Vivo merupakan salah satu jenama popular untuk peranti mudah-alih di China, dan terkini mereka telah memperkenalkan dua telefon pintar baru, iaitu Vivo X6, dan peranti bersaiz sedikit besar dinamakan – seperti kebiasaan – Vivo X6 Plus.
Vivo X6 hadir dengan skrin bersaiz 5.2-inci, dan menawarkan resolusi HD penuh – 1920x1080pixel. Peranti ini dijana menggunakan cip pemprosesan MediaTek MT6752 1.7Ghz, memori 4GB RAM, dan bateri berkapasiti 2400mAh. Vivo X6 turut menggunakan kamera belakang 13-megapixel dengan sokongan PDAF, serta kamera hadapan 8-megapixel.
Untuk Vivo X6 Plus pula, ia hadir dengan skrin bersaiz 5.7-inci dan bateri berkapasiti 3000mAh.
Kedua-duanya membawakan rekaan berasaskan logam, dan dilengkapi sokongan mikro-SD. Pihak Vivo dilihat tidak begitu menekankan kepada spesifikasi pemprosesan – apatah lagi dengan peranti seumpama Redmi Note 2 sendiri yang membawakan cip Helio X10, dan bukan cip MediaTek biasa.
Vivo menekankan kepada sokongan pemprosesan audio, dimana ia hadir dengan sokongan cip audio ES9028 DAC, ES9603 amp, dan juga Yamaha YSS-205X. Vivo dilihat ingin menawarkan sokongan audio yang baik, selain pada masa yang sama mengatasi masalah pemprosesan yang dihadapi pada Vivo X5 yang dijana cip Snapdragon sebelum ini.
Fungsi lain yang turut disertakan Vivo pada Vivo X6 adalah sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang untuk tujuan sekuriti tambahan, dan juga menawarkan akses yang lebih pantas kepada peranti.
Vivo X6 akan dijual pada harga bermula $390 (~RM1660), dan dipasarkan di China sahaja buat masa ini.