Honor Hadir Dengan Honor Router Pro dan Honor Box Voice – Penghala dan TV Pintar Dibawah Platform HiLink

Honor Hadir Dengan Honor Router Pro dan Honor Box Voice – Penghala dan TV Pintar Dibawah Platform HiLink

Diterbitkan pada Dis 13, 2015 oleh .

Pada acara sambutan ulangtahun jenama Honor untuk tahun kedua, selepas dari pengumuman platform HiLink yang mana merupakan satu inisiatif dari Huawei untuk menyertai arena rumah pintar, mereka turut mengumumkan beberapa peranti yang menyokong platform tersebut dibawah jenama Honor. Peranti tersebut adalah penghala (router) yang diberi nama Honor Router Pro dan penguat kawasan liputan WiFi (repeater) untuknya, serta kotak TV pintar dengan kawalan suara yang dinamakan Honor Box Voice.

Huawei Honor Router Pro -IMG_8936

Huawei Honor Router Pro -IMG_8931

Penghala Honor Router Pro merupakan penghala yang dicipta supaya berupaya untuk beroperasi dengan lebih pantas dan tanpa gangguan. Jika dilihat dari segi penjenamaan dan kumpulan sasaran Honor, iaitu jenama yang difokuskan kepada golongan muda atau golongan berjiwa mud. Ia juga disasarkan kepada mereka yang kerap bermain permainan atas talian. Bagi golongan sebegini, kepantasan dan kestabilan internet merupakan satu perkara yang penting. Honor Router Pro mampu menawarkan kestabilan sambungan internet pada kadar 34ms, dan hadir pada saiz yang kecil, dengan kemasan premium padanya. Antara spesifikasi lain termasuklah cip pemprosesan 1GHz serta RAM 256MB DDR3 dan turut menyokong 5GHz.

Turut sama diperkenalkan dengan Honor Router Pro adalah peranti yang mampu meluaskan kawasan liputan WiFi pada rumah pengguna dan mempunyai saiz sebesar palam elektrik. Peranti yang turut menyokong platform HiLink ini boleh berhubung dengan Honor Router Pro dengan mudah, semudah menekan butang HiLink. Ia juga boleh disambung secara terus kepada Honor Router Pro. Kedua-dua peranti ini akan mula dipasarkan di China dengan Honor Router Pro berharga 328 Yuan (~ RM 219) manakala ‘repeater’ Honor pula berharga 268 Yuan ( ~ RM 179).

Huawei Honor Box Voice -IMG_8981

TV pintar dibawah jenama Honor bukanlah satu perkara yang baru kerana mereka pernah menghasilkannya sebelum ini. Untuk peranti terbaru yang turut menyokong platform HiLink, TV pintar Honor Box Voice telah dicipta. Menariknya ia hadir dalam bentuk fizikal yang sangat kecil, iaitu sebesar palam kuasa elektrik. Dengan saiz sebegini, ia semestinya menjimatkan ruang yang ada disekitar televisyen. Pada peranti ini juga terdapat slot kad Mikro-SD serta sambungan kabel HDMI diperlukan padanya. Seperti namanya peranti ini boleh dikawal menerusi arahan suara, dan turut menyokong dialek bahasa Cina yang berbeza. Peranti ini turut menyokong fungsi memainkan kandungan video beresolusi 4K. Ia akan mula dijual di pasaran China pada harga 228 Yuan (~RM 152).

Huawei Honor Box Voice -IMG_8987

Oleh kerana kesemua ini merupakan salah satu peranti dibawah platform HiLink, tiada sebarang perancangan untuk pasaran di luar China yang dikongsikan bersama kami buat masa ini.


TIPS & ULASAN