WordPress 4.4 Akan Dilancarkan Pada Minggu Ini

WordPress 4.4 Akan Dilancarkan Pada Minggu Ini

Diterbitkan pada Dis 7, 2015 oleh .

WordPress pada hari ini merupakan salah satu sistem pembangunan web yang digunakan secara meluas – menjana lebih daripada 25% web terkemuka pada hari ini. Perkara ini membuatkan pelbagai pengenalan fungsi baru pada WordPress memberikan impak kepada dunia web secara menyeluruh, termasuk pengenalan teknologi web moden yang baru.

WordPress sejak daripada tahun lepas telah beralih kepada pengeluaran versi baru yang lebih pantas, sekaligus membolehkan mereka memperkenalkan fungsi dan menyokong teknologi web yang baru dengan pantas – lebih kurang sama seperti apa dilakukan oleh pembangun pelayar web.

Pada tahun ini, mereka telah melancarkan WordPress 4.2 dan juga WordPress 4.3. Versi seterusnya, iaitu WordPress 4.4 akan diperkenalkan oleh pembangunnya pada minggu ini, iaitu seawal esok – 8 Disember 2015.

Bercakap mengenainya, pihak WordPress mengatakan ia akan memfokuskan lebih kepada sokongan pembangun web, termasuk pengenalan fasa awal untuk WordPress REST API. Ia akan memudahkan lagi integrasi pelbagai fungsi oleh pihak pembangun web.

Disamping itu, WordPress 4.4 juga akan mengintegrasikan fungsi seperti oEmbed yang membolehkan artikel dan penulisan pada sesuatu web diintegrasikan (embed) pada web lain – seperti mana pada Facebook, YouTube dan Twitter.

WordPress 4.4 juga akan menyertakan kemaskini lain, termasuk sokongan imej responsif, serta tema baru dinamakan 2016.

Bercakap lanjut mengenai WordPress, pembangunnya turut akan mengeluarkan buku digital mereka yang menceritakan kisah disebalik WordPress – yang mana dijangka dikeluarkan tidak lama lagi. Buat masa ini, pembangunan dan penulisan buku itu sedang dilakukan melalui laman GitHub.

Untuk masa akan datang, pihak pembangun WordPress memfokuskan kepada beberapa perkara. Yang pertamanya adalah WordPress REST API yang membolehkan WordPress turut digunakan sebagai platform aplikasi, selain Calypso – projek baru pihak WordPress yang menggunakan JavaScript dalam pembangunan dan telah mula diimplementasi pada WordPress.com.

Matt Mullenweg turut memberikan komen mengatakan PHP7 turut akan memberikan impak kepada pembangunan WordPress, memandangkan ia menawarkan kadar kestabilan dan beroperasi lebih pantas berbanding versi sebelum ini.


TIPS & ULASAN