Cari @ Amanz

Pada minggu lepas, kita telah mendengar mengenai perubahan yang bakal dibawakan kepada status MSC Malaysia yang terhad kepada beberapa lokasi sahaja sebelum ini. Hari ini, perkara tersebut secara rasminya dikongsikan, dan pada masa yang sama sebuah program khusus untuknya diumumkan, dinamakan sebagai “MSC Malaysia for Startups”.

Jika sebelum ini status MSC memerlukan pemilik perniagaan berasaskan teknologi untuk beroperasi di kawasan Cybercity atau Cybercenter, melalui MSC Malaysia For Startups, syarikat yang mungkin tidak mempunyai modal operasi yang tinggi boleh beroperasi dimana-mana, dan tidak tertakluk kepada kawasannya. Perkara sebegini membolehkan startup untuk menikmati faedah menarik yang ditawarkan kerajaan khas untuk syarikat berasaskan ICT.

Antara faedah yang boleh dinikmati syarikat berstatus MSC Malaysia for Startups adalah pelepasan cukai (Statutory Income) sebanyak 70% untuk tempoh 5 tahun, dan ia sedikit berbeza dengan status penuh yang membolehkan syarikat berstatus MSC memperoleh pelepasan cukai sebanyak 100%. Selain itu, syarikat dengan status MSC khusus untuk startup juga boleh mempunyai sehingga 20 pekerja dari luar negara untuk posisi penting. Selain dari tiga kelebihan ini, faedah status MSC yang lain turut diberikan untuk startup.

Dengan pengenalan MSC Malaysia for Startups ini sekaligus secara tidak langsung menggalakkan pertumbuhan startup dengan lebih pesat dan tidak mengekang kepada lokasi tertentu. Malah Dato’ Yasmin Mahmood secara berseloroh mengatakan startup berasal dari garaj, mamak, dan bengkel dan tiba masanya untuk status khusus bagi startup diwujudkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd