Hayat bateri peranti yang pendek ialah masalah biasa sejak peranti sesentuh mula digunakan pada peranti mudah alih. Saiznya yang lebih besar ini mengakibatkan jarang sekali kita mendengar peranti pintar dapat bertahan melebihi tiga hari. Ini amat berbeza dengan telefon mudah alih yang suatu ketika dahulu dapat bertahan sekurang-kurangnya empat hari pada penggunaan normal. Jika anda melihat senarai perkakasan yang menggunakan bateri tertinggi, skrin peranti pastinya terletak di kedudukan paling atas. Dengan saiz skrin yang semakin besar dan beresolusi lebih tinggi, masalah ini hanya ditangani dengan penggunaan bateri lebih besar.
Dr Peiman Hosseini yang bertugas di Bodle Techonogy mengumumkan beliau sedang membangunkan skrin peranti yang tidak memerlukan kuasa elektrik untuk digunakan. Dengan penggunaan teknologi ini, hayat penggunaan peranti pintar yang pendek akan menjadi masalah zaman silam. Skrin yang masih dirahsiakan teknologinya ini menggunakan konsep yang sama seperti yang digunakan pada cakera padat RW (CDRW). Denyutan elektrik yang kecil menukar fasa permukaan skrin bagi memaparkan imej yang dimahukan. Bodle Technolog ialah anak syarikat di bawah Universiti Oxford dan menurut mereka teknologi skrin yang tidak memerlukan kuasa elektrik ini kini mendapat perhatian beberapa pengeluar peranti terkemuka. Teknologi yang sama juga turut akan digunakan pada cermin tingkap pintar. Kadar ketelusan cahaya cermin dapat diubah bagi mengurangkan kemasukan cahaya pada musim panas seterusnya mengurangkan kos menggunakan pendingin hawa. Prototaip pertama skrin ini akan dihasilkan dalam masa setahun. Mungkin inilah jawapan kepada masalah bateri yang tidak dapat menguasai peranti sepanjang hari yang dinantikan selama ini.