10 Pengumuman Paling Menarik Di PlayStation Experience Hujung Minggu Lalu
Artikel Berkaitan

10 Pengumuman Paling Menarik Di PlayStation Experience Hujung Minggu Lalu

Diterbitkan pada Dis 7, 2015 oleh .

PlayStation Experience ialah acara khas yang dianjurkan oleh Sony untuk peminat PlayStation. Di acara yang berlangsung dari 5 sehingga 6 Disember yang lalu beberapa pengumuman dan trailer baru diperlihatkan oleh pihak Sony. Berikut adalah 10 perkara yang kami rasakan terbaik sepanjang acara tahunan ini.

Trailer Terkini Final Fantasy VII Remake

Sejak teaser permainan ini diperlihatkan pada E3 2015, ramai peminat tertanya-tanya apakah perubahan yang bakal dilakukan kepada permainan klasik era PlayStation ini. Nampaknya sistem turn-based klasik diubah kepada sistem aktif yang lebih moden dan popular untuk permainan RPG sekarang. Wajah watak popular Barret edisi 3D turut diperlihatkan.Sebuah lagi berita mengejutkan ialah permainan ini akan dijual secara berepisod sama seperti siri permainan The Walking Dead oleh Telltale. Reaksi peminat setakat ini adalah negatif kerana mereka mahukan ia dijual sekaligus dan bukan secara berasingan seperti yang dirancangkan oleh SquareEnix.Tarikh bilakah Final Fantasy VII Remake akan mula dijual masih belum diumumkan tetapi anda kini boleh memuat turun Final Fantasy VII yang asal untuk PlayStation 4 bermula hari ini pada harga $10.87.

Ace Combat 7

Permainan terkini di dalam siri Ace Combat 7 diumumkan dan ianya sangat kami nantikan. Pada PlayStation 3 hanya dua Ace Combat dihasilkan dalam masa 7 tahun. Ini termasuk Ace Combat Infinity yang merupakan permainan percuma. Bandingkan ini dengan tiga permainan AC pada konsol PlayStation 2. Menarik sekali tentang Ace Combat 7 ialah ianya turut menyokong penggunaan PlayStation VR. Permainan ini adalah eksklusif untuk platform PlayStation 4.

Trailer Jalan Cerita Uncharted 4

Dua trailer yang menunjukkan grafik jalan cerita Uncharted 4 A Thief’s End diperlihatkan. Trailer pertama menunjukkan Nathan Drake bersedia untuk bergaduh dengan seorang watak baru. Trailer kedua pula memperlihatkan kali pertama Nathan bertemu abang beliau yang dipercayai meninggal dunia selama ini. Di dalam trailer kedua fungsi memilih dialog turut diperlihatkan. Fungsi ini tidak wujud pada permainan Uncharted sebelum ini. Permainan ini akan menemui peminat Mac 2016.

Pengumuman Yakuza 0

Siri permainan kongsi gelap Yakuza berterusan dengan prekuel Yakuzo 0 yang berlatar belakangkan Tokyo pada tahun 1988. Watak Kazuma Kiryu dan Goro Majima dapat dimainkan bagi melihat bagaimana mereka bermula di dalam dunia kongsi gelap. Tarikh jualan permainan PlayStation 4 ini masih belum diumumkan.

Berita Terkini King of Fighters XIV

King of Fighters XIV memperlihatkan perubahan grafik dari 2D kepada 3D sepenuhnya siri permainan berlawan dari SNK ini. Sungguhpun watak kini sudah berubah kepada 3D, permainan masih lagi kekal di dalam mod 2D dan bukannya 3D seperti Soul Calibur. SNK turut mengesahkan 50 watak boleh dipilih. Kesemua watak baru dan klasik KoF boleh dimainkan dan mod 3 vs 3 akan dikembalikan semula. Mod atas talian membabitkan enam orang pemain juga bakal disokong. Apakah pendapat anda dengan perubahan grafik 2D kepada 3D? Sebagai peminat tegar siri KoF harus kami akui ini adalah mengecewakan kerana grafik 2D KoF nampak lebih cantik berbanding 3D yang diperlihatkan.

Paragon : MOBA Dari Epic Games

MOBA ialah genre permainan yang sangat popular sekarang. Setelah melihat betapa popularnya DoTA, semakin ramai pembangun ingin menghasilkan MOBA mereka tersendiri. Paragon ialah MOBA yang diumumkan oleh Epic Games, pengeluar siri terkenal Gears of Wars. Corak permainan Paragon adalah mirip Overwatch yang sedang dibangunkan oleh Blizzard. Permainan dari pandangan ketiga ini akan hadir pada platform PlayStation 4 dan PC pada tahun hadapan.

 

Trailer Untuk Day of The Tentacle Remastered

Day of The Tentales ialah permainan point and click klasik dari LucasArt. Genre ini sudah lama dilupakan tetapi kini dihidupkan semula selepas menerima banyak permintaan dari pemain berumur. Sebelum ini hanya beberapa gambar edisi HD ini diperlihatkan. Pada PlayStation Experience trailer dengan grafik HD dipertontonkan buat pertama kali. Tiada lagi grafik “pecah” dan kini digantikan dengan grafik yang nampak seperti animasi sel. Turut diumumkan ialah penghasilan semula Full Throttle, sebuah lagi permainan point and click digemari ramai yang dihasilkan oleh LucaArt dan Tim Schaefer pada pertengahan 90an.

Street Fighter V : Watak Baru F.A.N.G Diperlihatkan

Watak baru bernama F.A.N.G untuk Street Fighter V diperlihatkan buat pertama kali. Beliau adalah ahli Shadaloo yang mempunyai serangan berasaskan racun. Apabila serangan menyentuh tubuh musuh, kesan racun akan mengurangkan nyawa mereka secara perlahan-lahan. Mekanisme serangan beracun F.A.N.G ini juga kali pertama digunakan di dalam permainan Street Fighter.

Ni no Kuni II: Revenant Kingdom

Permainan JRPG Ni no Kuni: Wrath of the White Witch mendapat perhatian ramai apabila versi Bahasa Inggerisnya dijula pada tahun 2013 untuk konsol PlayStation 3. Grafik animasinya dihasilkan oleh Studio Ghibli dan runut bunyi pula oleh komposer terkenal Joe Hisaishi (yang juga menghasilkan runut bunyi untuk filem Ghibli seperti Princess Mononoke). Sambungan kepada permainan ini, Ni no Kuni II: Revenant Kingdom diumumkan namun tarikh bilakah ia akan menemui peminat masih belum diketahui.

Job Simulator Untuk PlayStation VR

Akhir sekali ialah permainan paling aneh yang diumumkan setakat ini. Anda kini hidup ada tahun 2050 dan semua pekerjaan manusia sudah diambil alih oleh robot sepenuhnya. Oleh itu bagi mengingatkan manusia bagaimanakah perasaan bekerja setiap hari, Job Simulator dihasilkan. Permainan PlayStation VR ini membolehkan adan merasai bagaimakah bekerja sebagai seorang kerani, pekerja kedai dan tukang masak. Ini kami rasakan permainan paling aneh sejak Seaman di konsol Dreamcast.

 


TIPS & ULASAN