Cari @ Amanz

Arena kandungan berbentuk video dan penstriman filem seumpama Netflix agak mendapat perhatian di Malaysia akhir-akhir ini. Astro sedia menawarkan perkhidmatan penstriman kandungan mereka pada peranti mudah-alih melalui Astro On-The-Go, sementara Telekom Malaysia turut mempunyai penawaran sama melalui perkhidmatan yang dipanggil HyppTV Everywhere. Kini, sebuah lagi perkhidmatan baru yang akan dilancarkan di Malaysia adalah iFlix.

iFlix

iFlix dibangunkan dan ditawarkan oleh Catcha Group – dimana mereka mempunyai beberapa perkhidmatan lain seperti iProperty, iCar dan sebagainya. Perkhidmatan iFlix ini akan membolehkan pengguna strim kandungan berbentuk video dan filem terus pada aplikasi mudah-alih pada telefon pintar, atau turut mengikutinya melalui web.

Pihak iFlix masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengan filem dan drama yang bakal ditawarkan mereka. Tetapi mengatakan sejumlah kandungan yang diminati ramai akan hadir pada perkhidmatan mereka kelak. Melalui laman rasmi iFlix sendiri, mereka memaparkan beberapa filem dan drama, termasuk The Dark Knight, Big Bang Theory, filem Sherlock Holmes, Harry Porter, Person of Interest dan beberapa yang lain.

iFlix

Mereka juga turut tidak mengatakan sebarang perkara berkaitan harga langganan bulanan. Tetapi, pihak CEO iFlix pernah dipetik mengatakan harga langganan bulanan untuk iFlix akan berharga lebih murah daripada membeli sebuah DVD cetak-rompak.

Untuk menikmati kandungan iFlix, pengguna akan diperlukan untuk menggunakan aplikasi khusus pada peranti mudah-alih ataupun pada mengikutinya melalui web rasmi iFlix. Pengguna boleh memilih untuk strim kandungan, ataupun turut memuat-turun kandungan tersebut untuk dinikmati pada kemudian masa. iFlix mengatakan ia dilindungi oleh DRM untuk mengelakkan kandungan mereka daripada menjadi mangsa cetak-rompak.

Menerajui iFlix di Malaysia adalah Azran Osman Rani, yang mana merupakan bekas CEO AirAsia X sebelum ini. Beliau kini menerajui iFlix Malaysia sebagai CEO, selain turut menjadi COO untuk iFlix Group. Perkhidmatan iFlix ini disasarkan untuk dilancarkan di Malaysia dan Filipina dalam tempoh yang lebih kurang sama, selain diperluaskan ke pelbagai negara sekitar Asia Tenggara pada masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd