Cari @ Amanz

Selepas perkembangan pesat arena peranti pintar dan peranti mudah-alih, industri berikutnya yang menjadi perhatian ramai pengeluar peranti seluruh dunia adalah arena peranti berhubung (IoT – Internet of Things). Beberapa platform khusus untuknya kini terdapat di pasaran, dan menyertainya terkini adalah Samsung dengan platform Artik.

Samsung Artik

Melalui Artik, Samsung menawarkan platform terbuka yang hadir dengan pelbagai modul yang telah diintegrasikan, termasuk dari segi memori, sokongan input dan sebagainya. Sebanyak tiga modul diperkenalkan dibawah keluarga Artik ini, iaitu Artik 1, Artik 5 dan juga Artik 10.

Artik 1 merupakan modul yang paling kecil pada iz 12mm, menawarkan sokongan Bluetooth, dan sensor gerakan 9-axis serta lebih ditujukan kepada peranti boleh pakai. Artik 5 pula hadir dengan kuasa pemprosesan 1Ghz serta ruangan storan terbina, sementara Artik 10 hadir dengan kuasa pemprosesan lapan-teras, 2GB RAM serta ruangan storan 16GB.

Samsung turut menekankan setiap modul mereka hadir dengan sokongan sekuriti yang baik, dan boleh digunakan untuk pembangunan pelbagai idea yang menarik melaluinya.

Dengan arena IoT yang mula menerima perhatian ramai pengeluar, dan diintegrasikan dengan sambungan pada telefon pintar, kita mungkin akan melihat beberapa idea baru lahir daripadanya – terutamanya yang menggunakan modul daripada Samsung ini.

Jika anda merupakan salah seorang pembangun yang berminat membangunkan peranti atau projek menggunakannya, anda boleh mendaftarkan diri pada laman rasmi Artik untuk menerima kit pembangunan untuknya hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd