BlackBerry Malaysia hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru daripada mereka, yang mana menjadi telefon pertama berasaskan kepada Android, BlackBerry PRIV.
BlackBerry PRIV ini memfokuskan kepada tiga fokus utama – iaitu sekuriti dan privasi, produktiviti dan juga papan kekunci fizikal. BlackBerry menekankan yang mana pada era digital masa-kini, ramai tidak mementingkan sekuriti dan privasi mereka menjadikan peranti mereka terdedah kepada pelbagai masalah berkaitan dengannya. BlackBerry PRIV menyelesaikan masalah ini, dan membolehkan pengguna kekal menggunakan peranti seperti biasa dan BlackBerry akan menguruskan masalah sekuriti dan privasi.
BlackBerry mengekalkan antaramuka asas Android pada peranti ini, tetapi pada masa yang sama menyertakan beberapa fungsi tambahan pada peranti ini. Salah satunya adalah Pop-up Widget, yang membolehkan para pengguna swipe pada ikon dan melihat informasi ringkas padanya.
BlackBerry PRIV turut menyertakan sokongan gesture yang memudahkan pengguna mengakses BlackBerry Hub – salah satu fungsi yang diminati ramai pada platform BlackBerry Hub.
Dari segi spesfikasi, ia menggunakan skrin bersaiz 5.4-inci Gorilla Glass 4 dengan resolusi 2560×1440 pixel, dan menggunakan papan kekunci fizikal yang boleh diluncurkan. Walaupun menyertakan papan kekunci fizikal yang boleh diluncurkan, ia masih mengekalkan peranti yang nipis berbanding beberapa lain di pasaran.
Untuk rakaman gambar, BlackBerry PRIV menyertakan kamera belakang 18-megapixel dengan sokongan OIS dan dwi-LED Flash. Ia turut boleh digunakan untuk merakamkan video 4K.
BlackBerry PRIV menyertakan bateri berkapasiti 3410mAh – serta hadir dengan fungsi Battery Edge yang menawarkan sokongan masa penggunaan bateri yang lebih lama. Pengguna turut boleh memperluaskan ruangan storan pada BlackBerry PRIV dengan kad mikro-SD sehingga 2TB. BlackBerry PRIV turut menggunakan cip Snapdragon 808 dan memori 3GB RAM.
BlackBerry turut mengatakan yang mana mereka akan menawarkan kemaskini semasa Android setiap bulan, dan turut menyertakan aplikasi DTEK – yang mana sering memantau peranti anda untuk mengelak sebarang masalah sekuriti atau privasi.
BlackBerry PRIV akan mula dijual bermula 15 Disember 2015, dan berharga RM3559. Pengguna boleh membuat pra-tempahan di 11Street dan Bluecube Celcom pada harga RM3388.