Apple Mempatenkan Sistem Untuk Menjadikan iPhone Kalis Air

Apple Mempatenkan Sistem Untuk Menjadikan iPhone Kalis Air

Diterbitkan pada Dis 11, 2015 oleh .

Sony Xperia Z5 dan HTC Butterfly 2 ialah dua contoh peranti kalis air yang dijual di pasaran Malaysia. Peranti-peranti ini boleh direndam tanpa anda perlu risau ia mengalami kerosakan seperti peranti lain. Telefon pintar iPhone mungkin dijual pada harga jauh lebih mahal berbanding dua peranti tadi tetapi ia tidak kalis air.  Apple masih enggan menyertakan fungsi ini pada peranti mereka kerana masih tiada keperluan. Pengguna mereka kebanyakannya duduk di negara maju yang jarang dilanda hujan tropika seperti di Malaysia.

Apple Paten Kalis Air 1

Tetapi penantian ini mungkin berakhir kerana Apple sudah diberikan paten untuk sistem yang menjadikan peranti kalis air. Paten untuk selaput silikon yang menutupi port Lightning dan jack fon kepala difailkan oleh mereka pada Jun 2014. Melalui paten ini kedua-dua lubang terbuka ini akan ditutup dengan bahan silikon yang menghalang kemasukan air. Apabila pengguna inging mengecas peranti, kepala kabel Lightning boleh ditolak menembusi selaput silikon ini. Usai pengecasan kabel ditarik keluar dan lapisan silikon akan kembali menutupi port pengecasan. Bahan silikon khas yang digunakan dapat bersambung semula tanpa sebarang kerosakan walaupun ditembusi berkali-kali oleh kepala pengecas dan jack fon kepala.

Agak menarik melihat Apple menggunakan sistem baru berasaskan bahan silikon untuk menutup port terbuka. Sony dan HTC kedua-duanya hanya menggunakan lapisan hidrofobik di dalam port terbuka bagi mengelakkan kemasukan air. Sistem yang digunakan oleh Apple ini jauh lebih efektif bagi menghalang kemasukan air dan dapat bertahan lebih lama. Harus diingatkan tahap ketahanan air IP68 pada Xperia Z5 hanya membenarkan peranti menyelam selama 30 minit. Adakah ini petanda iPhone 7 akan menjadi telefon pintar kalis air pertama Apple? Sama-sama kita nantikan. Apple mempunyai sejarah memnfailkan banyak paten yang tidak pernah mereka gunakan. Malahan paten milik mereka kemudian diberikan kepada Microsoft untuk menghasilkan Surface Pro.

Apple Paten Kalis Air 2


TIPS & ULASAN