Cari @ Amanz

.

Komputer 4 dalam 1 menjanjikan sebuah peranti versatil yang boleh digunakan dalam pelbagai konfigurasi. Tetapi hakikatnya ialah hanya dua mod iaiatu tablet dan komputer riba digunakan oleh kebanyakan pemilik. Pada posisi lain terdapat kebarangkalian papan kekunci akan mengalami kerosakan. Kebanyakan komuter riba 4 dalam 1 yang kami ulas sebelum ini mempunyai rekaan yang kurang menarik serta pemproses kurang berkuasa. Jarang sekali melihat rekaan lebih premium pada komputer riba ini. Dengan Spectre x360, Hewlett Packard cuba mengubah persepsi orang ramai bahawa komputer 4 dalam 1 perlu kelihatan murah. Adakah percubaan mereka berjaya? Baca ulasan ini dari awal hingga akhir untuk mendapat jawapannya.

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Hewlett Packard Spectre x360
Skrin 13.3″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses 2.2 GHZ Intel Core i5-5200U
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 Gigabyte SSD
Kamera 1080P
USB 3 X USB 3.0
Output 1 HDMI Saiz Penuh, 1 Mini Display
Pembaca Kad SD
Bateri 56 Wh
Harga Jualan RM 3999

HP Spectre x360 tidak seperti komputer riba 4 dalam 1 yang pernah kami lihat sebelum ini. Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada logam dan kelihatan sangat premium. Pada bahagian penutup logo HP Hewlett Packard digantikan dengan perkataan penuh. Kesemua tulisan ini timbul dari permukaan penutup dan membuatkan ia terasa agak mewah. Kemasan matte panel penutup ini amat kami hargai kerana ia tidak mudah memerangkap cap jari.

Di Malaysia terdapat tiga pilihan model untuk Spectre x360. Unit yang kami ulas mempunyai skrin 13.3″ IPS LCD dengan resolusi HD Penuh. Pemproses Intel Core i5-5200U 2.2 GHz digunakan, RAM adalah sebesar 8 Gigabyte dan memori dalaman SSD 128 Gigabyte.

Pada sebelah kanan terdapat satu jack fon kepala, dua port USB 3.0, satu HDMI bersaiz penuh dan satu port Mini Display. Terdapat juga butang kuasa dan Windows pada sisi yang sama. Kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam. Pada sebelah kiri pula terdapat satu lagi port USB 3.0, pembaca kad SD dan port pengecasan.

 

 

Spectre x360 Dalam Kegunaan Harian

Kami menggunakan komputer tablet ini lebih daripada sebulan dan ianya tidak mendatangkan sebarang masalah. Rekaan premium aluminium yang digunakan membuatkannya kelihatan cukup bergaya. Kemasan panel penutup adalah sedikit licin dan mudah memerangkap cap jari. Engsel penutup adalah boleh diputarkan 360 darjah untuk berubah kepada mod tablet. Sungguhpun dua engsel ini agak kecil, ia mampu mengekalkan skrin pada kedudukan yang dikehendaki. Tiada masalah skrin bergoyang apabila kami menaip menggunakan papan kekunci.

Paparan skrin juga sangat baik dan penghasilan warna yang tepat. Panel WLED dengan skrin sesentuh ini juga responsif tanpa memaparkan sebarang sela masa apabila disentuh. Bazel skrin adalah cukup tebal dan memudahkan Spectre X360 digunakan di dalam mod tablet. Satu masalah yang kami sedari ialah papan kekunci lambat diaktifkan semula apabila komputer riba ini berubah dari mod tablet kembali ke mod komputer riba. Secara purata ia mengambil lebih kurang 3 saat sebelum papan kekunci boleh digunakan semula.

Jumlah port USB adalah amat memadai bagi kegunaan pengguna biasa. Kami tidak mengalami sebarang masalah untuk menggunakan aksesori tambahan kerana jumlah port yang banyak ini. Kami juga amat menyukai kewujudan port HDMI bersaiz penuh yang disertakan. Mudah sekali untuk menyambungkan komputer riba ke monitor tambahan tanpa perlu membawa penyesuai. Satu-satunya port yang tidak ada ialah port LAN. Port ini mungkin semakin kurang digunakan tetapi masih banyak hotel dan pejabat yang menggunakan sambungan internet menggunakan kabel. Sambungan secara WiFi sahaja yang disokong pada Spectre x360 ini membuatkannya kurang sesuai untuk kebanyakan pejabat di Malaysia.

