Xiaomi hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu Redmi Note 3. Redmi Note 3 ini merupakan kemaskini kepada phablet berharga rendah mereka, hadir dengan ciri-ciri premium.
Xiaomi Redmi Note 3 hadir dengan rekaan berasaskan logam, dilengkapi dengan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, serta menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh. Xiaomi Redmi Note 3 ini hadir dengan rekaan bahagian tepi yang melengkung untuk memberikan keselesaan ketika pegang – selain pengimbas cap jari yang beroperasi dengan pantas.
Xiaomi turut menekankan Xiaomi Redmi Note 3 ini hanya seberat 164gram sahaja – lebih 4gram berbanding Redmi Note 2, dan pada masa yang sama membawakan ketebalan peranti senipis 8.65mm.
Untuk skrin, Redmi Note 3 menggunakan skrin 5.5-inci dengan paparan 1080p, serta dilengkapi teknologi Sunglight Display.
Dari segi spesifikasi, ia menggunakan cip pemprosesan Helio X10, bateri berkapasiti 4000mAh, kamera belakang 13-megapixel PDAF. Ia turut menggunakan memori 2GB LPDDR3 RAM, menggunakan dwi-SIM, serta dilengkapi sistem operasi MIUI7.
Xiaomi Redmi Note 3 ini akan dijual pada harga RMB899 (~RM596) untuk versi 2GB RAM dengan 16GB storan, dan RMB1099 (~RM728) untuk versi 3GB RAM dengan 32GB storan.