Galaxy S7 Dijangka Dilengkapi Skrin Sensitif-Tekanan, Pengecasan Pantas USB Type-C

Galaxy S7 Dijangka Dilengkapi Skrin Sensitif-Tekanan, Pengecasan Pantas USB Type-C

Diterbitkan pada Dis 14, 2015 oleh .

Samsung pada tahun ini telah memperkenalkan Galaxy S6 dan juga Note 5 – yang mana kedua-duanya menerima pujian ramai. Kini, dengan tahun 2016 yang menjelang tiba, syarikat gergasi Korea Selatan berkenaan sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan Samsung Galaxy S7.

Seperti tahun 2015 ini, Samsung dijangka mengumumkan Galaxy S7 sekitar bulan Februari atau Mac.

Samsung Galaxy S6

Mengikut laporan hari ini daripada WSJ, mereka mengatakan Samsung bakal menambah sokongan skrin yang mengesan tekanan pada telefon pintar Galaxy S7 kelak. Ia dijangka menawarkan fungsi lebih kurang seperti pada fungsi 3D Touch yang dibawakan oleh Apple. Namun, ia masih tidak diketahui lagi sama ada kaedah implementasi Samsung akan berbeza ataupun sebaliknya.

Sebelum ini, Huawei telah memperkenalkan peranti Mate S dengan sokongan Force Touch, tetapi dilihat tidak memasarkannya secara agresif – mungkin salah satu sebabnya adalah kerana sokongan aplikasi untuk peranti berkenaan yang masih tiada daripada pengeluar pihak ketiga. Penggunaan fungsi Force Touch atau 3D Touch daripada Apple dilihat lebih kepada memudahkan pengguna mengakses sesuatu perkara pada aplikasi tanpa perlu membuka aplikasi berkenaan dan memilihnya kemudian.

Samsung turut dijangka memperkenalkan sokongan USB Type-C pada Galaxy S7 kelak, dan dilengkapi sokongan pengecasan pantas. Ini mungkin menjadikan Galaxy S7 sebagai peranti pertama daripada Samsung yang menggunakan sokongan port berkenaan.

Samsung Galaxy S6

WSJ turut mengatakan yang mana pihak Samsung masih dalam perancangan untuk memperkenalkan sokongan pengimbas mata atau sebaliknya. Beberapa peranti lain telah memperkenalkannya dengan harapan menawarkan sokongan sekuriti yang lebih baik untuk peranti mereka.

Dari segi rekaan, Galaxy S7 dikatakan mungkin membawakan rekaan yang lebih kurang sama seperti Galaxy S6, dan menawarkan kualiti rakaman gambar yang baik. Ia turut dikatakan, bahagian kamera belakang tidak lagi akan tertimbul seperti Galaxy S6, dan menawarkan bahagian belakang yang mendatar kepada pengguna.

Samsung turut dikatakan mungkin menyertakan sokongan mikro-SD pada salah-satu versi Galaxy S7 kelak.


TIPS & ULASAN