HP spectre X360 20151011_205136

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

HP spectre X360 20151011_205208

Komputer riba perlu mempunyai papan kekunci dan pad sesentuh yang baik. Di dalam hal ini Spectre x360 memenuhi kedua-dua kriteria ini dengan jayanya. Pertama sekali papan kekunci dari jenis chicklet yang digunakan mempunyai sokongan lampu. Sebagai insan yang gemar menaip di dalam gelap ini adalah fungsi yang amat kami perlukan. Kerap kali apabila menghadiri sidang media, lampu dipadamkan dan ini menyukarkan proses menaip. Kualiti butang kekunci juga baik kerana tidak terlalu lembut dan longgar. Menaip dengan pantas menggunakan kekunci komputer riba ini amatlah mudah serta selesa.

Pad sesentuh yang lebih panjang dari biasa yang disertakan amatlah responsif. Selalunya kami akan menggunakan tetikus apabila melakukan suntingan gambar pada aplikasi Photoshop pada komputer riba. Kebanyakan pad sesentuh yang pernah kami gunakan mempunyai masalah sela masa yang ketara dan tatalan yang amat teruk. Hampir mustahil untuk menyunting gambar menggunakan hanya pad sesentuh. Sepanjang tempoh ulasan, tidak sekalipun tetikus kami gunakan pada Spectre x360.

Penanda Aras

Pemproses 2.2 Ghz Intel Core i5-5200U yang digunakan adalah satu generasi ke belakang tetapi masih mampu memudahkan tugasan kerja. Berikut ialah markah yang berjaya dicatatkan menggunakan program penanda aras 3D Mark dan PC Mark 8. HP Spectre x360 bukanlah komputer riba untuk permainan komputer. Markah 3D Mark yang berjaya dicatatkan adalah sederhana sahaja. Ia jelas sebuah komputer riba untuk golongan yang mahukan komputer riba yang boleh diandalkan untuk melakukan tugasan pejabat, menyunting gambar dan melakukan suntingan video paling asas.

Sebagai seorang penulis, kami rasakan Spectre x360 adalah sudah cukup berkuasa untuk kegunaan harian kami. Tiada langsung masalah dari segi penggunaan yang kami sedari. RAM sebesar 8 Gigabyte kini bolehlah dianggap sebagai paling rendah untuk memastikan kelancaran kerja dan komputer riba ini tidak mengecewakan sama sekali.

Bagaimana pula tentang kepanasan? Kami sedari ketika menyunting video menggunakan Adobe Premiere, bahagian kanan papan kekunci menjadi sedikit panas. Deruman kipas penyejuk juga menjadi kuat dan hembusan udara panas mula keluar dari kekisi ruang udara pada kiri tubuh komputer. Bahagian yang menjadi panas adalah jauh dari tempat meletak telapak tangan dan kekunci yang digunakan dengan kerap maka ianya bukanlah masalah kepada kami. Tetapi sekiranya kami perlu menaip di atas riba kawasan yang panas ini adalah menimbulkan sedikit ketidakselesaan. Sekiranya anda kidal dan menggunakan tetikus, kami rasakan hembusan gas panas dari kekisi penyejuk juga boleh mendatangkan masalah yang sama.

HP-Spectre-X360-bench-graphics HP-Spectre-X360-bench-pcmark

 

Bateri

HP mengatakan bateri 56 Wh Spectre x360 mampu bertahan sehingga 12.5 jam. Sepanjang tempoh ulasan yang tidak mampu mendapat hayat penggunaan selam ini. Namun begitu pada penggunaan berat melibatkan penggunaan Photoshop, Premiere dan menaip sambil lampu kekunci menyala komputer riba ini dapat bertahan selama 9 jam. Ini pada pendapat kami adalah hayat yang baik bagi penggunaan berat.

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada HP Spectre x360 ialah Lenovo Yoga 3 Pro dan Microsoft Surface Pro 4. Berikut ialah perbezaan spesifikasi di antara tiga komputer riba ini.

Komputer Riba Intel Core M
HP Spectre x360
Lenovo Yoga 3 Pro Surface Pro 4
13.3″ WLED IPS FHD 13.3″ IPS LCD QHD 12.3″ PixelSense
2.2 GHZ Intel Core i5-5200U 1.2 GHZ Intel Core M 5Y71 2.4 GHz Intel Core i5-6300U
8 Gigabyte 8 Gigabyte 8 Gigabyte
128 Gigabyte SSD 512 Gigabyte SSD 256 Gigabyte SSD
Kamera hadapan 1080P Kamera hadapan 720P Kamera hadapan 5 Megapixel

Kamera belakang 8 Megapixel

3 USB 3.0, 1 HDMI,1 Display Port, 1 Pembaca kad SD 2 USB 3.0, 1 Mikro HDMI, 1 Pembaca kad SD 1 USB 3.0, 1 Mini Display, 1 Pembaca kad MikroSD
Bateri 56 Wh Bateri 44 Wh
Bateri 42 Wh
RM 3999 RM 4999 RM 5799

Kesimpulan

HP spectre X360 20151011_182129

Dengan kemasan logam dan rekaan yang kompak, Spectre X360 ialah antara komputer riba Windows paling menarik di pasaran. Ini dipadankan dengan spesifikasi yang baik yang memberikan kemampuan melakukan segala tugasan dengan mudah. Perkara yang paling kami gemari pada komputer riba ini ialah papan kekunci, pad sesentuh dan kemampuan bateri yang baik. Papan kekunci dengan sokongan lampu memudahkan proses menaip di dalam gelap. Kekunci juga juga memberikan timbal balas yang baik dan tidak terlalu longgar.

Pad sesentuhnya pula amat sensitif dan besar. Secara peribadi kami jarang sekali menggunakan komputer riba tanpa tetikus namun sepanjang tempoh ulasan komputer riba ini kami tidak lagi memerlukannya. Segalanya lancar tidak seperti kebanyakan komputer riba yang kami pernah ulas sebelum ini. Tidak cukup dengan itu ketahanan bateri juga baik. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan selama 9 jam sebelum perlu dicas. Dengan tiga port USB 3.0, 1 HDMI saiz penuh, 1 Display Port dan satu pembaca kad SD, Spectre X360 membolehkan pelbagai aksesori dipasang.

Perkara negatif yang ada ialah apabila berubah dari mod tablet ke mod komputer riba, papan kekunci mengambil masa yang agak lama untuk diaktifkan semula. Kerana buatan logam, komputer riba adalah agak berat bagi sebuah komputer riba 13″.

Dengan harga jualan RM3999 ianya jatuh ke dalam kategori komputer riba yang mahal. Namum kami rasakan bayaran lebih ini amat berbaloi bagi sebuah komputer riba yang mempunyai rekaan yang cantik, kemasan yang premium serta spesifikasi yang baik. Harus kami akui ini adalah komputer riba terbaik secara keseluruhan yang kami ulas sepanjang 2015. Dengan mudah kami sarankan pembelian ini kepada mereka yang mahukan komputer riba Windows dengan rekaan yang premium.

HP spectre X360 20151011_205252

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang sangat kemas, premium dan berkualiti. Kesemua komponen di dalam kerangka yang sangat nipis.
  • Spesifikasi yang baik untuk penggunaan harian.
  • Hayat bateri yang baik di antara mencecah 9 jam pada penggunaan berat.
  • Jumlah port yang mencukupi. HDMI bersaiz penuh serta Mini Display Port disediakan.
  • Papan kekunci yang selesa digunakan lengkap dengan lampu. Pad sesengtuh pula terbaik pernah kami gunakan pada sebuah komputer riba Windows.
KONTRA dan Kekurangan
  • Papan kekunci lambat diaktifkan semula apabila berubah dari mod tablet ke mod komputer riba
  • Tubuh agak lembut dan mudah bengkok. Satu sisi Spectre yang kami ulas mengalami kerosakan walaupun hanya tersalah letak di atas permukaan meja.
  • Agak berat.

Skor-HP-Spectre-X360

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd