Selain daripada Microsoft, Samsung juga pada tahun ini dilihat lebih terbuka dalam penawaran sokongan peranti mereka. Selepas memperkenalkan Gear Manager untuk semua peranti Android 4.4.4 KitKat dan terkini, kini Samsung juga dilaporkan dalam persiapan memperkenalkan Gear Manager untuk iPhone.
Melalui penggunaan Gear Manager untuk iOS, ia akan membolehkan para pengguna peranti iPhone menggunakan jam tangan pintar Gear S2 daripada Samsung. Ini sekaligus memudahkan pengguna iPhone menerima notifikasi pada jam tangan Samsung dengan mudah, serta memberikan lebih kebebasan untuk pengguna iPhone dalam memilih jam tangan pintar mereka.
Gear S2 merupakan jam tangan pintar berasaskan Tizen, dan menjadi jam tangan pintar pertama daripada Samsung yang menawarkan sokongan untuk peranti selain daripada Galaxy. Dengan peralihan ini oleh Samsung, mungkinkah kita akan melihat Samsung menawarkan sokongan sama untuk Gear VR dan beberapa peranti lain – apatah lagi dengan Apple yang sering mengambil masa yang sangat lambat dalam memperkenalkan produk mereka untuk pasaran beberapa buah negara.