Cari @ Amanz

Dengan persaingan sengit dalam arena permesejan, salah satu aplikasi yang kian dilupakan dari hari ke hari adalah Yahoo! Messenger. Ia merupakan salah satu perisian permesejan popular sekitar 10 tahun lepas, tetapi ia semakin dilupakan dengan aplikasi lain yang berbentuk lebih moden dan menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik.

Yahoo! Messenger

Kini, Yahoo! mencuba untuk menarik kembali minat pengguna dalam menggunakannya, dan telah pun memperkenalkan kemaskini besar pertama untuk Yahoo! Messenger pada platform web, Android dan juga iOS.

Yahoo! Messenger baru mengintegrasikan sokongan Flickr dan juga Tumblr, selain turut memfokuskan kepada permesejan berkumpulan. Kini, anda boleh menghantar gambar beresolusi penuh kepada rakan-rakan di Yahoo! Messenger, selain turut menggunakan penghantaran gambar berformat animasi GIF.

Disamping itu, kini Yahoo! Messenger turut menyertakan butang Unsend, membolehkan anda memadamkan sesuatu mesej atau gambar yang terhantar secara tidak sengaja. Apabila butang Unsend ini ditekan, ia akan memadam mesej berkenaan daripada semua penerima serta-merta.

Yahoo! Messenger juga kini menyertakan fungsi Like, membolehkan anda untuk like sesuatu mesej, gambar dan sebagainya – yang mana mungkin berguna pada permesejan berkumpulan, tanpa memerlukan anda membalas sesuatu perkongsian menarik dengan teks.

Yahoo! turut mengatakan aplikasi Yahoo! Messenger kini dioptimasikan untuk lebih pantas, dan membolehkan pengguna berkomunikasi menggunakan sebarang peranti dengan mudah.

Bagi anda yang berminat, anda boleh memuat-turun aplikasi Yahoo! Messenger ini hari ini untuk Android, iOS – atau menggunakannya pada web.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd