Carian
Pandang Pertama : Microsoft Lumia 950
December 15, 2015 Effi Saharudin

Dua peranti Windows dengan sistem operasi Windows 10 Mobile dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Microsoft Lumia 950 ialah salah sebuah peranti yang dilancarkan dan ia cuba menjadikan dunia di mana satu peranti sudah mencukupi untuk seorang individu melalui sistem Continuum. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai peranti pintar Microsoft ini.

Spesifikasi & Rekaan

Microsoft Lumia 950
Skrin 5.2″ IPS LCD WQHD (564 ppi)
Pemproses Snapdrgon 808 (1.8 x 2 + 1.4 x 4 GHz)
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB)
Kamera Utama 20 Megapixel Pureview OIS (4K)
Kamera Depan 5 Megapixel FHD
Bateri 3000 mAh
SIM/Telefoni Dwi Nano SIM/ 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2699

Peranti Lumia ini masih mengekalkan rekaan tubuh polikarbonat yang sudah sinonim dengan peranti Microsoft sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Lumia 950 dilengkapi skrin IPS LCD  5.2″ dengan resolusi WQHD, diperkasakan oleh pemproses enam teras Snapdragon 808, RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte. Sokongan penambahan memori dalaman adalah sehingga 200 Gigabyte menggunakan kad MikroSD.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama sebesar 20 Megapixel PureView dengan sokongan OIS. Kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel dengan lensa sudut lebar. Ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Unik sekali kamera utama Lumia 950 mempunyai tiga flash LED dan bukannya dua seperti kebanyakan peranti utama di pasaran sekarang. Menurut Microsoft sistem flash tiga serangkai ini memastikan penghasilan semula warna yang lebih tepat apabila flash digunakan. Akhir sekali bateri sebesar 3000 mAh digunakan dengan sokongan pengecasan pantas dan pengecasan tanpa wayar.

Ketiga-tiga butang navigasi back, Windows dan search.  Pada sebelah kanan terdapat butang kuasa,suara dan kamera yang diperbuat daripada logam. Tiada apa-pada sisi kiri manakala slot pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah.Jack fon kepala 3.5mm terletak pada bahagian atas. Microsoft meletakkan pembesar suara mono pada panel belakang peranti bersebelahan lensa kamera. Bercakap tentang lensa kamera, modul kamera Lumia 950 terkeluar dari tubuh dan membuatkannya tidak dapat dibaringkan secara rata pada permukaan meja.

Panel belakang polikarbonat boleh dibuka bagi mendedahkan dua slot untuk SIM bersaiz nano. Konfigurasi SIM ini adalah sedikit aneh kerana satu lot terletak bersebelahan bateri manakala satu lagi di bawah ruangan bateri. Pengguna perlu menanggalkan bateri terlebih dahulu untuk mengakses slot SIM kedua ini. Slot penambahan kad MikroSD pula diletakkan di atas slot SIM pertama.

Rekaan polikarbonat ini mungkin boleh dianggap menarik beberapa tahun yang lalu namun kami rasakan sudah ketinggalan sekarang. Majoriti peranti utama sekarang sudah menggunakan panel kaca ataupun logam. Pada harga jualan melangkaui RM 2000, rekaan seperti ini tidak lagi kami rasakan diterima oleh pengguna. Harus kami katakan rekaan ini menyebabkan Lumia 950 kelihatan mirip seperti sebuah Xiaomi Redmi Note 2 yang dijual pada harga yang jauh lebih murah. Sungguhpun begitu rekaan panel belakang dengan sisi yang bulat ini memastikan peranti amat selesa dipegang di dalam genggaman tangan. Tiada bucu tajam yang akan “menggigit” telapak tangan.

 

Windows 10 Mobile & Continuum

Windows 10 Mobile yang digunakan cuba mengatasi kepincangan yang ada pada sistem operasi Windows Phone sebelum ini. Jumlah jubin pada muka hadapan kini bertambah dan boleh ditukar saiznya oleh pengguna (pilihan 3 saiz berbeza). Namun dari segi penggunaan ianya masih lagi seperti Windows Phone terdahulu. Tatalan ke kanan akan memperlihatkan senarai aplikasi yang terpasang. Kesemua aplikasi disusun secara menegak satu persatu dan bukannya secara grid seperti pada Sense 7 HTC. Oleh sebab itu kami rasakan adalah agak sukar untuk mencari aplikasi dengan pantas. Terdapat butang carian pantas namun ini juga bukanlah cara paling mudah untuk mencari aplikasi berbanding sistem grid yang digunakan pada Android serta iOS.

Pilihan aplikasi juga masih lagi agak menyedihkan. Anda banyak menggunakan perkhidmatan Google? Berita buruk buat anda kerana sokongan aplikasi rasmi untuk GMail, YouTube ataupun Hangout tidak dilakukan oleh Google pada Windows 10 Mobile. Kebanyakan aplikasi yang sedia ada seperti Twitter dan Instagram pula sudah lama tidak dikemaskini. Fungsi-fungsi baru seperti memuat naik video pada aplikasi Twitter sehingga kini tidak boleh digunakan pada aplikasi rasmi. Pengguna perlu menggunakan aplikasi berbayar dari pihak ketiga untuk menggunakan fungsi yang percuma pada platform lain. Tanpa sokongan aplikasi rasmi dan kemas kini yang pantas, aplikasi pada platform Windows 10 Mobile akan sentiasa ketinggalan berbanding pada platform lain.

Microsoft Lumia 950DSC_0126

Satu-satunya fungsi yang boleh menyelamatkan Windows 10 Mobile ialah Continuum. Dengan hanya sambungan kepada dok khas, peranti pintar ini berubah menjadi sebuah komputer Windows 10 desktop. Pengguna hanya perlu menyambungkan papan kekunci, tetikus dan monitor ke dok khas ini bagi mengubah peranti menjadi sebuah desktop penuh.

Pengalaman menggunakan Continuum pada Lumia 950 adalah berbeza dari apa yang kami alami dengan menggunakan Acer Jade Primo beberapa bulan yang lalu. Secara keseluruhan ianya jauh lebih lancar dan pantas. Apabila Lumia 950 disambungkan ke dok menggunakan kabel USB-C ia hanya mengambil masa beberapa saat untuk memaparkan imej ke monitor yang disambungkan. Sungguhpun peranti kini bersambung pada dok, ia masih boleh digunakan seperti telefon biasa tanpa sebarang masalah. Sebagai contoh katakanlah anda membuka aplikasi galeri gambar pada Lumia 950. Sekiranya anda menekan butang galeri pada desktop Continuum, secara automatik ia akan memaparkan gambar yang sama seperti di talefon. Perkara yang sama berlaku sekiranya anda membuka Office, Powerpoint dan Windows Store. Penyelarasan paparan pada peranti dan desktop secara automatik ini adalah amat mesra pengguna.

Bagi insan yang tidak mahu menggunakan lebih dari satu peranti pada satu-satu masa, Continuum ialah fungsi yang kami rasakan amat mereka nantikan. Kami cukup tertarik dengan apa yang kami lihat dan dengan sokongan lebih banyak aplikasi ianya pasti akan menjadi ikutan sistem operasi yang lain di masa hadapan.

Kesimpulan

Microsoft Lumia 95020151215_153657

Spesifkasi Lumia 950 meletakkannya setanding dengan sebuah LG G4. Kamera utama 20 Megapixel PureView dengan sokongan OIS pula meletakkannya sebagai antara peranti dengan kemampuan optik yang tinggi. Sistem operasi Windows 10 Mobile pula memberikan fungsi Continuum yang tidak wujud pada sistem operasi yang lain. Jelas sekali Lumia 950 adalah peranti yang mempunyai kemampuan yang tinggi dan fungsi yang menarik. Namum rekaan tubuh polikarbonat Lumia kini kelihatan agak ketinggalan zaman. Pasaran sekarang dipenuhi dengan peranti plastik yang mempunyai rekaan serupa. Kebanyakan pengguna juga mahukan peranti dengan bahan binaan lebih premium apabila membeli sebuah peranti pada harga melangkaui RM 2000. Lumia 950 dijual pada harga RM 2699 sebuah tetapi rekaannya tidak banyak berbeza dengan Xiaomi Redmi Note 2 yang dijual pada harga RM 649 sebuah.

Sungguhpun begitu tidak semuanya tentang peranti ini adalah negatif. Ianya adalah sebilangan kecil peranti  yang kini masih membenarkan pengguna untuk menanggalkan bateri. Ia juga menyokong sistem pengecasan pantas secara berwayar dan pengecasan tanpa wayar terbina. Sekiranya anda menggunakan banyak perkhidmatan Microsoft dalam kehidupan harian, Lumia 950 adalah antara peranti terbaik yang boleh anda miliki. Bagi pengguna tegar sistem operasi Android, kami masih menantikan sokongan aplikasi popular yang lebih baik pada platform Windows 10 Mobile. Kami tidak sabar untuk mengulas peranti ini di masa hadapan bagi melihat sendiri kesemua pembaharuan yang diperkenalkan oleh Microsoft dan mencuba sendiri Continuum dengan lebih menyeluruh.

Komen