Sultan Johor Mengharamkan Penjualan Vape Di Negeri Johor Bermula 1 Januari

Sultan Johor Mengharamkan Penjualan Vape Di Negeri Johor Bermula 1 Januari

Diterbitkan pada November 29, 2015 oleh .

Budaya menggunakan rokok elektronik atau dengan nama popularnya ‘Vape’ semakin hari semakin popular di seluruh negara. Meskipun terdapat mufti yang mengharamkan penggunaannya dan juga kegiatan rampasan oleh Kementerian Kesihatan terhadap pengusahanya, ia dilihat tidak memberikan sebarang impak terhadap industri tersebut. Gerakan pro-vape mendapat sokongan beberapa tokoh politik di Malaysia yang merasakan jualannya harus dibenarkan asalkan ianya dipantau oleh pihak berwajib. Antara cadangan yang diberikan ialah mengaramkan penjualan kepada remaja di bawah usia 18 tahun dan cecair vape dikenakan cukai. Terbaru, Sultan Johor,Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan mengharamkan penjualan vape di seluruh negeri Johor bermula 1 Januari 2016.

No_Vaping_Sign_(18562436519)

Dua hari yang lalu mufti negeri Kedah berkongsi pendapat pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape wajib disusuli dengan pengharaman sebarang aktiviti berkaitannya. Ini termasuklah penjualan dan pengedarannya sekaligus membolehkan pengurangan kegunaan rokok elektronik atau vape. Negeri Johor dilihat menjadi negeri terawal dalam mengambil tindakan tersebut dan tidak akan berkompromi dalam isu ini, mengambil langkah bukan sahaja mengharamkan penggunaannya, malah mengharamkan sebarang premis beroperasi untuk penjualan produk ini.

Sultan Johor turut bertitah pengharaman ini dilakukan atas dasar faktor kesihatan dan kesannya ke atas golongan muda. Melalui akta kerajaan negeri, tindakan akan diambil serta arahan kerajaan negeri akan dikeluarkan bagi pengusaha kedai rokok elektronik atau vape. Pengharaman ini juga dikenakan ke atas kesemua jenis rokok elektronik atau vape. Mana-mana rakyat yang masih melanggar undang-undang selepas 1 Januari 2016 akan dikenakan tindakan. Baginda juga tidak mahu isu rokok elektronik atau vape ini diperpanjangkan apatah lagi dipolitikkan oleh pihak tertentu.


TIPS & ULASAN