Cari @ Amanz

Oppo R1X 20150501_171244

Peranti pertama yang kami ulas di makmal Amanz ialah Oppo N1. Peranti unik dengan kamera berputar tersebut menjadi pengenalan bagi rakyat Malaysia dengan pengeluar dari tanah besar China ini. Dalam masa kurang setahun nama Oppo kini dikenali dari penduduk bandar hinggalah ke penduduk kampung. Apabila berjalan di ibu kota papan tanda gergasi Oppo dapat dilihat dengan mudah. Rancangan TV serta acara sukan popular ditaja dan Oppo semakin mendapat tempat di kalangan pengguna Malaysia. Menurut angka terbaru IDC, Oppo kini jenama peranti pintar paling laku di Malaysia di hadapan jenama lebih ternama seperti Apple dan Blackberry.

Oppo R1X ialah sebuah lagi peranti yang cuba menarik perhatian pengguna tempatan. Tidak seperti peranti Oppo lain yang kami lihat sebeluj ini, R1X mempunyai rekabentuk yang lebih premium. Panel belakang yang diperbuat daripada kaca R1X mempunyai corak seperti kristal. Rekaan ini bukan sahaja cantik tetapi membuatkannya kelihatan menarik berbanding majoriti peranti di pasaran sekarang,

Rekaan

Oppo R1X
Skrin 5″ IPS LCD (720P) 294 PPI
Pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1 x 4 GHz)
Kad Grafik Adreno 405
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel (1080P)
Kamera Depan 5 Megapixel (1080P)
SIM/Telefoni Nano + Mikro SIM / 4G
NFC Tiada
Bateri 2420 mAh
Harga Jualan RM 1398

Rekaan R1X pada hemat kami menggabungkan elemen Xperia Z2 dan iPhone 4S. Panel berkaca pada bahagian belakang yang kami katakan sebelum ini membalikkan cahaya dengan corak yang menarik. Parameter peranti pula mempunyai kemasan logam.

Skrin 5″ IPS LCD dengan resolusi 720P digunakan. Pilihan resolusi yang agak aneh kerana kami mengharapkan sebuah peranti dengan panel belakang yang cantik sepatutnya dipadankan dengan skrin hadapan beresolusi lebih tinggi.Trend pasaran juga kini menjangkakan peranti kelas pertengahan menggunakan skrin 1080P.  Sungguhpun begitu perbezaan di antara skrin 1080P dan 720P pada skrin sebesar 5″ sebenarnya tidak ketara kecuali anda melihatkan dari jarak yang amat dekat.

Ia diperkasakan pemproses 8 teras Snapdragon 615 (1.5 X4 + 1 X4 GHz), RAM 2 GB dan muatan dalaman 16 GB (MikroSD sehingga 128 GB).Dari segi optik kamera utama adalah sebesar 13 MP manakala kamera hadapan sebesar 5 MP. Bateri yang tidak boleh ditanggalkan adalah sebesar 2420 mAh. Oppo R1X mempunyai dua slot SIM yang membolehkan anda menggunakan SIM nano ataupun Mikro secara serentak . Slot SIM Nano turut mempunyai fungsi kedua sebagai talam kad MikroSD. Hanya salah satu daripad slot ini menyokong rangkaian 4G. Seperti yang kami lihat pada Asus Zenfone 2, sebuah lagi slot hanya menyokong rangkaian 2G.

Oppo R1X20150501_171218

Oppo R1X20150501_171225Tiga butang navigasi kapasitif digunakan pada dagu peranti. Butang home dihimpit oleh butang back pada bahagian kanan dan butang menu pada sebelah kiri. Aneh sekali butang navigasi kapasitif pada dagu peranti tidak berlampu. Ini menyebabkan kesukaran ketika menggunakan peranti di dalam gelap. Skrin multitasking dilancarkan dengan menekan butang menu selama beberapa saat. Pada bahagian kanan terdapat butang suara yang diperbuat daripada logam. Sisi kiri pula diletakkan butang kuasa juga diperbuat daripada logam. Jack fon kepala terletak di bahagian atas. Port pengecasan MikroUSB dan dua pembesar suara mono pula di bahagian bawah.

Secara keseluruhan pada hemat kami Oppo R1X ialah telefon pintar yang paling kemas binaannya dari pihak Oppo. Sangat selesa dipegang dengan kemasan logam pada parameter peranti menjadi penyangga jari yang baik. Ini dalah penting kerana peranti dengan panel kaca dan kemasan licin seperti R1X adalah mudah tergelincir apabila dipegang.

Pihak Oppo turut menyertakan cangkerang plastik lutsinar dengan setiap unit R1X. Anda tidak perlu risau mencari cangkerang untuk telefon ini. Penggunaan cangkerang lutsinar juga memastikan rekaan panel belakang peranti yang cantik ini tidak tersorok dari pandangan.

Oppo R1X20150501_171255

Antaramuka Color OS

Color OS 2.0.1 digunakan dan membawakan pelbagai fungsi khas yang dibangunkan oleh Oppo. Versi Android pula masih lagi 4.4.4. Antaramuka Color OS sama seperti antaramuka sistem operasi peranti China yang lain kerana tidak mempunyai talam aplikasi. Rekaan ikon dan elemen antaramuka agak ketinggalan kerana tidak mengikut rekaan Lollipop yang minimalis. Peranti utama yang kami gunaklan setiap hari sudah mendapat kemaskini Lollipop. Jadi apabila kami mengulas R1X yang masih menggunakan Kit Kat adalah sukar untuk menerima rekaan sebegini lagi. Bercakap tentang Lollipop, sehingga kini masih tiadak berita bilakah R1X akan menerima kemaskini Lollipop.

Peranti ini juga masih mempunyai butang multitasking tersendiri. Untuk melancarkan skrin multitasking, butang menu yang terletak pada sebelah kiri butang home perlu ditekan untuk beberapa saat. Kami sudah biasa dengan peranti yang mempunyai butang multitasking tersendiri dan penggunaan butang menu seperti ini terasa sedikit ketinggalan. Oppo ialah antara syarikat yang masih menggunakan butang menu pada butang navigasi mereka. Kami berharap di masa hadapan mereka boleh mengikut apa yang dilakukan oleh pengeluar lain kerana kombinasi butang multi tasking, home dan back adalah yang terbaik bagi memudahkan penggunaan peranti.

Fungsi pergerakan jari disokong tetapi dalam bilangan yang terhad. Sebagai contoh anda boleh mengambil gambar skrin dengan mentatal tiga jari kebawah ataupun menurunkan tahap bunyi dengan tatalan dua jari. Anda juga boleh mengunci peranti dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Aneh sekali fungsi dwi-tap untuk menghidupkan semula yang ada pada Oppo Find 7 tidak pula disokong. Begitu juga fungsi melancarkan kamera dengan melakar bulatan pada skrin peranti. Sebaliknya kamera dilancarkan dengan menggoncang peranti sambil menekan butang suara ke bawah.

Oppo-R1X-Screen

Oppo-R1X-Screen-2

Kustomasi Antaramuka

Sokongan tema turut diberikan bagi membolehkan anda merubah rekaan ikon dan paparan skrin peranti. Secara peribadi kami tidak berapa gemarkan fungsi tema pada peranti pintar tetapi nampaknya ia antara fungsi yang popular di kalangan pengguna. Ia menyebabkan syarikat besar lain seperti HTC dan Samsung mula menghasilkan fungsi tema mereka sendiri. Untuk R1X  dua tema disediakan tetapi anda boleh memuat turun tema baru dengan mudah.

Oppo-R1X-Screen3

Kamera

Kamera utama 13 Megapixel boleh mengambil gambar pada nisbah 4:3. Untuk nisbah 16:9 resolusi diturunkan kepada 10 Megapixel. Jika anda mahukan gambar yang lebih tajam fungsi Ultra HD disokong dan gambar diambil pada resolusi 23 Megapixel. Ini dilakukan dengan menggabungkan beberapa gambar pada resolusi lebih kecil menjadi sebuah gambar yang lebih besar.

Pratetapan yang disediakan adalah menarik. Ada fungsi dedahan berganda bagi mewujudkan ilusi anda mempunyai kembar. Sokongan RAW juga wujud dan ini pastinya menggembirakan penggemar fotografi. Anda boleh memuat turun tetapan baru seperti After Focus sekiranya perlu.

Untuk video pula R1X mengambil video pada resolusi maksimum 1080P. Terdapat juga sokongan pergerakan perlahan.

Oppo-R1X-Camera

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang sempat kami ambil sepanjang tempoh ulasan. Dalam keadaan terang gambar yang diambil tajam tetapi mempunyai masalah dedahan berlebihan, penghasilan semula warna yang agak kusam dan sedikit kekuningan.

Apabila gambar diambil di dalam keadaan tertutup seperti di dalam pusat membeli belah gambar yang diambil kelihatan lebih baik. Penghasilan warna di dalam tempat tertutup juga menghampiri objek sebenar. Apabila gambar diambil pada jarak dekat dan terang masalah dedahan berlebihan kembali semula. Masalah dedahan berlebihan ini kami sedari sejak Oppo N1 lagi. Mungkin pihak Oppo boleh meningkatkan kemampuan kamera dengan mengemaskini perisian yang digunakan.

Prestasi di dalam keadaan gelap juga tidak berapa baik. Masalah noise yang agak ketara boleh dilihat. Penghasilan semula warna juga jelas agak kusam.

Oppo R1XIMG20150430160111Oppo R1XIMG20150430151405 Oppo R1XIMG20150430151705Oppo R1XIMG20150430143757 Oppo R1X Oppo-R1Z-pictars-1a Oppo R1X Oppo-R1Z-pictars-1b

 

 


 

Penanda Aras

Dengan pemproses Snapdragon 615, R1X jatuh di dalam kelas peranti pertengahan. Apabila ujian penanda aras dilakukan ia mencatatkan 13911 markah pada Quadrant, 31873 pada Antutu dan 9042 pada Futuremark.  Tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan markah yang dicatatkan ini.

Dalam penggunaan seharian peranti berfungsi dengan lancar dengan hanya sedikit sela masa. Masalah aplikasi tertutup dengan sendiri ataupun gagal berfungsi tidak berlaku walaupun sekali. Ianya juga tidak mudah menjadi panas selepas digunakan untuk masa yang lama. Secara keseluruhan ianya peranti yang mudah digunakan dan tidak memeningkan kepala sepanjang tempoh ulasan.

Oppo-R1X-Benchies-1

Oppo-R1X-Benchies-2

Bateri

Bateri sebesar 2420 mAh adalah agak kecil bagi peranti zaman sekarang. Kapasiti bateri yang kecil ini digunakan bagi memastikan R1X mempunyai profil sisi yang nipis. Ini juga mengakibatkan jangka hayat penggunaan peranti terkesan. Pada penggunaan berat kami menyedari ia mampu bertahan sekitar 6 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam. Pada penggunaan sederhana prestasi bateri meningkat kepada 10 jam. Ini bukanlah jangka hayat bateri yang boleh dibanggakan. Tidak seperti Oppo N3, R1X tidak menyokong sistem pengecasan VOOC. Pada hemat kami teknologi pengecasan pantas seharusnya menjadi standard pada semua peranti. Diharap apabila USB-C mula menjadi standard pada kesemua peranti kelak, masalah pengecasan pantas tidak disokong akan hanya menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Asus Zenfone 2 ZE551ML ialah Samsung Galaxy A7 dan One Plus One. Ketiga-tiganya mempunyai saiz skrin dan kemampuan kamera yang setanding. Harga jualannya juga tidak jauh bezanya.

Telefon Pintar 5″
Oppo R1X Samsung Galaxy A5 Xiaomi Mi4i
5″ IPS LCD 720P (294 PPI) 5″ SAMOLED 720P (294 PPI) 5″ IPS LCD FHD (441 PPI)
1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 410 1.7 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615
Adreno 405 Adreno 330 Adreno 405
2 Gigabyte 2 Gigabyte 2 Gigabyte
16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte (64 GB MikroSD) 16 Gigabyte
Kamera Utama 13 Megapixel Kamera Utama 13 Megapixel Kamera Utama 13 Megapixel
Kamera Utama 5 Megapixel Kamera Utama 5 Megapixel Kamera Utama 5 Megapixel
2420 mAh (Tidak boleh dibuka) 2300 mAh (Tidak boleh dibuka)
3120 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1398 RM 1199 RM 749

Kesimpulan

Sebuah lagi peranti kelas pertengahan yang memasuki pasaran tempatan. Masih terasa aneh memanggil peranti lapan teras seperti Oppo R1X sebagai sebuah peranti kelas pertengahan tetapi realitinya standard apakah dipanggil peranti kelas tinggi berubah untuk 2015. Dari segi binaan dan kemasan R1X mempunyai kelebihan berbanding pesaing yang masih mempunyai binaan separa plastik. Panel kaca pada bahagian belakang R1X memang sangat cantik dan mengujakan Tetapi seperti kesemua peranti berpanel kaca, panel belakang R1X turut dengan mudah memerangkap cap jari. Mudah sangat menjadi kotor. Pastinya anda sentiasa membersihkannya dengan kerap.

Spesifikasi sederhana adalah cukup baik untuk melakukan tugasan harian. Pemproses lapan teras serta RAM sebesar 2 Gigabyte dapat memastikan lebih 90% aplikasi yang digunakan akan berjalan dengan lancar. Kekurangan pada pandangan kami adalah pada skrin yang masih lagi 720P. Kesemua pesaing terhampir R1X menggunakan skrin HD Penuh. Ketiadaan sokongan lampu pada butang navigasi kapasitif juga sedikit mengecewakan.

Kemampuan kamera dan bateri adalah sedikit mengecewakan. Gambar yang diambil agak kusam dan mempunyai masalah dedahan berlebihan. Ini adalah masalah yang kerap kami lihat pada peranti keluaran Oppo. Mungkin pihak Oppo perlu mengemaskini perisian kamera mereka untuk memperbaiki masalah ini.

Hayat bateri hanya sekitar 6 jam pada penggunaan berat dan 10 jam pada penggunaan sederhana. Skrin terpasang lebih kurang 5 jam. Ini adalah di bawah purata hayat penggunaan kebanyakan peranti yang pernah kami ulas.

Oppo R1X dijual pada harga RM 1398 sebuah. Ini adalah harga yang agak mahal bagi peranti dengan kemampuan sederhana. Terdapat beberapa peranti di-pasaran sekarang dengan spesifikasi lebih tinggi tetapi dijual pada harga lebih mampu milik. Perbezaan hanyalah pada bahan binaan R1X yang lebih premium jika dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan yang lain. Spesifikasi R1X adalah sederhana, kemampuan kamera tidak menyerlah, hayat bateri yang pendek dan masih menggunakan Android Kit Kat. Apabila kesemua faktor ini diambil kira, adalah sukar untuk kami mengesyorkan R1X kepada anda.

Oppo R1X M2370001

 

 

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang menarik dengan bahan binaan premium. Panel kaca depan dan belakang serta logam pada sisi membezakannya dari peranti kelas pertengahan lain yang masih menggunakan bahan plastik.
  • Oppo menyertakan pelindung skrin dan cangkerang lutsinar dengan setiap pembelian. Tidak perlu membeli aksesori tambahan.
  • Pelbagai pilihan kustomasi untuk tema.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada lampu pada butang navigasi kapasitif. Sukar digunakan dalam keadaan gelap.
  • Harga kurang kompetitif bila dibandingkan dengan peranti lain di pasaran.
  • Jangka hayat bateri yang kurang memuaskan. Tiada pula sokongan VOOC Oppo.

Skor-Oppo-R1X

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd