kawasan-kawasan pendalaman.

“Syarikat China Memperluaskan Jejak”

Persepsi pengguna terhadap syarikat-syarikat dari China turut telah berubah pada tahun ini, dimana pelbagai syarikat dari China memperluaskan penawaran mereka ke pasaran global, dan menawarkan kualiti yang amat baik pada harga yang rendah berbanding dengan beberapa pesaing lain.

Syarikat seperti Baidu terus hadir dengan beberapa inovasi menarik seperti penyepit makanan pintar, dan juga basikal pintar, sementara pengeluar peranti Xiaomi terus memperluaskan jejak mereka dengan hadir dengan beberapa peranti memfokuskan kepada rumah pintar. Beberapa syarikat dari China lain yang terus mengukuhkan kedudukan dalam arena global adalah termasuk Lenovo, Oppo, dan Meizu.


Dengan tahun 2014 yang tamat hari ini, semestinya ia sesuatu yang menarik untuk melihat apakah yang bakal dibawakan oleh dunia teknologi sepanjang tahun 2015 kelak. Bagi anda, apakah perkara paling diminati dan juga kurang diminati dalam arena teknologi sepanjang tahun 2014 ini?


TIPS & ULASAN