Carian
Monopoli Astro Sebagai Penyedia Perkhidmatan TV Satelit Berbayar Akan Tamat Pada Februari 2017
December 2, 2015 Effi Saharudin

Perkhidmatan TV yang menggunakan parabola adalah sinonim dengan Astro sejak pengenalannya pada tahun 1996. Pada waktu tersebut mereka hanya menawarkan empat saluran TV yang memaparkan kandungan Bahasa Malaysia, Cina, India dan juga sukan. Hampir 20 tahun sudah berlalu dan kini Astro menawarkan 179 saluran TV dan 20 saluran radio. Hanya beberapa saluran eksklusif mereka dikongsi dengan perkhidmatan lain seperti HyppTV yang dibenarkan menyiarkan beberapa saluran bola sepak. Kepada yang inginkan perkhidmatan satelit selain Astro, mereka perlu menunggu sehingga 28 Februari 2017. Tempoh eksklusif Astro ini diberikan kerajaan sejak tahun 1996. Selepas tempoh ini syarikat-syarikat lain boleh memohon lesen untuk menyediakan perkhidmatan TV satelit berbayar mereka sendiri.

Astro On-The-Go

Tempoh eksklusif ini didedahkan di sidang parlimen oleh wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Rompin, Datuk Hasan Arifin. Tempoh tamat pada tahun 2017 ialah lebih awal dari tahun 2022 dari beberapa sumber atas talian yang kami temui sebelum ini. Pihak kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh eksklusif Astro sebagai penyedia perkhidmatan TV satelit buat masa ini. Kepada pengguna ini pastinya berita baik kerana monopoli tidak menguntungkan mereka. Persaingan sihat akan menurunkan harga perkhidmatan dan memberikan lebih banyak pilihan kepada kita semua.

Komen