Pandang Pertama Acer Liquid X2 – Peranti Pintar Pertama Dengan Sokongan Tiga SIM

Pandang Pertama Acer Liquid X2 – Peranti Pintar Pertama Dengan Sokongan Tiga SIM

Diterbitkan pada Dis 1, 2015 oleh .

Peranti dengan dua kad SIM kini semakin popular di Asia. Ini memudahkan pengguna untuk melanggan kepada lebih daripada satu syarikat telekomunikasi. Menggunakan atu SIM untuk panggilan telefon dan satu lagi untuk perkhidmatan data adalah perkara yang semakin lazim sejak kebelakangan ini . Kami sendiri menggunakan peranti dua SIM bagi memudahkan kami melayari web ketika di luar negara. SIM tempatan boleh terus dikekalkan di dalam telefon tanpa risau ia hilang akibat terjatuh. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda mahu menggunakan lebih dari dua syarikat telekomunikasi? Acer mempunyai jawapan kepada masalah ini dengan menghasilkan Acer Liquid X2, peranti pintar pertama yang mempunyai sokongan tri-SIM.

Liquid X2 masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia tetapi akan mula dijual dalam jangka masa terdekat. Peranti ini diperlihatkan kepada umum pagi tadi di dalam majlis pelancaran peranti keluarga Liquid Z. Jadi apakah keistimewaan lain peranti ini di samping kemampuan tiga SIM?

Spesifikasi

Acer Liquid X2
Skrin 5.5″ IPS LCD 720P (267 PPI)
Pemproses MediaTek Lapan Teras
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 Gigabyte)
Kamera Utama 13 Megapixel
Kamera Hadapan 13  Megapixel
Bateri 4000 mAh
SIM/Telefoni Dwi Makro SIM/4G
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan Belum Diumumkan

Peranti ini mempunyai skrin sebesar 5.5″ IPS LCD dengan resolusi 720P. Pemproses MediaTek lapan teras digunakan tetapi Acer masih belum memberitahu apakah model yang digunakan. RAM adalah sebesar 3 Gigabyte dengan muatan dalaman 32 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel f/1.8 pada bahagian belakang dan 13 Megapixel pada bahagian hadapan. Dari segi bateri pula ia dlengkapi bateri sebesar 4000 mAh. Seperti Acer Liquid Z630, Liquid X2 turut boleh berfungsi sebagai sebuah power bank untuk mengecas peranti lain menerusi fungsi USB OTG.

Dari segi rekaan Liquid X2 kelihatan lebih menarik berbanding peranti Liquid Z630. Bentuk tubuh badannya berkotak dan mengingatkan kami kepada rekaan peranti dari keluar Sony Xperia Z. Perbezaan ketara ialah dari segi bahan binaan. Panel belakang dan sisi peranti ini diperbuat daripada platinum dan bukannya kaca seperti peranti Sony. Ini turut membuatnya terasa amat ringan. Perkara positif yang boleh kami katakan mengenai rekaan plastik Liquid X2 ialah ia tidak memerangkap cap jari seperti peranti lain yang menggunakan bahan binaan kaca.

Pada bahagian kanan terdapat butang suara dan juga kuasa. Kedua-duanya diperbuat daripada plastik. Pada sebelah bawah terdapat slot pengecasan MikroUSB dan pada bahagian atas pula terdapat jack fon kepala 3.5mm. Pembesar suara mono diletakkan pada bahagian belakang dengan kekisi memanjang. Panel belakang ini boleh dibuka bagi mengakses slot untuk DWI SIM bersaiz mikro dan slot kad MikroSD yang berkongsi sebagai slot SIM mikro ketiga. Bateri juga boleh diakses dan ditanggalkan.

Peranti selesa dipegang di dalam tangan walaupun mempunyai sisi yang agak bersegi. Panel belakang yang sedikit melengkung mengikuti kontur telapak tangan. Kerana bahan binaannya yang diperbuat daripada plastik ianya agak licin untuk dipegang. Peranti yang diperlihatkan oleh Acer semalam dilengkapi cangkerang khas dengan penutup skrin terbina. Cangkerang penutup inilah yang memberikan Liquid X2 beberapa fungsi yang kami rasakan menarik.

