Cari @ Amanz

Kuasa memproses peranti pintar semakin meningkat tahun demi tahu. Kuasa memproses sebuah peranti empat teras berspesfikasi rendah sekarang adalah lebih 1000 kali ganda lebih berkuasa berbanding pemproses yang digunakan pada modul pendaratan misi manusia ke bulan 50 tahun yang lalu. Tidak menghairankan permainan PC klasik awal milenium yang lalu kini dengan mudah dapat dimainkan pada telefon pintar di telapak tangan anda.

Snapdragon

Kuasa memproses ini akan terus meningkat kerana ianya keperluan pengguna yang mahukan lebih banyak kuasa. Evolusi telefon pintar seterusnya ialah menggantikan komputer dengan sebuah peranti kompak. Ini sudah boleh kita lihat dengan fungsi Continuum pada Windows Phone 10. Menyedari hakikat ini wujud ura-ura Qualcomm akan menghasilkan cip pemproses Snapdragon 830. Cip terkini ia dipercayai dapat menyokong penggunaan RAM sehingga 8 Gigabyte pada peranti pintar. Saiz RAM yang besar adalah perlu bagi memastikan kelancaran program apabila ia berubah menjadi sebuah komputer desktop. Beberapa ulasan awal Continuum untuk Lumia 950 menunjukkan RAM sebesar 3 Gigabyte masih belum mencukupi untuk memastikan kelancaran. Peranti pintar dengan RAM sebesar 4 Gigabyte mula wujud tahun ini. Tidak mengejutkan sekiranya peranti dengan RAM 8 Gigabyte akan memasuki pasaran kelak.

Sebagai perbandingan Nexus One yang muncul pada tahun 2010 hanya mempunyai RAM sebesar 512 Megabyte. Nexus 6P mempunyai RAM sebesar 3 Gigabyte. Dalam masa lima tahun jumlah RAM sudah meningkat hampir enam kali ganda. Adakah anda rasa anda bakal memiliki peranti dengan RAM sebesar 8 Gigabyte?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd