Cari @ Amanz

Sebelum ini, pihak Canonical pernah ingin membawa fungsi penuh Ubuntu pada telefon, dan kemudian berubah menjadi desktop penuh apabila dihubungkan ke skrin besar. Ia masih tidak direalisasikan sehingga kini, dan kini dilihat Microsoft akan menjadi lebih awal menawarkan fungsi berkenaan kepada pengguna umum.

Windows 10 Continuum

Microsoft ingin membawa visi untuk membawa komputer anda kemana-mana dan menggunakannya dengan mudah melalui fungsi ini. Bagi menggunakannya, pengguna hanya perlu menghubungkan telefon ke monitor atau televisyen melalui sokongan HDMI, dan ia akan berubah menjadi desktop penuh. Pengguna juga turut boleh menggunakan ia bersama-sama tetikus mahupun papan kekunci tanpa masalah.

Microsoft juga menjayakan fungsi ini melalui sokongan aplikasi universal dan juga antaramuka Windows 10 yang menyokong pelbagai saiz skrin. Melalui demo yang diberikan oleh Microsoft, mereka memperlihatkan bagaimana pengguna boleh mengakses emel pada Outlook, serta membuka dokumen pada Microsoft Office. Segalanya dioptimasikan untuk saiz skrin, serta menawarkan pengalaman penggunaan yang sama pada telefon mahupun desktop.

Microsoft menekankan fungsi Continuum untuk telefon ini memerlukan beberapa sokongan spesifikasi tambahan, menjadikan bukan semua peranti akan menyokongnya, dan beberapa peranti baru bersempena dengannya akan diperkenalkan selepas pengenalan Windows 10 kelak. Microsoft turut mengatakan mereka bekerjasama dengan pihak Qualcomm untuk hadir dengan cip yang menyokong menjalankan dua variasi skrin pada masa yang sama tanpa masalah.

Pengenalan fungsi ini semestinya menjadikan lebih ramai ingin mendapatkan peranti Windows Phone, apatah lagi kini ia berupaya menjadi komputer penuh dengan mudah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd