Carian
Pandang Pertama Acer Liquid Z630 – Sebuah Lagi Phablet Mampu Milik
November 30, 2015 Effi Saharudin

Tiga peranti kelas pertengahan di dalam keluarga Liquid Z dilancarkan di Malaysia hari ini. Peranti pelbagai saiz ini diperkasakan pemproses kelas pertengahan dengan harga jualan mampu milik. Liquid Z630 ialah peranti yang mempunyai saiz skrin terbesar dan spesifikasi terbaik di antara tiga peranti ini. Mari lihat pandang pertama phablet ini dan adakah ia dapat bersaing dengan beberapa peranti kelas pertengahan lain di pasaran?

Spesifikasi

Acer Liquid Z630
Skrin 5.5″ IPS LCD 720P (267 PPI)
Pemproses 1.3 GHZ Empat Teras MediaTek MT6735
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 Gigabyte)
Kamera Utama 8 Megapixel
Kamera Hadapan 8 Megapixel
Bateri 4000 mAh
SIM/Telefoni Dwi Makro SIM/4G
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 659

Liquid Z630 mempunyai skrin 5.5″ IPS LCD dengan resolusi 720P. Penggunaan skrin beresolusi HD ini adalah sedikit aneh kerana majoriti peranti kelas pertengahan sudah mula menggunakan skrin HD penuh. Ia diperkasakan pemproses 1.3 GHz empat teras Mediatek MT6735, RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte. Sekali lagi penggunaan pemproses hanya empat teras adalah unik kerana banyak phablet pesaing sudah menggunakan pemproses lapan teras. Ini tidak semestinya bermakna peranti ini kurang berkuasa. Realiti dunia sebenar ialah kebanyakan aplikasi Android masih hanya menggunakan dua teras pemproses untuk berfungsi. Dalam kegunaan harian pemproses lapan teras tidak digunakan kuasa memprosesnya dengan penuh.

Kemampuan optik juga sederhana pada peranti ini dengan kamera hadapan dan belakang kedua-duanya sebesar 8 Megapixel. Resolusi video maksimum yang boleh dirakam ialah 1080P. Perbezaan antara kamera hadapan dan belakang hanyalah pada lensa sudut lebar yang digunakan pada bahagian hadapan. Akhir sekali phablet ini dilengkapi bateri sebesar 4000 mAh. Menurut Acer ini memberikan hayat penggunaan sehingga dua hari hanya dengan sekali caj. Pada waktu yang sama ia turut boleh berfungsi sebagai sebuah power bank dan mengecas peranti lain menggunakan sistem USB OTG. Bateri ini boleh ditanggalkan.

Liquid Z630 menyokong rangkaian 4G dan Dwi-SIM Mikro. Terdapat sokongan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte. Slot penambahan memori dalaman tidak berkongsi dengan slot SIM. Jadi pengguna boleh menggunakan dua SIM serentak sepanjang masa.

Rekaan

Rekaan peranti ini mempunyai banyak persamaan dengan Jade Primo yang kami lihat di Taiwan beberapa bulan yang lalu. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada plastik. Hanya terdapat gegelung logam yang mengelilingi parameter peranti. Butang kuasa dan suara terletak pada sebelah kanan peranti. Kedua-dua butang diperbuat daripada plastik. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala 3.5mm manakala pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan MikroUSB. Pembesar suara terletak pada bahagian belakang dengan kekisi berbentuk segi empat tepat. Panel belakang yang turut diperbuat daripada plastik boleh dibuka bagi memberikan akses kepada bateri, slot SIM dan juga kad MikroSD.

Harus diakui rekaan peranti ini sedikit ketinggalan zaman dengan penggunaan bahan plastik yang dominan. Namun ini adalah kebiasaan bagi peranti-peranti mampu milik. Sisi peranti yang bulat membuatkannya selesa untuk dipegang. Namun begitu kerana penggunaan bahan plastik ia membuatkannya licin dan mudah tergelincir dari genggaman.

Acer Liquid Z630

Acer Liquid UI

Android 5.1 digunakan dengan antaramuka Acer Liquid UI. Dari segi rekaan antaramuka ini mengekalkan rekaan Android Vanilla dengan beberapa perubahan kecil dilakukan oleh Acer. Kerana penggunaan banyak elemen Android Vanilla, antaramuka peranti ini kelihatan kemas dan bergerak lancar walaupun tidak mempunyai spesifikasi yang tinggi. Beberapa fungsi tambahan disertakan oleh Acer. Sebagai contoh pengguna boleh memilih tiga jenis paparan antaramuka. Paparan biasa memberikan semua jenis pilihan dan fungsi peranti. Ini adalah paparan yang digunakan oleh majoriti pengguna. Paparan Quick Mode adalah paparan yang dipermudahkan untuk kegunaan warga emas ataupun mereka yang baru belajar menggunakan peranti pintar. Akhir sekali ialah paparan Kids Center yang menghadkan akses fungsi dan aplikasi kepada pengguna. Ini sesuai digunakan bagi mereka yang mempunyai anak kecil.

Fungsi tambahan lain ialah AcerFLOAT yang membolehkan aplikasi terapung di dalam tetingkap kecil. Sebagai contoh sekiranya anda menerima panggilan telefon ketika melayari web, tetingkap kecil untuk panggilan telefon akan muncul pada skrin. Kedudukan tetingkap aplikasi telefon ini boleh diubah mengikut kemahuan anda.

Sebuah lagi fungsi yang kami rasakan menarik ialah fungsi Presentation Mode pada aplikasi kamera. Mod ini membolehkan gambar yang diambil secara senget diubah seperti diambil terus dari hadapan. Pengguna tidak perlu menyunting gambar menggunakan aplikasi lain kerana perisian Presentation Mode akan mengubahnya secara automatik. Ini sesuai digunakan oleh golongan pelajar yang gemar mengambil gambar papan putih di dalam dewan kuliah.

 

Kesimpulan

Pasaran sekarang dipenuhi dengan banyak phablet kerana pengguna di Malaysia gemarkan peranti dengan saiz skrin yang besar. Ini memudahkan mereka untuk menonton video dan menggunakan aplikasi permainan. Kebanyakan phablet di pasaran dijual pada harga yang agak mahal. Kemunculan Liquid Z630 akan memberikan peluang pengguna memiliki phablet yang dijual pada harga mampu milik iaitu RM 659. Dari penggunaan selama beberapa minit kami mendapati peranti ini berjalan agak lancar walaupun berspesifikasi agak rendah. Saiz baterinya yang besar membolehkan tontonan video pada masa yang agak lama. Sejauh manakah keupayaan peranti ini di dunia sebenar tidak lagi kami ketahui. Kami berharap dapat melakukan ulasan penuhnya di masa hadapan.

Komen