Cari @ Amanz

MaGIC atau nama panjangnya Malaysian Global Innovation & Creativity Centre merupakan salah satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memperluaskan budaya keusahawanan dan membantu usahawan tempatan dalam berjaya. Terkini, CEO MaGIC, Cheryl Yeoh dilaporkan akan meninggalkan agensi berkenaan dalam masa lebih kurang sebulan lagi.

ceo magic-cheryl yeoh

Cheryl Yeoh merupakan CEO pertama untuk MaGIC yang telah dilantik pada April 2014 yang lepas, dengan kontrak selama 2+1 tahun. Namun, ia disingkatkan, dan tarikh akhir untuk beliau sebagai CEO MaGIC adalah 14 Januari 2016.

MaGIC pada asalnya diberikan mandat untuk mengalakkan usahawan dalam pelbagai bidang, tetapi MaGIC dilihat hanya memfokuskan kepada arena teknologi sahaja – yang mana memberikan tekanan kepada beliau, dan mungkin menjadi salah satu sebab untuk meninggalkan agensi berkenaan.

MaGIC sebelum ini telah menerima peruntukkan sebanyak RM70 juta pada belanjawan 2014, dan RM35 juta tambahan pada Belanjawan 2016. Menurut salah satu sumber yang dipetik DNA, ia dikatakan MaGIC turut beroperasi sebagai startup yang menggunakan dana dan pelbagai keputusan – tanpa memberikan perhatian yang mana mereka perlu melalui beberapa langkah memandangkan mereka menggunakan wang orang awam.

Walaubagaimanapun, pencapaian Cheryl dalam MaGIC merupakan sesuatu yang perlu dipuji, dan telah membantu melahirkan ramai usahawan dalam arena digital – selain turut bekerjasama dengan beberapa pelabur luar untuk memasuki pasaran tempatan.

Pemilihan dan pencarian CEO baru sedang dilakukan buat masa sekarang, dimana antara kriteria yang dilihat adalah termasuk seseorang yang boleh berurusan dengan arena keusahawanan dan juga sektor kerajaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd