HTC One M9+ dilancarkan di Malaysia awal tahun ini ramai pengguna tidak mampu memilikinya kerana harga jualan yang melangkaui RM 2000 sebuah. Dengan HTC One E9+, HTC menghasilkan peranti yang hampir setanding dengan M9+ tetapi dijual pada harga lebih murah. Dengan skrin lebih besar serta beberapa fungsi menarik M9+ tidak disertakan, adakah E9+ alternatif yang berbaloi untuk dimiliki? Ulasan ini akan cuba merungkai persoalan yang kerap kami terima mengenai E9+ sejak ia mula memasuki pasaran Malaysia sejak Julai yang lalu.
Rekaan
HTC One M9+ | |
---|---|
Skrin | 5.5″ SLCD3 QHD (534 ppi) |
Pemproses | 2.0 GHz Lapan Teras Mediatek Helio X10 |
GPU | PowerVR G6200 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 20 Megapixel f/2.2 |
Kamera Depan | 4 Ultrapixel f/2.0 |
Bateri | 2800 mAh (Tiada pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi NanoSIM / 4G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tidak |
Harga Jualan | RM 1899 |
Perubahan pertama HTC One E9+ berbanding HTC One M9+ ialah dari segi skrin. Ianya lebih besar dengan 5.5″ tetapi mengekalkan resolusi QHD. Skrin masih lagi dari keluarga SLCD3 yang digunakan pada peranti utama keluaran HTC. Pemproses diturunkan sedikit dari 2.2 GHz ke 2.0 GHz lapan teras MediaTek Helio X10. RAM adalah sebesar 3 Gigabyte dengan muatan dalaman pula sebesar 32 Gigabyte (Sokongan MikroSD sehingga 2 Terabyte).
Kemampuan optik pula ialah 20 Megapixel. Tidak seperti HTC One M9+, sokongan Duo Camera tidak disertakan begitu juga dengan flash dua tona. Pada bahagian hadapan kamera 4 Ultrapixel digunakan bagi memberikan kemampuan selfie yang lebih tajam terutamanya di dalam keadaan pencahayaan yang rendah.
Bagi mengurangkan harga E9+, bahan binaan peranti ini diperbuat daripada bahan plastik. Keseluruhan panel belakang diperbuat daripada bahan ini dan bukannya aluminium seperti M9+. Sungguhpun begitu kami merasakan peranti masih selepas dipegang kerana mengekalkan rekaan belakang melengkung. Sebuah lagi perubahan yang dilakukan ialah tiada lagi pengimbas cap jari pada dagu peranti. Dengan ketiadaan pengimbas jari, bahagian panel hadapan E9+ lebih menghampiri HTC One M9, M8, M7 dan Max. Secara peribadi kami merasakan rekaan tanpa pengimbas cap jari ini lebih cantik dan simetri kerana kekisi pembesar suara Boomsound tidak terbahagi di bahagian bawah.
Bercakap tentang pembesar suara Boomsound, pembesar suara stereo ini masih lagi menjadi penanda aras kualiti audio peranti mudah alih. Sejak One M7 lagi kami tidak merasakan ada pengeluar lain yang berjaya menghasilkan sistem audio stereo hadapan sebaik HTC. Sistem Boomsound HTC One E9+ menyokong sistem Dolby Audio Surround.
Rekaan
Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada bahagian kanan peranti. Butang suara adalah dari jenis rocker dan agak besar. Ini memudahkan proses mengubah tahap kekuatan suara. Kedua-dua butang juga sangat kukuh buatannya dan sedap digunakan. Parameter peranti diperbuat seluruhnya daripada logam dan mempunyai sisi yang rata. Sungguhpun begitu peranti masih selesa dipegang di dalam tangan.
Pada sebelah kiri terdapat slot untuk SIM dan juga kad MiroSD. Kedua-dua SIM nano yang disokong peranti ini diletakkan di dalam talam plastik tersendiri dan bukannya berkongsi seperti beberapa peranti dwi-SIM yang ada di pasaran sekarang. Slot kad MikroSD tidak berkongsi slot dengan slot SIM. Ketiga-tiga slot ini terletak di belakang sebuah pintu plastik yang besar yang boleh dibuka menggunakan kuku jari. Kami cukup gemar dengan sistem SIM sebegini berbanding jenis talam logam yang perlu dibuka menggunakan alat khas (ataupun jarum peniti ketika berlaku kecemasan). Jack fon kepala 3.5 mm terletak pada bahagian atas dan slot pengecasan MikroUSB pula terletak pada bahagian bawah.
Panel belakang diperbuat daripada plastik dengan kemasan yang agak kasar. Terasa seperti agak bergetah dan ini membuatkannya tidak memerangkap cap jari dan paling penting sekali tidak licin sehingga membuatkan ia mudah tergelincir ketika dipegang. Ini adalah penting kerana tidak seperti One M9+, panel belakang ini tidak melengkung mengikut kontur telapak tangan.
Dari segi rekaan ia mungkin tidak sepremium One M9+ tetapi ianya masih selesa untuk digunakan. Ini menunjukkan bahawa bahan plastik masih boleh digunakan pada peranti asalkan kemasan dan rekaannya dilakukan dengan baik. One E9+ juga masih kelihatan cukup segak dan sedap mata memandang.
Antaramuka Sense 7
Android 5.0.2 dengan antaramuka Sense 7 digunakan. Ianya sama seperti Sense 7 yang kami lihat pada HTC One M9+ yang kini berada di pasaran. Antaramuka Sense 7 masih lagi antara antaramuka pihak ketiga yang mempunyai rekaan menarik dan mengekalkan beberapa rekaan Android Vanilla. Skrin multitasking boleh dipaparkan dalam bentuk grid 3 x 3 Sense ataupun paparan kad berlapis sekiranya perlu. Kebebasan memilih ini adalah amat kami hargai kerana pada versi Sense sebelum ia tidak dapat dilakukan. Namun begitu tetapan untuk mengubah tatalan talam aplikasi secara mendatar tidak pula disertakan. Kami lebih gemar sekiranya fungsi ini disertakan kerana mentatal secara menegak kurang kami gemari.
Butang-butang navigasi skrin turut boleh diubah pada Sense 7. Anda bebas menyusun urutan butang-butang navigasi home, back dan multitasking memgikut keperluan. Sebanyak empat butang boleh diletakkan pada pada kawasan navigasi. Fungsi ini sepatutnya disertakan pada semua peranti yang tidak menggunakan butang navigasi fizikal kerana amat berguna.
Fungsi widget yang mengesan lokasi anda disertakan sekali. Widget ini akan mengubah pintasan pantas beberapa aplikasi mengikut tabiat penggunaan anda. Ia mengambil masa beberapa hari untuk melihat pola penggunaan anda dan selepas itu aplikasi yang digunakan mengikut lokasi akan dipaparkan dengan cukup tepat. Ini pada hemat kami amat berguna bagi mereka yang kerap bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Dari skrin tertutup pula sokongan dwi-tap dan Quick Launch dibawa semula dari Sense 6. Kepada yang kurang arif dengan fungsi ini, mentatal dari bawah ke atas akan menyahkunci peranti dan terus memaparkan aplikasi terakhir yang digunakan. Kanan ke kiri melancarkan Blinkfeed, kiri ke kanan memaparkan skrin Widget (yang kami tulis pada perenggan di atas). Aplikasi kamera pula boleh dilancarkan dengan pantas dengan menekan butang suara apabila peranti di dalam kedudukan mengiring.
Fungsi tema juga wujud kali ini. Beberapa tema sedia ada boleh dimuat turun dengan set ikon tersendiri. Anda juga boleh memilih skema warna tersendiri berdasarkan latak belakang skrin yang anda pilih. Kesemuanya dilakukan sendiri oleh Sense 7 dengan beberapa input dari pengguna.
Secara keseluruhan antaramuka Sense 7 menambahkan pelbagai fungsi baru dan mengekalkan rekaan minimalis yang telah mereka gunakan sejak One M7. Kami masih merasakan antaramuka Sense adalah antara yang paling menarik di kalangan antaramuka pihak ketiga di pasaran.
Kamera
Kamera utama E9+ masih lagi mempunyai sensor sebesar 20 Megapixel f/2.2 dan kamera hadapan juga masih 4 Ultrapixel f/2.0. Perbezaan antara E9+ dan M9+ ialah tiada sokongan Duo Camera yang memberikan kemampuan pemfokusan semula gambar yang diambil. Kesemua fungsi lain kamera tidak mempunyai sebarang perbezaan. Pada skrin tetapan, pilihan untuk mengambil gambar adalah agak terhad. Sebagai contoh hanya terdapat kawalan untuk mengubah nisbah skrin dari 16:9 ke 10:7. Ya, pilihan nisbah gambar juga agak aneh kerana tiada nisbah 4:3 yang digunakan untuk memudahkan cetakan gambar. Pilihan video adalah lebih baik kerana boleh memilih resolusi 4K hinggalah ke MMS.
