Cari @ Amanz

Lenovo melancarkan tiga komputer All In One (AIO) dan sebuah komputer desktop di dalam keluarga Ideacentre untuk pasaran Malaysia hari ini. Kesemua komputer di atas adalah sebahagian dari 18 produk baru yang diperlihatkan di acara khas yang dianjurkan oleh mereka hari ini. Komputer desktop Ideacentre Y900 diperkasakan pemproses Intel Core i7 6700K, RAM sehingga 64 Gigabyte dan muatan dalaman SSD sehingga 256 Gigabyte. Komputer ini direka khas untuk kegunaan penggemar permainan komputer dan dilengkapi kad grafik Nvidia Gefore GTX 980 RAM 4 Gigabyte. Keseluruhan komponen komputer ini tidak memerlukan pemutar skru untuk dibuka. Terdapat empat slot untuk cakera keras/cakera SSD serta dua slot untuk pemacu optik. Terdapat ruang yang mencukupi untuk meletakkan dua kad grafik di dalam konfigurasi SLI. Ciri menarik lain yang disertakan ialah sistem penapis udara terbina untuk kesemua kipas penyejuk pada tubuh cangkerang. Kepada yang mahu menambah sistem penyejukan cecair, panel atas boleh ditanggalkan bagi memasangnya dengan pantas. Papan kekunci mekanikal dan tetikus Y Gaming Precision Mouse disertakan dengan setiap pembelian. Harga keseluruhan sistem ini bermula dari RM6999.

Lenovo Ideacentre Y900 20151124_162225

 

Seterusnya ialah Ideacentre AIO 700. Ia dilengkapi skrin sesentuh 27″ dengan resolusi 4K, pemproses Intel Core i7-6700, RAM sebesar 16 Gigabyte dan muatan dalaman HDD sebesar 2 Terabyte.  AIO 700 turut mensasarkan penggemar permainan video dengan kad grafik Nvidia Geforce GTX 950A dengan RAM sebesar 2 Gigabyte. Bagi menyokong fungsi Windows Hello, kamera 3D Intel Real Sense disertakan. Sistem audio JBL melengkapi spesifikasi komputer yang menggunakan Windows 10 Home ini. Harga jualan AIO 700 bermula dari RM6999.

Sekiranya AIO 700 adalah terlalu besar untuk anda, Ideacentre AIO 700 dengan skrin 24″ turut dijual oleh Lenovo. Spesifikasi adalah setanding dengan AIO 700 dengan perubahan skrin sesentuh 23.8″ beresolusi HD penuh. Harga jualannya pula adalah RM 3699 sebuah.

Akhir sekali ialah Ideacentre AIO 300 yang mempunyai skrin sesentuh 23.8″ HD penuh, diperkasakan pemproses Intel Core i5-6200U, RAM sehingga 16 Gigabyte dan muatan dalaman HDD sebesar 2 Terabyte. Kad grafik yang digunakan pula adalah Nvidia Geforce 920A dengan RAM sebesar 2 Gigabyte.Kamera web dan sistem audio stereo terbina disertakan. Komputer Windows 10 Home ini dijual pada harga bermula RM2699 sebuah.

Lenovo Ideacentre AIO 70020151124_161832

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd