Dalam sidang media yang diadakan oleh honor pada hari ini bersama kesemua wakil media antarabangsa, mereka turut berkongsi mengenai beberapa perkara yang sedang dibangunkan mereka. Salah satu yang perkara yang sedang dilakukan mereka adalah pengujian dron dan perkara berkaitan robot di China.
Dalam berkongsi mengenainya, CEO Honor, George Zhao menyatakan ujian berkenaannya sedang dijalankan di honor Cafe, kedai kopi yang turut mengetengahkan produk-produk honor yang lain. Menurut beliau, peranti-peranti robotik dan dron yang sedang diuji tidak dibangunkan oleh mereka, sebaliknya adalah hasil kerjasama dengan syarikat dron dan robotik yang lain.
George Zhao turut menambah sehingga kini ujian percubaan tersebut masih dijalankan, dan tidak menafikan seandainya dron dan robotik yang dihasilkan oleh syarikat lain bakal menyokong HiLink, iaitu platform integrasi antara peranti berhubung dengan internet, membolehkan dron dan robot tersebut dikawal menerusi peranti honor dan juga Huawei. Seperti peranti honor yang lain, mungkin mereka akan memasarkan dron dan robot yang dihasilkan hasil dari kerjasama dengan syarikat lain menerusi kedai atas talian mereka, iaitu vMall yang sedia popular dikalangan peminat honor.
Dengan pengujian dron dan robot yang dilakukan honor, ia dilihat sebagai satu lagi langkah untuk menarik minat golongan sasaran mereka, iaitu golongan muda atau golongan berjiwa muda selari dengan slogan mereka, ‘For The Brave’.