Dari segi penggunaan antaramuka aplikasi kamera adalah mudah difahami. Butang mod kamera dan video terpapar terus pada skrin. Tidak banyak pratetapan disertakan dan hanya tiga disertakan kali pertama peranti diaktifkan. Tiga lagi pratetapan boleh dimuat turun sekiranya diperlukan. Kamera E9+ juga agak perlahan. Bagi kami ini mengecewakan kerana pernah suatu ketika dahulu kamera peranti HTC adalah antara yang terpantas di pasaran.
Kerana ia menggunakan sensor yang sama dengan One M9+, masalah yang sama wujud pada gambar yang diambil. Seperti yang boleh dilihat pada contoh gambar di bawah, kesemuanya mempunyai masalah dedadah berlebihan. Ini mengakibatkan gambar menjadi terlalu terang dan keperincian objek tidak ditangkap dengan baik. Penghasilan warna juga agak lemah apabila gambar diambil di dalam keadaan pencahayaan yang terang. Pada pencahayaan rendah seperti waktu malam dan berjerebu pula penghasilan warna adalah sedikit baik. Pada sumber cahaya sekali lagi dedahan berlebihan berlaku dan menimbulkan kesan blooming yang nyata. Masalah-masalah yang disenaraikan ini kami biasa lihat pada peranti kelas permulaan dengan sensor sebesar 8 Megapixel. Melihat masalah ini pada peranti dengan sensor lebih besar dan harga jualan agak mahal adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Video
Rakaman video 4K disokong oleh peranti ini namun kualiti adalah menyedihkan sama seperti kualiti gambar. Dalam situasi terang video adalah terlalu terang. Dalam situasi gelap pula video mempunyai masalah tidak tajam dan mempunyai noise yang ketara. Kesimpulannya kemampuan optik One E9+ adalah tidak baik.
Penanda Aras
Pemproses 2.0 GHz lapan teras MediaTek Helio X10 digunakan adalah sama seperti yang digunakan pada Xiaomi Redmi Note 2. Markah yang dicatatkan menggunakan Quadrant ialah 23527 markah, pada Antutu ialah 46217 markah dan pada Futuremark pula ialah 14883 markah. Ianya sedikit lebih baik berbanding Redmi Note 2.
Pada penggunaan seharian kami tidak menemui sebarang masalah menggunakan E9+. Kesemua aplikasi berjalan dengan sempurna dan tiada yang terhenti dengan sendiri. Kelajuan tatalan juga amat lancar dan penukaran aplikasi berlaku dengan pantas. Masalah yang ada hanyalah peranti yang menjadi agak panas apabila aplikasi berat digunakan. Ini adalah perkara normal yang kami sedari pada kesemua peranti yang menggunakan cip memproses MediaTek Helio X10.
Bateri
Bateri sebesar 2800 mAh adalah agak kecil bagi sebuah phablet. Gabungan bateri yang kecil dengan pemproses berkuasa adalah kombinasi maut. Pada penggunaan berat peranti hanya mampu bertahan sekitar 6 jam. Pada penggunaan paling ringan pula ia bertahan sekitar 9 jam. Ini bukanlah hayat penggunaan peranti yang baik. Jika anda bercadang untuk memiliki One E9+ pastikan anda mempunyai sebuah power bank bersama anda sepanjang masa. Peranti ini tidak mempunyai sistem pengecasan pantas dan memerlukan lebih dari dua jam untuk dicas.
Pesaing
Mari lihat perbandingan spesifikasi One E9+ dengan dua lagi phablet yang ada di pasaran sekarang. Kami memilih Xiaomi Redmi Note 2 kerana ia mempunyai pemproses yang dan Samsung Galaxy Note 5 pula dipilih kerana ianya phablet terbaik di pasaran sekarang.
