Cari @ Amanz

Spekulasi mengenai masa depan pengarah permainan ternama Hideo Kojima akhirnya terjawab hari ini. Beliau secara sah meninggalkan Konami selepas dikatakan “bercuti” sebaik sahaja permainan Metal Gear Solid V The Phatom Pain menemui peminat. Sepanjang penghasilan permainan ini beliau dikatakan bertelagah dengan pihak pengurusan Konami kerana memerlukan lebih masa menyiapkannya. Jika anda sudah memainkan permainan ini, anda pasti menyedari jalan cerita Big Boss tergantung di penghujung permainan.

Selepas sah memutuskan hubungan dengan Konami, beliau kini akan membuka studio permainan beliau sendiri. Beberapa pekerja di bawah studio Kojima Production sebelum ini turut dilaporkan meninggalkan Konami untuk menyertai beliau. Laporan dari Jepun mengesahkan Kojima kini dalam perancangan bekerjasama dengan Sony bagi menghasilkan permainan eksklusif untuk konsol PlayStation. Sebagai peminat Kojima ini ialah berita baik dan sudah lama dijangka. Malang sekali ini juga bermakna Silent Hills yang dibatalkan tidak mungkin wujud kembali di bawah kelolaan beliau kerana hak intelek permainan ini dipegang oleh Konami.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd