Baidu Menyelesaikan Ujian Kereta Dipandu Automatik Pertama Di Beijing, China

Baidu Menyelesaikan Ujian Kereta Dipandu Automatik Pertama Di Beijing, China

Diterbitkan pada Dis 11, 2015 oleh .

Baidu merupakan salah satu gergasi internet di China – dan sering dikatakan sebagai “Google China”. Seperti Google, mereka juga mempunyai kajian dan penyelidikan dalam arena teknologi, dan terkini mengumumkan mereka telah berjaya membuat ujian pemanduan kereta dipandu automatik di jalan raya sekitar Beijing, China.

Baidu Car

Baidu menggunakan sebuah kenderaan BMW 3 Series yang diubah-suai untuk tujuan ini, dan menurut Baidu, mereka berjaya melakukan ujian pada keadaan jalan raya yang berbeza – salah satu cabaran yang tinggi di China. Mereka juga mengatakan berjaya mengatasi cabaran pemanduan yang sukar diramalkan di jalan raya.

Baidu melakukan ujian pemanduan sejauh sekitar 30 kilometer, yang mana bermula dan berakhir di ibu pejabat Baidu di Beijing. Seperti biasa, mereka melengkapkan kenderaan berkenaan dengan pelbagai sensor dan perisian tersendiri. Baidu mengatakan mereka merakamkan data jalan-raya dalam bentuk 3D pada kadar kejituaan yang tinggi – iaitu hanya beberapa sentimeter daripada kedudukan kenderaan.

Ia menjadi kebiasaan untuk syarikat dalam arena kenderaan dipandu automatik ini menguji kenderaan dan teknologi mereka pada jalan raya dunia sebenar – dalam usaha mendapatkan data dan melihat keserasian dan reaksi sistem kepada keadaan jalan raya dunia sebenar.

Baidu masih tidak mengeluarkan sebarang info berkaitan bilakah kenderaan dengan teknologi mereka ini akan dipasarkan. Ia boleh dikatakan masih awal dan mereka mungkin perlu melakukan pelbagai ujian lain sebelum melihatnya dipandu pada jalan raya awam.


TIPS & ULASAN