Peranti Utama | ||
---|---|---|
HTC One E9+ | Xiaomi Redmi Note 2 | Samsung Galaxy Note 5 |
5.5″ SLCD3 QHD (534 PPI) | 5.5″ IPS IPS FHD (403 PPI) | 5.7″ SAMOLED QHD (515 PPI) |
2.0 GHz Lapan Teras Mediatek Helio X10 | 2.0 GHz Lapan Teras Mediatek Helio X10 | 2.1 x 4 + 1.5 x 4 GHz Exynos 7420 |
PowerVR G6200 | PowerVR G6200 | Mali-T760MP8 |
3 Gigabyte | 2 Gigabyte | 4 Gigabyte |
32 Gigabyte (2 TB MikroSD) | 16 Gigabyte (22 GB MikroSD) | 32 Gigabyte |
Kamera Utama 20 Megapixel f/2.2 | Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 | Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9 OIS |
Kamera Hadapan 4 Ultrapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.9 |
2800 mAh (Tidak boleh dibuka) | 3060 mAh (Boleh dibuka) |
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) |
RM 1899 | RM 649 | RM 2699 |
Kesimpulan
HTC One E9+ dihasilkan bagi mereka yang mencari alternatif lebih murah berbanding HTC One M9+. Binaan logam, pengimbas cap jari serta fungsi kamera berkembar tidak disertakan pada phablet ini. Saiz skrin dibesarkan sedikit ke 5.5″ berbanding 5.2″ namun aneh sekali saiz bateri dikecilkan dari 2840 mAh ke 2800 mAh. Pemproses Helio X10 M9+ yang berkelajuan 2.2 GHz digantikan dengan yang berkelajuan 2.0 GHz. Dari segi fungsi tambahan dan sistem operasi tiada perubahan dilakukan. Walaupun diperbuat daripada plastik One E9+ masih lagi sebuah peranti dengan rekaan yang menarik dengan selesa dipegang. Bahagian belakang peranti mempunyai kemasan bergetah dan tidak mudah tergelincir dari genggaman pengguna.
Peranti ini berfungsi dengan cukup baik. Talalan adalah lancar dan penukaran aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Aplikasi yang dimuat turun kesemuanya berfungsi dengan baik tanpa sekalipun terhenti dengan sendiri. Pemproses mungkin MediaTek tetapi kemampuannya setanding dengan peranti-peranti utama yang ada di pasaran sekarang.
Sekarang kita bercakap tentang kelemahan pula. Kelemahan paling ketara ialah kamera yang sangat mengecewakan. Kesemua gambar yang diambil mempunyai dedahan berlebihan dan penghasilan warna yang kurang baik apabila di dalam situasi pencahayaan yang baik. Dalam keadaan gelap penghasilan warna adalah baik namun kawasan yang mempunyai sumber cahaya sekali lagi menunjukkan dedahan berlebihan. Rakaman video menunjukkan masalah yang serupa dan dalam keadaan gelap video yang diambil adalah tidak tajam.
Masalah kedua yang ketara ialah bateri. Kombinasi bateri yang kecil, pemproses yang berkuasa dan skrin yang besar membuatkan hayat bateri hanya mampu bertahan selama 6 jam pada penggunaan berat. Hayat bateri terbaik berjaya kami catatkan ialah selama 13 jam. Peranti juga mudah menjadi panas apabila digunakan untuk jangka masa waktu yang lama.
Dengan harga jualan RM 1899, HTC One E9+ sepatutnya menjadi alternatif yang baik kepada One M9+. Namun ia mengekalkan kesemua masalah yang turut ditemui pada M9+ tanpa sebarang percubaan untuk memperbaikinya. Dengan adanya peranti dengan spesifkasi setanding yang dijual pada harga jauh lebih mampu milik, adalah sukar untuk kami mengesyorkan pembelian One E9+ kepada anda.
PRO dan Kelebihan
- Peranti selesa dipegang di dalam tangan walaupun mempunyai bahan binaan plastik
- Kemampuan memproses yang tinggi dan hanya kurang sedikit jika dibandingkan dengan beberapa peranti utama di pasaran.
- Antaramuka yang menarik serta mempunyai pelbagai fungsi tambahan yang memudahkan penggunaan.
- Sistem audio stereo BoomSound dikekalkan. Masih lagi sistem audio terbaik untuk peranti pintar.
KONTRA dan Kekurangan
- Kemampuan kamera yang mengecewakan bagi peranti utama yang menggunakan sensor yang besar.
- Tiada sokongan pengecasan pantas.
- Harga kurang kompetitif dengan pesaing di pasaran