Acer Liquid X220151130_123309

 

Acer Liquid UI

Android 5.1 digunakan dengan antaramuka Acer Liquid UI. Dari segi rekaan antaramuka ini mengekalkan rekaan Android Vanilla dengan beberapa perubahan kecil dilakukan oleh Acer. Kerana penggunaan banyak elemen Android Vanilla, antaramuka peranti ini kelihatan kemas dan bergerak lancar.Beberapa fungsi tambahan disertakan oleh Acer. Sebagai contoh pengguna boleh memilih tiga jenis paparan antaramuka. Paparan biasa memberikan semua jenis pilihan dan fungsi peranti. Ini adalah paparan yang digunakan oleh majoriti pengguna. Paparan Quick Mode adalah paparan yang dipermudahkan untuk kegunaan warga emas ataupun mereka yang baru belajar menggunakan peranti pintar. Akhir sekali ialah paparan Kids Center yang menghadkan akses fungsi dan aplikasi kepada pengguna. Ini sesuai digunakan bagi mereka yang mempunyai anak kecil.

Fungsi tambahan lain ialah AcerFLOAT yang membolehkan aplikasi terapung di dalam tetingkap kecil. Sebagai contoh sekiranya anda menerima panggilan telefon ketika melayari web, tetingkap kecil untuk panggilan telefon akan muncul pada skrin. Kedudukan tetingkap aplikasi telefon ini boleh diubah mengikut kemahuan anda.

Cangkerang Khas

Cangkerang khas Liquid X2 mempunyai rekaan yang berbeza dari cangkerang dengan penutup skrin yang kami lihat sebelum ini. Tetingkap pantas dan nipis terletak di tengah-tengah penutup. Apabila peranti ditutup ia boleh memaparkan ramalan kaji cuaca, waktu, singkatan pendek untuk beberapa aplikasi,sistem kawalan audio dan juga aplikasi merakan audio. Apa yang dipaparkan ini boleh dikawal menerusi tetapan khas. Beberapa rekaan diperlihatkan kepada media semalam. Kepada penggemar muzik, paparan grafik audio bergerak juga boleh dipaparkan pada tetingkap kecil ini sekiranya diperlukan. Apabila panggilan diterima, penutup tidak perlu dibuka. Pengguna hanya perlu menekan butang yang dipaparkan untuk menjawab telefon. Terdapat lubang khas pada penutup skrin yang memastikan kualiti audio dari headpiece peranti tidak terhalang. Dari apa yang diperlihatkan semalam, Acer memberikan petunjuk bahawa cangkerang khas ini akan disertakan dengan setiap pembelian Liquid X2.

Kesimpulan

Acer Liquid X2 hanya akan memasuki pasaran Malaysia Januari tahun hadapan. Tarikh muktamad dan juga harga jualannya masih belum diumumkan oleh Acer. Liquid X2 adalah telefon pintar tercantik yang pernah mereka hasilkan kerana mempunyai rekaan yang lebih kontemporari. Antaramuka Acer Liquid UI yang hampir menyerupai Android Vanilla kami rasakan menarik kerana pengguna sekarang lebih menggemari rekaan asal Google berbanding antaramuka khas pelancar yang direka oleh pengeluar. Kami sedikit terkilan dengan penggunaan skrin yang hanya beresolusi HD namun ini mungkin taktik Acer untuk mengurangkan harga jualannya kelak. Jenis pemproses masih belum diberitahu oleh Acer namun kami merasakan ada kemungkinan ianya sebuah Helio X10 yang semakin popular penggunanya. Pemproses ini terkenal dengan kemampuan menghabiskan bateri dengan pantas. Tetapi dengan bateri sebesar 4000 mAh Liquid X2, kebarangkalian peranti akan kehabisan bateri dengan pantas mungkin dapat dielakkan. Buat masa ini kami hanya mampu melakukan spekulasi. Nantikan pelancarannya secara rasmi tahun hadapan untuk mengetahui spesifikasi penuh dan harga jualannya kelak.


TIPS & ULASAN