Cari @ Amanz

Dua minggu lalu Samsung Gear S2 mula memasuki pasaran Malaysia. Di dalam ulasan yang kami tulis jam tangan pintar ini kami nobatkan sebagai peranti boleh-pakai terbaik pernah dihasilkan oleh gergasi Korea ini. Hari ini muncul sebuah lagi jam tangan pintar untuk pengguna di Malaysia. Huawei Watch ialah jam tangan pintar Android Wear yang mempunyai rekaan premium dan rekaan lebih mirip sebuah jam tangan konvensional. Rekaan tubuh logam yang digabungkan dengan kaca delima benar-benar membuatkan peranti ini menyerlah berbanding peranti pintar lain yang kami lihat sebelum ini. Berikut adalah pandang pertama untuk Huawei Watch.

Spesifikasi

Huawei Watch
Skrin 1.4″ AMOLED 400x 400 pixel (286 PPI)
Pemproses 1.2 GHZ Dua Teras Snapdragon 400
RAM 512MB
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Bateri 300 mAh
SIM/Telefoni Tiada
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1799/1999

Dari segi spesifikasi Huawei Watch hanyalah setanding dengan sebuah peranti kelas permulaan. Ia dilengkapi skrin bulat 1.4″ AMOLED dengan resolusi 400×400 pixel. Pemposes 1.2 GHz dua teras Snapdragon 400 dipadankan dengan RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 4 Gigabyte. Bateri pula hanya sebesar 300 mAh.  Skin bulat yang digunakan tidak mempunyai “tayar pancit” seperti yang dilihat pada sebuah Moto 360.

Pelbagai sensor disertakan pada Huawei Watch seperti barometer, giroskop, accelerometer dan pengesan nadi. Aneh sekali tiada sokongan NFC disertakan.  Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android Wear dan ini memudahkan ia ditambat pada peranti Android dan iOS. Menurut Google anda hanya perlu memastikan peranti anda menggunakan sekurang-kurangnya Android 4.3 dan iOS 8.2. Sokongan untuk sistem operasi lain masih tiada di dalam perancangan setakat ini.

Rekaan

Rekaan dan bahan binaan Huawei Watch adalah yang kami rasakan membezakannya dengan jam tangan pintar lain di pasaran. Keseluruhan tubuh badan peranti diperbuat daripada logam aluminium. Ianya juga lebih tebal berbanding jam tangan pintar yang lain. Rekaan ini disengajakan bagi membuatkan Huawei Watch lebih kelihatan seperti jam tangan mewah. Dua versi tali dihasilkan iaitu tali kulit dan tali logam. Sistem penyangkuk tali jam tangan pintar ini adalah sebesar 18 mm. Ini membolehkan pengguna membeli tali jam biasa dari kedai jam berhampiran dan ianya boleh digunakan tanpa masalah. Tiada penyesuai perlu digunakan. Ini kami rasakan adalah rekaan yang pintar dari Huawei. Sekiranya anda tidak menggemari pilihan tali jam mereka anda dengan mudah mencari tali alternatif tali dari ribuan tali jam tangan biasa yang wujud di pasaran.

Sungguhpun agak berat ianya selesa untuk dipakai. Paparan skrin menggunakan kaca yang diperbuat daripada nilam yang tahan calar dam tahan lasak. Ini menjadikannya peranti Android Pertama yang menggunakan kaca nilam di pasaran.

Di sebelah kanan peranti terdapat sebuah butang kawalan. Ini digunakan untuk mengawal jam tangan dan kembali kepada menu utama. Tiada fungsi bazel berputar disertakan. Pada bahagian bawah pula terdapat pengesan nadi dan juga sambungan untuk pengecasan.

Huawei Watch 20151208_113646

Android Wear

Android Wear ialah sistem operasi jam tangan pintar kedua paling popular di belakang WatchOS Apple. Sistem operasi ini memudahkan ia ditambat kepada mana-mana peranti Android dan iOS. Dari segi rekaan antaramuka ianya amat mudah untuk digunakan dan difahami. Kerana ianya berasakan Android, sokongan aplikasi juga lebih besar dan kuat berbanding Tizen. Perkara yang paling kami gemari tentang Android Wear ialah rekaan antaramuka minimalis dan kemas. JIka anda pernah menggunakan Android Lollipop Vanilla anda tidak akan menghadapi sebarang masalah menggunakan Huawei Watch. Banyak elemen antaramuka dan penggunaan adalah serupa. Jam tangan pintar ini juga mempunyai sokongan Google Now membolehkan arahan diberikan dengan hanya menggunakan suara.

Terdapat 40 pilihan muka jam yang disertakan kali pertama peranti diaktifkan. Ini adalah jumlah yang jauh lebih besar berbanding yang kami lihat pada Gear S2. Rekaan muka jam Huwei Watch juga nampak lebih mewah, bergaya dan menghampiri muka jam tangan biasa.

Satu fungsi unik yang kami sedari pada Huawei Watch ialah paparan aktif sepanjang masa. Pada jam tangan pintar lain skrin akan dimatikan selepas beberapa saat bagi menjimatkan penggunaan bateri. Apabila skrin terpadam anda tidak dapat melihat apakah bacaan waktu. Untuk mengaktifkan semula skrin pergelangan tangan perlu berputar dengan pantas supaya dapat dikesan oleh giroskop terbina. Sistem pengesan pergerakan pergelangan tangan ini tidak berfungsi secara 100%. Ini menyebabkan skrin gagal hidup apabila diperlukan.

Dengan sistem paparan aktif sepanjang masa ini muka jam mempunyai dua mod berbeza. Mod pertama ialah akan mempunyai paparan skrin yang terang penuh dengan warna. Mod kedua diaktifkan selepas beberapa saat. Di dalam mod ini skrin adalah sedikit kelam dan paparan menjadi monokrom. Namun waktu yang dipaparkan masih boleh dibaca. Paparan dwi-mod ini kami rasakan harus menjadi piawai pada peranti lain kerana adalah amat mesra pengguna. Tidak perlu lagi terasa seperti mahu mengamuk apabila skrin jam tangan pintar enggan menyala walaupun pergelangan jari penat diputar. Di bawah ialah gambar dua mod ini pada Huawei Watch. Gambar kiri ialah paparan apabila skrin aktif dan gambar kanan pula paparan apabila skrin “dimatikan”.

Kesimpulan

 

Dari segi rekaan dan sistem operasi kami rasakan Huawei Watch adalah jam tangan pintar paling menarik di pasaran sekarang. Kombinasi bahan binaan premium, rekaan hampir seperti jam tangan biasa dan kemampuan menggunakan tali jam biasa memberikannya kelebihan berbanding pesaing. Tiada keperluan membeli tali jam hanya dari pihak Huawei. Ianya juga dengan mudah dapat digunakan oleh majoriti peranti Android dan iOS. Dengan itu sokongan aplikasi pihak ketiga juga amat baik.

Kelemahan paling ketara ialah tiada sokongan NFC dan rekaan yang mungkin terlalu “mewah” untuk digunakan ketika bersenam. Tiada aksesori tali rasmi diperbuat daripada getah dihasilkan oleh Huawei. Kami tidak boleh bayangkan cuba berlari menggunakan jam tangan yang agak berat ini. Di akhir hari ianya masih bergantung kepada keperluan pengguna. Dari segi rekabentuk kami merasakan ianya jam tangan pintar tercantik di pasaran sekarang. Dengan harga jualan RM 1799 untuk versi biasa dan RM 1999 untuk versi bewarna hitam, harga jualannya juga kompetitif dengan Gear S2 yang sudah berada di pasaran sekarang. Huawei Watch akan mula dijual 10 Disember ini menerusi VMall dan Lazada. Kami tidak sabar mahu menguji ketahanan bateri dan adakah ianya mesra pengguna. Nantikan ulasan penuh Huawei Watch dalam masa terdekat.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd